ANDA
tentu pernah melihat ekor cicak yang terpenggal. Ceritakan kepada saya tentang
ekor cicak yang malang itu begini: saya agak nakal pada setiap malam jumaat
untuk mengumpul sebanyak empat puluh ekor cicak, hidup mahupun mati. Kesemua
cicak itu sudah tak berekor ketika mahu dipersembahkan kepada kerajaan tanah.
Begitu juga kepada sungai di bawah rumah atau di dalam tong sampah yang esoknya
akan dipunggah oleh pekerja Dewan Bandar Raya. Saya memikirkan tentang ekor
cicak itu. Dan tidak lagi cicaknya tapi ekornya. Ekor saja. Kepala saya
berligar-ligar membayangkan ekor yang lebih besar, panjang dan mengikat kepada
sesiapa saja. Orang kecil atau orang besar. Orang kecil-kecil atau orang
besar-besar.
Mengapa
binatang ada ekor. Manusia tak ada ekor. Harimau ada ekor. Gajah ada ekor.
Begitu juga musang. Tidak kepada katak. Tapi tak tidak kepada monyet, kambing,
beruang, babi, singa atau tupai. Rupanya manusia juga ada ekor sebenarnya. Saya
mula diingatkan oleh otak yang kekadang kering yang mendekatkan kepada lupa.
Benar manusia juga ada ekor. Inilah saya hendak menyampaikan idea tentang ekor.
Kepala saya selalu pening kerana kerap mencari ekor di medan selera. Sup ekor
yang berkhasiat itu kononnya. Semangat yang bakal menyala dan membara. Namun
pusing kepala saya tidak kerana supkan ekor tetapi ekor yang lain. Ekor yang
dimanusiakan. Ekor yang juga memanusiakan. Ekor yang sentiasa berada di belakang
tak mungkin di hadapan tetapi ada kalanya di depan. Ada beza antara
‘hadapan’ dan ‘depan’. Boss di pejabat saya tunggang langgang
melaksanakan tugasan juga ada ekornya. Sahabat-sahabat saya yang punya sedikit
wang dan pengaruh juga punya ekornya. Santai di meja mamak sambil dikelilingi
ekor-ekor yang berekor-ekor. Tanpa segan dan malu menjadi ekor. Ekor demi ekor
keluar daripada tong-tong sampah!
Ekor mencari badannya yang terpenggal. Entah kalangan
yang asyik masyuk di meja mamak itu mungkin tidak menyedari mereka sudah
kehilangan ekor. Kerana begitu asyik tak sedar ekor mereka terpenggal. Mereka
sudah lupa bahawa mereka sebenarnya punya ekor mereka sendiri. Walaupun mereka
itu menjadi ekor kepada badan yang lain. Sesekali mereka keliru bila dibicarakan
tentang ekor. Milik siapakah ekor-ekor yang tak henti-henti ke sana ke mari
memadankan kesesuaian mereka. Ada ekor yang panjang, pendek kontot, ada yang
bercabang-cabang, berwarni-warni, berkulit keras kematu dan sebagainya kerana
tidak dapat dipastikan jenis apakah ekor-ekor itu. Boleh jadi binatang buas atau
binatang separuh buas atau kurang buasnya. Walaupun kenyataannya kebuasan akan
menentukan bagaimanakah jenis ekor itu. Namun pada saat-saat yang genting
kebuasan tidak dianggap penting. Apa yang penting sewaktu genting ialah ekor.
Tidak
terkecuali ekor si orang alim dan para ulama yang punya ciri yang lain pula.
Mereka menjadi ekor saja dan ikut kepala. Sama ada kepala itu berotak ok atau
berotak tak ok, ekor itu ikut. Susah atau senang ekor tak pernah mengisahkannya
kepada sesiapa. Ekor patuh dan harus akur. Tidak seperti kepala kerita api. Ada
waktunya menjadi kepala, ada waktunya menjadi
ekor. Sebentar tadi ekor menjadi kepala untuk ke hadapan. Sejam kemudian ekor
yang menjadi kepala itu bertugas menjadi ekor pula. Ekor, kepala. Kepala ekor.
Analogi ini barangkali lebih mulia malah realistik kerana kepala dan ekor saling
bekerja. Ekor sudah melihat kepala lebih arif tentang arah jalan di hadapan
mahupun di belakang
Ada
kalanya kepala terlalu berkuasa. Namun anda sudah tentu pernah mendengar ekor
juga lebih besar kuasanya daripada kepala. Ekor ini bukan sebarang ekor. Tidak
kisah di abad mana atau di alaf yang mana dan musim-musim yang bagaimana anda
akan bayangkan. Ekorlah yang memanjangkan usia kepala. Sebab itu kepala juga
sering saja pusing kerana ekor yang terlalu panjang. Di mana kepala di situlah
ekor. Ekor juga akan menentukan kepala harus ke mana dan di mana. Kemana-mana
saja ekor dan kepala ada bersama. Di mana-mana juga kepala dan ekor bersahabat
baik. Baik dalam pengertian yang berbeza daripada pengertian yang biasa difahami.
