Make your own free website on Tripod.com
Kepala-Kepala

Oleh Hasyuda Abadi
(hasyuda@yahoo.com)

SEBENARNYA bukan bola tetapi kepala! Kepala pun boleh tercabut dan dijadikan bola. Kepala yang dibolakan. Boleh ditendang, digelecek, diputar-putar, dibuang, dilambung dan disilih ganti. Kepala boleh ditukar atau disilih gantikan. Sungguh ajaib idea ini tapi ini bukanlah suatu peristiwa zaman purba murba waima kononnya kisah kepala terbang ke sana ke sini menemui mangsanya.Peristiwa ini berlaku dalam zaman pascamoden ini. Ketika dunia dibangunkan oleh segala rentak kecanggihan. Kepala menjadi tidak bererti lagi. Sungguh-sungguh tidak bererti!

            Yang sebenarnya kepala ini tidaklah terbang hinggakan berjurai tali perut-tali perut. Matanya tidak terbeliak menggerunkan. Lidahnya tidaklah terjelir mengerikan. (Tentulah bukan seperti gambaran yang pernah diberi oleh orang-orang kampung ayah saya atau ibu ketika kecil atau oleh para bomoh di kampung ayah saya yang maha arif itu.) Bukan juga bagai diceritakan oleh para andartu melalui kepalanya yang terlalu banyak bicara, banyak bangkang, banyak juga celoteh mempertikai kebolehan orang lain dan simbayu di kalangan kelompoknya. Inilah kepala milik anda juga. Jika anda boleh memahami maksud saya. Misalnya kepala andartu, saya juga ingin memaksudkan begitu.

Suara kepala andartu terlalu memilukan. Ah! Persetankan suara hantu andartu itu. Sekarang cerita tentang kepala-kepala yang banyak. Terlalu banyak hinggakan menjadi suatu kesukaran untuk memilih kepala apakah yang terbaik. Berambut hitam keriting, tidak berambut langsung atau rambutnya seperti laut yang menampakkan bulatan berkilau dipanah matahari. Mungkin juga kepala yang punya otak yang bergeliga, pintar yang hidungnya sudah digari. Atau kepala yang layaknya seperti bola boleh diputar-putar, ditendang dan boleh juga dibaling ke sana ke mari. Tidak ada apa-apa bezanya. Jika sudah menjadi bola, bolalah kepala itu sebenarnya.

Orang ramai di dalam sebuah lokasi yang sudah kenali, amat dikenali sesungguhnya, masing-masing ingin mempertahankan kepala-kepala junjungan mereka. Pahlawan kaum di zaman purba murba selalu menganggap kepala yang berjaya dipenggalnya selepas perang sebagai nilai kegagahan dan kepahlawanan. Dialah anak muda yang perwira. Dia jugalah bakal digemari anak-anak perawan bahkan dipandang sebagai insan yang boleh diharapkan menjadi peneraju kaumnya dizaman mendatang.

Namun di antara kepala-kepala itu tampil kepala andartu mengaksikan aksi-aksi kebiasaannya dan juga kesukaannya. Tidak dapat digambarkan dengan kata bagaimana raut wajahnya yang digelar kepala bagi segala andartu di lokasi itu. Kepala andartu ini berdiri di atas pentas sambil mengintai-intai jika dia boleh mendengar suara sesiapa yang berani mempertikai kewibawaannya memimpin para andartu. Ketika itu juga dia melaungkan suaranya yang sudah hampir separuh abad usianya, dan masih andartu. Kedengaran jendela mulutnya terbuka dan tertutup, dan dia mula berceloteh tentang itu dan ini. Ini dan itu yang tak boleh dan boleh. Itu dan ini yang betul harus lahir dari langkah-langkahnya atau tangkas fikirannya melalui tangan dan kakinya. Tanpa disedarinya orang ramai sudah mula mencemuh dan menampakkan wajah bosan dan mereka mula menulikan telinga.

Mengapakah kepala andartu itu masih di situ, tidak ditendang laksana bola seperti kepala-kepala yang berlaku di sebuah lokasi yang dimaksud tadi. Ketua andartu itu wajar ditendang dan dijadikan bola atau buang saja anginnya supaya tidak boleh bersuara dan tidak boleh menjadi bola. Lalu menjadi bangkai bola yang akan dikebumikan. Tapi semua orang akan merindui suara kepala andartu itu. Terutama sekali ketika dia duduk, sambil menganggukkan kepala dan ketawa sinis, memperli walaupun sesekali serius tetapi kebiasaanya duri-duri keceluparannya akan menusuk di belakang ketika orang lain pergi tanpa berpaling.

Biarkan si ketua andartu itu menjadi bangkai si luncai yang terjun ke dalam lautan tanah tak bergelombang tapi bernanah tanah!

Di tengah lokasi yang dimaksudkan kepala-kepala selain kepala andartu itu kelihatan terlalu dungu, tolol, bengang, bodoh dan yang seumpama dengannya. Inilah kata yang wajar untuk para kepala itu. Mereka tidak seperti kepala andartu yang berani walaupun memang memilukan malah memalukan. Kepala-kepala itu otaknya barangkali tidak seperti otak mahluk berjenama manusia. Otaknya bukan saja kering beku tetapi sudah kering kayu. Otak yang basah telah disalah pakai. Otak asal di dalam kotak kepalanya dulu sudah diitakluk. Sudah juga dijadikan hamba abdi. Sudah juga menjadi haiwan di sawah atau suatu pandangan daif di lorong-lorong gelap. Meraung di waktu malam atau ketika gema azan subuh berkumandang.

