Make your own free website on Tripod.com
 

 

MEMILIH DIAM

 

Oleh Hasyuda Abadi, IPS

 

KATA seorang sahabat, kehidupan ini menyediakan insan dua pilihan. Menang dan kalah. Benar dan salah. Bahagia dan derita. Dan segala macam yang mempunyai nilai yang bertentangan makna. Hanya satu sahaja pilihan-pilihan itu akan dimiliki, katanya lagi. Jika memilih kalah tentu melupakan tentang kemenangan meskipun itulah yang diimpikan. Jika tidak bahagia pasti derita jawapnya apabila diajukan pertanyaan: apakah anda bahagia?

          Akhirnya kita dipinta membuat pendirian. Mesti memilih salah satu, bukan kedua-duanya sekali. Bukan juga tanpa membuat pilihan. Mustahil kita tiada pendirian langsung terhadap pilihan itu. Tanpa melakukan pilihan kita akan dikatakan tidak berpendirian. Kita akan dipersoalkan. Sahabat itu bercerita lagi dan inilahlah ceritanya:

Apakah aku masih berpeluang menjadi insan seperti insan lain yang mulia? Ah, soalan ini bukanlah aku yang akan menjawabnya. Bukan juga orang lain kerana orang lain hanya tahu menilai daripada perspektif mereka sendiri, yang selalunya berbau kezaliman yang amat nyata. Kecuali yang ada pertimbangan tapi itupun bersebab. Aku memang terlalu kerdil. Aku sebenarnya ingin melawan kata hatiku sendiri. Aku ingin menjadi insan yang teguh dan berpendirian.

Memang aku harus memiliki pendirian. Aku mesti mengekalkan pendirian itu. Aku telah berani melaluinya. Sambil pada waktu yang sama meninggalkan yang lain. Walaupun tak ada kesedihan tetapi kenangan selalu mengajar dan mengingatkan kesiapaan aku itu. Kehadiran aku di antara sesiapa yang membentuk peribadi, pemikiran dan juga pendirianku. Aku kini tidak punya kedudukan yang jelas dalam sebuah institusi keluarga. Apakah aku harus menafikannya atau aku harus juga berkata bahawa aku masih berada di dalamnya walau tanpa sesiapa. Keluargaku adalah diriku sendiri. Aku menjadi pemimpin kepada diriku sendiri. Apakah aku berjaya memimpin diriku yang juga elemen sebuah pembentukan keluarga?

Terlalu banyak persoalan yang mendambakan jawapan meski bukan saat begini. Aku menjadi semakin kurang gerak. Aku mencari diriku yang tiada di antara yang ada. Perasaanku dan naluriku yang paling agung untuk diri insan. Ketika aku mengabaikan yang lain aku juga telah mengabaikan diriku sendiri sebenarnya. Aku harus selalu sedar tentang ini. Kerana itu aku harus punya pendirian dan meletakkan pendirian itu di hadapan bukan di belakang atau pada ketika keadaan yang memaksa sambil berkata aku sebenarnya ada pendirian yang harus aku akuri. Ketika aku mengenang seseorang, aku harus berani meletakkan pendirianku. Aku tidak harus kalah dalam sebuah pertarungan peribadi. Aku melewati ruang yang amat mencabar kewibawaan. Mungkin aku lebih memilih diriku dan bermuhasabah di dalam lingkunganku tanpa ada sesiapa.

          Dan sekarang, siapakah yang tidak mempunyai pendirian? Aku suka merujuk kepada persoalan diri dan seseorang yang pernah mentohmahiku malah lebih teruk daripada itu. Aku menjadi malas menghidupkan telefontanganku. Ketika aku memilih untuk berdiam diri dan aku tetap dipersoalkan. Dalam banyak hal, bukankah berdiam diri itu salah satu jalan untuk mencari jawapan kepada pendirianku. Diam juga merupakan suatu bicara yang panjang. Hanya tidak menyatakan apakah pilihanku.

Salahkah berperilaku begini?

          Aku menghilangkan diri untuk kembali kepada diriku yang sebenar. Itulah kenyataannya. Selama kukeluar dari diriku, entah apakah segala laku yang diperbuat sebenarnya betul atau sesungguhnya tidak. Sebenarnya apa yang aku inginkan itu benarkah? Atau sesuatu yang kuimpikan itu tidak benarkah? Dan menuntut aku membuat pilihan. Aku mesti berpihak kepada diriku. Barangkali aku terlalu hipokris. Mementingkan diri sendiri. Mendera diri orang lain. Menghancur luluhkan perasaan orang lain. Sengaja menyata rasa benci dan sebagainya. Menderitakan kehidupan orang lain dan sebagainya. Tapi sebenarnya tidak ada perasaan yang lebih hebat selain menerima apa sahaja atas alasan takdir!

