HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya Sukor Usin dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Memulakan pendidikan dasarnya di Sekolah Kebangsaan Lumadan, Beaufort (1967-1972) kemudian di Sekolah Menengah St John, Beaufort pada peringkat menengah (1973-1978). Pada masa ini sedang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Pejabat Pilihanraya Negeri Sabah.  Dalam bidang penulisan Hasyuda amat meminati penulisan kreatif genre puisi, cerpen, esei di samping penulisan skrip drama. Mula menulis pada tahun 1979 melalui puisi pertamanya yang tersiar di akhbar Sabah Times. Hasyuda pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia dalam genre puisi pada tahun 1985 dan Hadiah Sastera Sabah (1989,1991 dan 1998) dalam genre puisi dan cerpen.

 

Beliau merupakan Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka  Cawangan Sabah pada tahun 1987 dalam penulisan puisi di bawah bimbingan Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Hasil daripada projek ini, beliau telah menghasilkan sebuah antologi puisi panjang berjudul Balada Paduka Mat Salleh yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1989. Dalam bidang drama, Hasyuda pernah menerima bimbingan Marzuki Ali melalui bengkel pengarahan dan penulisan skrip drama pentas pada tahun 1982 anjuran Angkatan Penulis Kinabalu Sabah (ASAS) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah. Hasyuda juga aktif menggerakkan teater kanak-kanak di sekolah-sekolah rendah menerusi Kumpulan Anak Seni pada tahun-tahun 1983 hingga 1986 dan pernah menghadiri Kursus Penggerak Teater Kanak-kanak pada tahun 1983 anjuran Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan Persekutuan. Pada tahun 1995 skrip drama pentas beliau berjudul Takungan Bayu telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah. Pada penghujung 1999, Hasyuda menerima Hadiah Tinta Sastera 1999 kerana penglibatan aktif dalam bidang penulisan  sepanjang 1998-1999. Sempena Ulangtahun ke 25 DBP Cawangan Sabah dan Sarawak, Hasyuda menerima Hadiah Karya Sulung daripada DBP Cawangan Sabah.

 

Sehingga kini Hasyuda telah menghasilkan lebih 300 buah puisi, 13 buah cerpen, 15  buah esei sastera dan 3 buah skrip drama pentas di samping beberapa buah skrip drama radio yang disiarkan dalam media-media tempatan dan nasional seperti Borneo Mail, Daily Express, Sabah Times, Borneo Post, Wadah, Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Bahana. Beliau juga banyak menyumbangkan karya-karyanya dalam bentuk antologi puisi bersama seperti Sematan (GPPS, 1984), Titian Rindu (DBP Sabah, 1987), Kekasih (DBP Sabah/MUIS, 1987), Perubahan (DBP, 1988), Siapakah Antara Kita (DBP, 1988), Ujana Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989),  Mengenang-Mu (DBP, 1989), Nyanyi Dari Desa (BAHASA/ANAK SENI, 1990), Perkasihan Musim (DBP Sarawak, 1992), Luka Bosnia (BAHASA, 1992), Al-Kahfi (DBP Sabah/MUIS, 1992), Kiswah Rindu (DBP Sabah/MUIS,1993), Nafas Utara Borneo  (DBP Brunei, 1994), Qiam (DBP Sabah/MUIS, 1995), Kafilah (DBP/MUIS, 1996), Mujaddid (DBP Sabah/MUIS, 1997) dan Tasbih Rindu (DBP Sabah/MUIS, 1998) . Hasyuda juga memilih antologi persendirian, Akar Cahaya (IPS, 1997) dan Datang Kembali (IPS, 1997). Manakala antologi cerpen bersama beliau dimuatkan dalam Rantau Utara (DBP Brunei,1989).

 

Kini Hasyuda memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) selaku Ketua Satunya. Hasyuda juga menjadi ahli Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS).

 

 

[ Balik Ke Halaman Hasyuda ]