Kepala andartu masih berdiri di tengah pentas. Walaupun pendek, gemuk gempal suaranya cukup lantang dan berani. Seluruh kepala-kepala tak berani mendongak melainkan tunduk ke bawah membaca tanah. Mereka tidak mendengar sepatah pun kata-kata kepala andartu yang bukan kepalang semangatnya. Memang membara semangatnya apabila berada di atas pentas sambil mendabik dada memperkatakan kedudukannya dan keadaannya. Juga kemampuannya. Kepala andartu itu mula membaca biodata. Sambil menegak-negakkan kedua bilah tangannya, kepala andartu itu melaung-laungkan suara kebebasan, keadilan, kebenaran dan lain-lain lagi.

Ketika kepala andartu itu mula membaling-baling pakaiannya dari tubuh badannya yang tidak pernah habis pakaiannya walaupun semua pakaiannya itu dibukanya, orang ramai di dalam lokasi itu ketawa terbahak-bahak. Bayangkanlah jika anda adalah antara kepala-kepala yang dungu, tolol dan bodoh, bengang dan yang seumpama dengannya itu. Mungkin turut ketawa terbahak-bahak sambil menghentak-hentakkan kaki dan memukul-mukul perut mereka dan juga kepala mereka sendiri. Tidak jelas apakah perasaan mereka ketika itu walaupun dalam keadaan sedar. Kepala-kepala yang tolol, bengang, dungu, bodoh dan yang seumpama dengannya itu masih dihantui oleh suatu perasaan luar biasa sehingga ketika ketawa mereka sempat mengumpul tenaga untuk meneruskan ketawa selanjutnya. Itu sajalah yang diketahui mereka. Ketawa dan ketawa terbahak-bahak melihat orang lain yang berlaku lucu dan bodoh. Mereka melihat sendiri aksi bodoh dan lucu kepala andartu itu. Mungkin mereka memikirkan kepala andartu itu memohon perhatian para kepala yang ada untuk melamarnya! Sehigga terpaksa membuka segala pakaiannya walaupun tidak mungkin habis jika mahu dibuka semuanya. Terlalu banyak pakaian yang dipakai oleh kepala andartu itu.

Kepala andartu diam seketika dan duduk semula di belakang pentas. Sungguh dirasakannya suatu kehilangan tenaga yang lain. Dirasakannya kepalanya mula tercabut daripada kedudukannya. Kepala andartu itu sudah terasa tergugat. Kerana kerhadiran begitu ramai andartu yang sudah mula mual dengan kerenahnya, kepala andartu itu tidak henti-henti membuka pakaiannya dan seperti biasa pakaiannya tidak pernah habis. Sambil matanya liar mencari para pahlawan purba murba yang gagah menjunjung kepala yang disabitnya dalam peperangan kaum mereka. Tidak kelihatan seorang pun. Tidak ada seorang pahlawan pun hadir di dalam sebuah lokasi yang dimaksudkan di atas. Tiada melainkan kepala-kepala yang semakin dungu, tolol, bengang, bodoh dan yang seumpama dengannya.

Kepala andartu itu bangun semula dan gambaran pada masa ini menjelaskan visinya. Dia menegakkan sekali lagi kedua bilah tangannya dan melaungkan suaranya yang sudah bertukar menjadi suara keldai. (Saya sudah tersilap. Entah mengapa tiba-tiba saja fikiran bertukar. Kepala andartu itu menjadi kepala keldai pula!) Rupanya betul. Kepala andartu itu sudah tercabut dan kepalanya bertukar menjadi kepala keldai. Patutlah suaranya sudah menjadi suara sang keldai. (Saya sungguh gumam memikirkan nasib `arwah' kepala andartu itu. Di mana harus saya letakkan kepalanya yang sudah tercabut itu?) Tiba-tiba, anda tahu, kepala andartu itu sudah ada di antara kepala-kepala yang sudah terkenal dengan bengang, tolol, dungu dan bodoh. Tidak ada lagi suara yang jelas sebagaimana diperlakukan oleh kepala andartu yang berani. Berani dalam banyak hal. Daripada hal luar hinggalah kepada perihal dalaman. Berani memperkatakan kelemahan orang lain tetapi tidak berani memberi panduan agar segala yang difikirkannya salah itu menjadi teladan hari kemudian. Namun kepala andartu itu memang cukup berani. Tiada siapa berani membandingkan keberaniannya yang luar biasa itu. Apatah lagi jika mahu membandingkan dengan kumpulan kepala antertu yang kononnya mahu mencari pasangan masing-masing apabila bertemu dengan kumpulan andartu di tengah lokasi yang dimaksudkan di atas.  Memang tidak menjadi. Antertu tidak menemukan jodohnya di tengah-tengah para andartu. Inikan pula suara kepala andartu yang jauh melebihi suara antertu. Namun segala-gala juga hancur musnah apabila kepala andartu akhirnya tercabut juga dan bertukar menjadi kepala keldai!

Glosari:
 Sembayu     -      Berlagak suka dipuji (kosa kata sukuan Sungai)
Antertu          -     Anak teruna tua

Kampung Lumadan Beaufort
11 Oktober 2000                                   
 Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2000