          Sedangkan orang lain itu adalah … Apakah wajar memperkenalkan seseorang itu? Sudah pasti itu bukan jawapanmu untuk suatu saat diamku sering memberikan amaran! Siapakah yang tidak kenal seseorang yang telah melalui kehidupannya yang diceritakan kepadaku dan entah tiba-tiba aku berada di dalam kehidupannya meski hanya untuk beberapa waktu. Waktu yang hanya mencuri masa usiaku. Nilai waktuku berharga sewaktu raung ruang sunyinya begitu papa walaupun kegelisahannya boleh dibayar dengan warna mewah, huluran gantirugi kepada kehilangan erti remajanya. Dirimu - seorang primadona yang berani, gigih, tabah dan sangat nakal. Maaf, barangkali ada tanggapanku yang tidak disebut dan amat mengaibkan. Benar, tanggapanku ini walaupun kehidupan itu tak pernah akan berulang. Perulangan merupakan sebuah pembunuhan kepada pendirian yang pernah dilafazkan.

Barangkali tidak sama seperti ketika mengalaminya dalam sebuah kehidupan di sisimu itu seseorang tetapi tidak lagi menikmati sesuatu yang mesra. Kemesraan hanya pada ketika bulan mengambang penuh dan kau memerlukan bintang di langit kelam. Apa saja yang wajar telah menjadi hakmu. Tanggungjawab seorang lelaki yang pernah melafazkan takliknya dulu hanya berlaku pada huluran wangringgit dan kemewahan serta kebebasan - tidak lebih daripada itu. Kebebasan tanpa batas. Ke hulur ke hilir mencanai kerinduan terhadap kebebasan yang dipenjarakan oleh status seorang suri. Insan apakah ini? Dan wajarlah sewaktu aku menggelarinya seorang yang hipokrit hanya tahu untung diri sendiri sambil pada masa yang sama akulah menjadi sasaran hingga aku dipenjarai diamku.

          Begitukah insan?. Baik fikirannya atau tingkah lakunya yang sering berubah-ubah. Juga pendiriannya. Perubahannya ialah bertukarnya pendirian seseorang. Oleh kerana tiada pilihan lain pendirian baru mesti dinobatkan. Pendirian baru mesti direalisasikan. Walaupun terpaksa membunuh pendirian lama. Pendirian yang pernah diikatjalin dengan kemas. Pendirian yang pernah digambarkan sebagai sebungkah emas yang amat bernilai. Tapi hanya waktu-waktu tertentu sahaja selagi belum menemui pendirian yang baru. Akhirnya pendirian itu tidak menjadi suatu yang benar. Waktu yang dilalui berlalu seperti tidak berlaku apa-apa. Pandangan menjadi seperti biasa. Lautan tetap berombak bergelora. Pasir diubah-ubah olehnya. Dan aku menjadi pengunjung mengabadikan riwayat kenangan di bawah nyiur dan ru.

          Aku sungguh terkasima. Mungkin kenangan itu indah namun ingatan tetap saja menyayat hati. Apabila saling bunuh-membunuh pendirian-pendirian yang tidak setegap pohon jati, insan tidak dapat memilih jalan yang lebih selamat. Selepas ini, entah. Apakah pendirian itu berubah hanya kerana terpaksa memilih bahagia? Atau apakah apabila terpaksa memilih menang? Rasionalnya, kita harus memilih apa yang benar. Tidak mungkin seseorang itu memilih yang salah. Walaupun ketika memilih benar sebenarnya dia memilih yang salah. Padanya tentu tidak seperti yang beradu dalam fikiran. Bagaimana mungkin mempercayai seseorang yang pernah berkata tetapi menampilkan muslihat yang berterusan. Ah, karut!

          Ketika ingin menyampaikan sesuatu aku masih mencarinya meskipun yang bergerak hanyalah sebuah perjalanan mindaku. Ketika suatu hari yang paling bahagia untuk dirinya, tentunya, aku ingin mengutus kad ucapan sebagai tanda masih ada ingatanku untuknya. Tapi siapakah yang mahu membacanya jika tiada jalan yang membolehkan dia menerimanya. Ketika puteriku mencadangkan, ayuh kita cari seseorang itu. Mungkin itulah jalannya. Tetapi apakah jalan itu betul? Apakah jalan itu tepat? Apakah jalan itu boleh menemukan sesuatu atau boleh membunuh pendirianku?

Akhirnya aku memilih berdiam diri.

