|
HAJI MOHD ARIFFIN MOHD ARIF Haji
Mohd.Ariffin Mohd. Arif dilahirkan di Kampung Pimping Membakut
pada 14 Zulhijjah 1383H bersamaan 8 Mei 1963M. Pendidikan
asas beliau bermula di
Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Pimping (S.K. Pengiran Jaya). Ariffin
mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Patrick Membakut,
SMU (Sekolah Menengah Agama) Toh Puan Hajah Rahmah, Sembulan dan
Ma’ahad Bu’uth al-Azhar, Kaherah. Setelah itu Ariffin melanjutkan
pengajiannya di peringkat universiti di Universiti al-Azhar di Kuliah
Diraasat al-lamiah Wal Arabiah sehingga mendapat Sarjana Muda (Kepujian). Pernah
bekerja sebagai kerani di Pejabat Kebajikan Kuala Penyu dan di Bendahari
Negeri Kota Kinabalu. Menjadi guru di Sekolah Menengah Stella Maris,
Tanjung Aru sebelum bertugas sebagai pengarang di MUIS (Majlis Agama
Islam Sabah) kini dikenali sebagai JHEAINS (Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Negeri Sabah) di Bahagian Penerbitan dan Sebaran Am hingga
menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarahnya.
Ariffin masih bertugas di JHEAINS dan menjawat jawatan sebagai Timbalan
Pengarah. Ariffin
meminati bidang penulisan khususnya genre puisi dan kritikan sejak di
bangku sekolah lagi. Beliau mula
menulis pada tahun 1976. Karya pertama beliau iaitu puisi ‘Cerita’
tersiar dalam akjhbar Borneo Buletin. Ketika menuntut di SMU Toh Puan
Hajah Rahmah beliau aktif dalam persatuan TIKAR
(Teater Kembara) dan menjadi pemimpin persatuan Genta Insan Menulis
(GERIMIS) di tempat
kelahirannya. Sementara semasa menuntut di Mesir, beliau bersama-sama
rakan mahasiswa menubuhkan Grup Pemuisi Karakun yang menjadi wadah
kegiatan sastera penuntut Malaysia dan Asean yang lain. Bersama Grup
Pemuisi Karakun Ariffin mengusahakan antologi puisi berjudul Dari Sebuah
Menara yang memuatkan puisi-puisi beliau dan rakan-rakan lain. Ariffin
terpilih sebagai salah seoran gpenulis bagi projek Penulis Anak Angkat
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (1990). Kumpulan Puisi beliau Api Laut Merah (DBP,1999) menghimpunkan karya-karya Ariffin di bawah
bimbingan Dr. Shafie Abu Bakar. Karya-karya
Ariffin sering tersia di akhbar dan majalah seperti akhbar
Sabah Times, Daily Express, Borneo Buletin dan Warta Teberau; dan majalah Hikmah,
Dewan Sastera dan Wadah.
Antara nama pena beliau ialah
Effin, Mira Kartini dan Tongkat
Nabi Musa. Ariffin
memenangi Hadiah Sastera Sabah 1990/1991 (Esei/Kritikan), 1992/1993 (Puisi),
1994/1995 bagi genre puisi dan esei/kritikan, 1996/1997 (Esei/Kritikan).
Sementara pada tahun 1999 beliau adalah salah seorang penerima Hadiah
Tinta Sastera (DBP Cawangan Sabah-MBSS). Kumpulan puisi berjudul Kafilah
Kasih mendapat tempat kedua Sayembara Menulis Puisi DBP Cawangan
Sabah 1995. Kumpulan puisi tersebut bersama-sama kumpulan puisi Rahim
Rapa dan Jasni Matlani, telah diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah
melalui antologi Tergantung Pada Kata (1996,DBP). Puisi-puisi
beliau termuat dalam antologi bersama yang diterbitkan sempena Mahrajan
Sastera Islam Sabah terbitan MUIS/JHEAINS-DBP Cawangan Sabah: Jalan
ke Hujung Taman (1991), Al-Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Rindu
Ilahi (1994), Qiam (1995), Mujadid (1997), Tasbih Rindu (1998) dan
Cahaya (2000).Antologi lain: Nyanyi
Dari Dewa (1990, Anak seni/BAHASA), Kun 91991, DBP Cawangan Sabah),
Perkasihan Musim (1992, DBP Cawangan Sarawak), Nafas Utara Borneo (1994,
DBP Brunei), Angin di Bawah Gunung (1996, DBP), Kuntum Berputuk (1996,
DBP), Salam Dari Teluk (1997, BAHASA), Peta Seniman (1998, DBP Cawangan
Sabah), Nyanyian Kembara (1998, GEMA), Jauh Yang Erat (2000, MBSS) dan
laut Asyik (2000, BAHASA). Selain
aktif dalam bidang penulisan puisi, Ariffin juga sering diundang untuk
membentangkan kertas keraja dalam beberapa seminar sastera Islam, antaranya
Seminar Sehari Pengucapan Puisi Islam (1990), Nadwah Sastera Islam Sabah
(1991,1993,1998), Nadwah Kesusasteraan Islam Peringkat Kebangsaan (1–3
Disember 1993) dan Seminar Antarabangsa Teori Islam (2000) di Putrajaya
Wilayah PersekutuanPutrajaya. Sementara fikrah beliau dalam bidang keagamaan dimanifestasikan melalui sebelas buah buku agama berjudul Hijrah Ke Arah Keagungan (1991), Serambi Fikrah 1 (1995), Serambi Fikrah 2 (1996), Di Bawah Rimbunan Sunnah (1998), Semerbak Ramadhan (1998), Di Bawah Rimbunan Sunnah 2 (1999), Semerbak Ramadhan 2 (1999), Puncak Cordova (1999), Hikmah Keimanan (2000), Ke Puncak Takwa (2000) dan Kota Madani (2001), kesemuanya diterbitkan oleh JHEAINS. Beliau ialah penerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah 1422/2001).
|
|