Make your own free website on Tripod.com
 

 

 

 

Festival Teater Malaysia

Festival Teater Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Pekan Teater Kebangsaan dan dihidupkan semula pada 1990 menggunakan format baru dalam penganugerahan kumpulan tanpa mengiktira  pemenang mengikut sistem johan, naib johan dan ketiga.


Lima kategori yang diperkenalkan ialah Anugerah Persembahan Mencapai Kesempurnaan Dalam Pementasan, Anugerah Persembahan Yang Menjelaskan Naskhah Dengan Kerja Yang Tersusun dan Teratur, Anugerah Persembahan Yang Berani Menonjolkan Secara Lucu Isu Yang Sensitif, Anugerah Persembahan Yang Berusaha Mengemukakan Persoalan Semasa Menggunakan Watak Tradisional Melayu dan Anugerah Eksperimental Dengan Unsur-Unsur Theatrical Yang Menarik.


Pendekatan pengiktirafan sedemikian memberi ruang kepada kumpulan untuk mencapai kemenangan dengan melihat kekuatan masing-masing dalam kategori yang disediakan berbanding sistem permarkahan yang lama. 

Justeru pada festival kali ini, peminat teater tanah air dapat melihat kejayaan kumpulan yang berlainan muncul sebagai pemenang sekalipun mereka mementaskan naskhah serupa seperti Sang Puteri karya Datuk Johan Jaafar.

Grup Teater Pendua Gerak Seni dari Johor dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Yang Menjelaskan Naskhah Dengan Kerja Yang Tersusun dan Teratur manakala Grup Teater Pertubuhan Pentas Lakon (Pelakon) Universiti Malaya muncul untuk Anugerah Eksperimental Dengan Unsur-Unsur Theatrical Yang Menarik.

Johan Selangor, Grup Teater Malinja yang mementaskan Perempuan Seorang Leftenan Inggeris naskhah Zakaria Ariffin membolot Anugerah Persembahan Mencapai kesempurnaan Dalam Pementasan manakala Kumpulan Budayasari yang mementaskan Dalam Kehadiran Sofea muncul sebagai penerima Anugerah Persembahan Yang Berani Tonjol Secara Lucu Isu Yang Sensitif.

Tidak ketinggalan, Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek), yang mementaskan Entithesis karya Muhammad Zaidin Hussin dipilih sebagai pemenang untuk Anugerah Persembahan Yang Berusaha Kemukakan Persoalan Semasa Menggunakan Watak Tradisional Melayu.

Ketua panel hakim, Prof Datin Dr Rahmah Bujang, ketika mengulas pencapaian kumpulan mengingatkan bahawa kebijaksanaan memilih skrip, membuat kupasan bagi membolehkan ia dipentaskan dan dinikmati bersama penonton penting dalam pementasan teater.

“Perlu diingat teater membabitkan komposisi visual dan oral. Saya bersama empat lagi rakan panel sepakat memilih lima daripada 14 kumpulan yang turut serta pada festival ini dengan mengambil kira kriteria pengolahan, keberhasilan dan persembahan yang menyeluruh.

“Panel hakim turut melihat keupayaan kumpulan menghantar kandungan cerita yang jelas dengan persembahan terisi dalam adunan yang menggabungkan ramuan reka bentuk dramatik dan mampu mengawal persembahan agar tema cerita terpelihara dengan baik serta penyampaian terkawal,” katanya yang dibantu Prof Dr Mohamed Ghouse Nasaruddin, Prof Madya Dr Zainal Latiff, Ahmad Yatim Talib dan
Bayu Utomo Radjikin.

(sumber Berita Harian)