Make your own free website on Tripod.com

 

FIKRAH KETUA SATU

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

"Kepada semua ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan sahabat yang menyertai majlis ziarah ke Dangau Budaya Datuk Haji Shuhaibun Yussuf diucapkan terima kasih. Dengan penuh komitmen, insyaallah, kita akan sama-sama meneruskan perjuangan.

 

Kembali ke Muka Depan

 

Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Pak Shuhaibun) menanggapi sastera sebagai kehidupan yang tidak pernah luntur dalam dirinya. Ini dibuktikan sehingga kini beliau terus menulis malah bersama-sama angkatan baru. Tidak pernah merasakan 'ketinggalan keritapi'. Sering juga menerima hadiah penulisan menandakan kemampuannya dalam bidang ini selain menerima pengiktirafan daripada Kerajaan yang membawa gelaran budayawan. Jejak penglibatan Pak Shuhaibun dalam dunia persuratan dan budayawan sudah bertapak berpuluh tahun. Tidak hairanlah beliau sentiasa dihormati, dihargai dan disanjungi. Insan seperti Pak Shuhaibun wajar diletakkan di tempat yang istimewa sebagai warga seni yang tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Beliau sentiasa ingin menyatakan sesuatu dalam tulisan-tulisannya bahawa dunia ini bergerak dengan kepelbagaian peristiwa, singgah dalam fikirannya, dan daripada bauran fikirannya Pak Shuhaibun menerjemah ke media yang dikuasainya seperti cerpen, skrip drama, puisi moden dan tradisi.

Saya amat menyenangi budayawan-sasterawan yang sudah berusia 70-an ini, kerana itu juga bersama-sama rakan di IPS melantik beliau menjadi Ahli Kehormat IPS. Setiap tahun kami melakukan ziarah ke rumahnya di Dangau Budaya Kampung Pengalat Kecil Papar. Seperti baru-baru ini iaitu pada 8 September 2007 saya bersama Ketua 2 IPS (Abd Naddin Shaiddin), Setiausaha IPS (JY), Ketua Penerangan IPS (Oneh Latifah Osman) dan AJK IPS (Rem dan Mohd Fuad) melawat beliau sekeluarga. Datin Ripah, isteri tersayang Pak Shuhaibun juga sentiasa ramah bersantai kira-kira 2 jam. Pelbagai isu kami bicarakan di majlis ziarah ini. Saya telah menyatakan beberapa isu terkini sastera di Sabah yang turut menyentuh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Saya mengulangi sikap saya terhadap kedudukan sastera masa kini yang berada pada tahap yang mencabar setiap individu yang bergelar penulis. Apatah lagi bagi penggiat dalam sebuah organisasi sastera yang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sambil menyatakan juga harapan agar para penulis di Sabah tidak cepat mengalah dengan cabaran sedia ada.

Pak Shuhaibun juga turut menyatakan hal yang sama. Namun yang lebih penting lagi beliau mengutarakan perasaan yang kurang menceriakan kehidupan senjanya kerana sering dipersenda walaupun sendaan itu berupa kesilapan orang lain yang sepatutnya tidak dilakukan. Apapun juga sebagai anak-anak yang menyayanginya kami sentiasa mendoakan kesejahteraan, keceriaan dan kesihatan yang berterusan.