Aku mendekati seseorang yang lain, yang lebih membawa pengertian. Mendekati seseorang yang kukagumi. Seorang anak bangsa yang berani. Seorang warga negarabangsa yang teguh menancapkan pancang-pancang kebenaran, pancang-pancang keadilan.

          Semua orang dipinta membuat pendirian mereka hanya kerana mahu meletakkan seseorang itu di tempat yang mereka sediakan iaitu kejatuhannya. Dan seperti diriku, tanpa pendirian akan dipersoalkan. Seseorang akan dipersoalkan kedudukannya dalam suatu organisasi kerana semata-mata tidak menyatakan pendirian mereka. Walaupun mereka tahu bahawa pendirian yang ingin dinyatakan itu sesungguhnya akan membunuh pendirian sebenar mereka.

          Aku bosan membaca surat khabar atau menonton tv. Membuka situs demi situs  pada internet untuk mengalihkan sasaran minda daripada hanya membaca segala macam kepalsuan. Aku percaya kepada ketakpercayaan yang dilaung-laungkan. Aku percaya kepada ketaktelusan kata-kata yang diluahkan. Aku percaya kepada pendalihan yang ditabiri tohmahan, penghinaan, tuduhan dan sampai ke puncak kezaliman abad lalu. Tapi aku tak percaya kepada keangkuhan yang menebang pohon-pohon keadilan. Kemajuan bangsa dan negara bangsaku tidak punya erti apa-apa jika kemakmurannya telah dipadangjarakkan oleh sifat-sifat paranoid dan megalomania.

Di manakah diri kita saat ini? Sahabat itu menciri dirinya. Di manakah erti kemerdekaan kita pada saat ini. Apakah makna kemerdekaan yang telah kita lalui selama empat puluh lima tahun itu akan hapus begitu sahaja. Hanya kerana ingin mempertahankan sesuatu segala yang haram diubah menjadi halal. Agama menjadi komoditi politik. Undang-undang menjadi senjata dan ugutan. Raksasa kuasa mencengkam segala bidang dalam banyak perkara. Nafsu sarakah meluap-luap membakar kemurnian ciptabistari pembangkit revolusi. Memantau penganiayaan sebagai suatu kepastian dan menjadi suatu kemestian. Membunuh peribadi seseorang dengan ketajaman kuasa dan menyalah ertikan kesucian kuasa itu semata-mata kerana kegusaran yang keterlaluan. Paranoid!

Barangkali kita harus bertanya, adakah diri kita saat ini. Saat kita menyatakan sebuah pendirian yang dipaksakan. Benarkah kehadiran kita itu merupakan kehadiran yang sebenarnya. Aku semakin bingung melalui semua ini. Aku seperti insan kecil yang lain semakin dirungsingkan, semakin dibingungkan dan semakin dicurigakan.

Ketika anda bertanya, aku akan menjawab begini: yang mengetahui hanyalah diriku sendiri. Yang menghayati kehidupannya sendiri hanyalah diriku dan tak mungkin ada yang memahami. Aku melalui perjalanan yang telah kulakukan dengan penuh kesengajaan walaupun aku tidak pernah tahu di hujungnya ada apa, apa dan apa serta bagaimana. Selain mengimpikan sesuatu tetapi sesuatu itu juga terlalu awang-awang dan angan-angan meskipun aku telah menghayatinya. Ada keyakinanku untuk mencapai ilusiku itu tetapi siapakah yang boleh menerima jika kukatakan begitu? Tak ada lain selain hatiku sendiri. Dan Tuhan sebenarnya. Aku tahu Dia amat murka kepadaku. Tapi aku tahu masih ada ruang untukku pulang. Pulang ke rumahku yang sebenar iaitu diriku sendiri.

Dan aku tetap memilih diam!

Hanya burung-burung sunyi mengerti

 angkasa rasa ini

 kembara yang berdenyut

 bunyi irama

 mengakrab lestari

 mahabbah mengakar abrar

 

 Hanya perjalanan memahami hari

 yang dilalui

merawat riwayat luka

 

Hanya dibasahi gerimis senja

gelombang terakhir tak menyapa apa-apa

dari bibir hanya bungkam dalam derunya

biarlah amarah dibasahi diam yang memenjara.”

 

Jalan Mat Salleh,

Kota Kinabalu.

 

21 OGOS 2002

 

Hak Cipta Terpelihara ©Hasyuda Abadi, 2002

 

(Cerita ini semata-mata rekaan. Tidak ada kaitan dengan sesiapapun sama ada hidup mahupun telah mati. Jika berlaku persamaan hanyalah kebetulan yang tidak disengajakan)