Baik juga dianggap tidak baik apabila kebaikan itu bermotifkan kepentingan
sehala. Apa tah lagi jika kebaikan itu bermakna putaran kehidupan kepala akan
berlaku apabila kepala akhirnya menjadi ekor kerana ekor sudah pasti menunggu
masa menjadi kepala. Jangan tidak berwaspada. Ekor yang pernah anda injak dan
biarkan di dalam keluarga sampah saraf akan melakukan hal yang sama suatu waktu
yang lain apabila sampah saraf menjadi negeri yang membanggakannya. Sampah dan
saraf melambangkan kedaifan yang tidak selamanya daif. Di negeri sampah dan
saraf ekor sudah pasti mempelajari segala bau memberi makna bagaimana bau itu
boleh diubah menjadi bau yang enak dihidu. Segala ulat, bangkai, raungan lalat,
rakusnya anjing-anjing dan malu-malu tikus akan mengubah senario negeri sampah
dan saraf itu. Ekor yang berada di situ menjadikan pengajaran bau sebagai amaran
kepada kepala-kepala yang selalu lupa bahawa di dalam kepalanya itu tidak
semestinya otak tetapi lain misalnya batu atau kayu.
Benar, anda adalah ekor. Barangkali pada masa ini anda
juga kepala. Sekali gus anda kepala dan juga ekor kepada kepala anda.
Bagaimanakan ini? Kepala yang mengepalai ekor anda adalah ekor yang mengepala
batukan kepala anda. Mengepala kayukan juga sekali-sekala kepala anda sendiri.
Kepala anda itu batu yang selalu disebut kepala batu. Di dalam kepala, kepala
ekor yang anda punyai terlalu digambarkan seribu satu persoalan yang mahu
dihuraikan. Sering juga digambarkannya bahawa ada orang yang disangkakannya lupa
tetapi sebenarnya andalah yang lupa. Kepala anda sudah telalu tua. Kepala anda
terlalu dipengaruhi usia tua anda itu. Tua kepala anda kerana ketuaan anda
sahaja bukan tua kematangan anda. Anda tahu? Begitulah ekor anda. Ekor anda ikut
kepala. Kepala juga ikut ekor anda. Kepala dan ekor sama saja. Ke hulu dan ke
hilir tak ada beza. Kepala walaupun lebih tinggi daripada ekor, ini bukan
persoalan yang harus ditimbulkan. Ekor selamanya memang di bawah. Kepala juga
selamanya di atas. Itulah lambang kuasa.. Maka harus diingatkan bahawa kepala
apabila menjadi ekor selamanya dia mungkin kehilangan kepalanya. Otaknya sudah
berpindah ke buku lali. Atau menjadi perhiasan semata-mata di dalam lakaran para
pelukis atau seorang sasterawan sezaman. Mungkin saja dihias di dalam bingkai
dan diletakkan di dalam muzium kebangsaan. Hanya menjadi sejarah yang akhirnya
menjadi bualan sekurang-kurangnya berbunyi begitu: kasihan, inilah kepala yang
hilang!.
Saya bukan penentang kepada kepala saya sendiri! Ini
amaran untuk kepala yang matanya digayai hantu dan tua bangka!. Maksud saya
hatinya juga sudah membeku. Jika pernah saya tekankan bahawa kumat kamit mulut
kepala yang ini hanya tahu memberi amaran kepada kepala kepada ekor-ekor yang
padanya mudah diinjak-injak (maksud saya ideanya mudah dikesampingkan kerana
keekorannya), memang benarlah demikian. Kepala yang ini tahunya mengepalakan
kepalanya tidak lagi ekornya. Pergi jahanam dengan ekornya. Dialah kepala segala
kepala. Bukan kepada kepada segala ekor. Ekor tidak memberi apa-apa konotasi
yang mulia untuknya. Kepalalah untuk kepalanya. Ekor untuknya hanya tahu duduk
di sebalik cermin dan berkata-kata tanpa didengarinya. Kepala mereka itu
sebenarnya kepala hantu yang berkepala-kepala dungu sebenarnya.
Sayalah ekor untuk kepala saya. Anda fikirkanlah bahawa
saya ini hanya ekor dan juga kepala untuk diri sendiri. Jika saya kepala dan
sayalah ekor mudah-mudahan ekor dan kepala berjalan seiring. Kepala tidak
mengkotak-katikkan kepala-kepala yang punya ekor-ekor yang bebal dan kerbau.
Apalah namanya kerbau tanduknya tak berguna langsung. Ekornya juga yang memberi
khidmat menghalau lalat atau bangau. Apabila hidungnya dicucuk apakah peranan
tanduk dan ekornya? Inilah dia yang tidak wajar dicontohi. Masyarakat kerbau
memang tidak boleh memberi contoh kepada para kepala dan para ekor yang tahu
nilai diri dan tahu menghargai ekor atau kepalanya.
Rupanya anda tidak memahami idea yang mudah ini. Mudah
lagi kata seseorang meminta pelayan semangkuk sup ekor atau kari kepala ikan!
Namun awas, ekor yang ini tidak memberi kebaikan yang baik seperti juga kepala
yang beraroma itu. Anda mungkin tidak mati kebulur atau mengeringkan erti otak
sebenar. Sebab itu kembalilah
menjadi ekor setelah menjadi kepala. Kepala anda barangkali sudah besar, punya
kuasa dan berkaliber yang menghakmilikkan suara yang besar, tingkah yang besar
dan membosankan. Inilah yang melupakan akal anda terhadap ekor yang di bawah itu.
Menjadi haiwan lebih senang daripada menjadi manusia. Menjadi manusia lebih
mudah ketimbang menjadi insan yang menghargai daripada meminta dihargai. Maka
nyatakanlah pendirian ada apakah anda sekarang ini kepala atau ekor?