KOTA TAMADUN BANGSA:
PERSPEKTIF PENYAIRÓ

oleh
HASYUDA ABADI
hasyuda@sabah.net.my
Ikatan Penulis Sabah
(IPS)

Pendahuluan

Sebagai penyair saya selalu memandang sesuatu itu  tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah disebabkan sesuatu yang lain samada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya sesuatu itu ada puncanya yang mengakarkan apa juga peristiwa. Tanpa mengambil kira apakah peristiwa itu besar atau kecil. Peristiwa akan mendasar kepada pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan. Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.
Antara  sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi. Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya  berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan berkomunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang semula jadi.  
Manusia mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan lain-lain lagi.
Demikianlah apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi tak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di manapun kita berada, kita akan mengamati  situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan penelaahan. Kita menerjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah yang berbeza tetapi sentiasa menzahirkan pengalaman baru kepada orang lain. Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminka peribadi, sikap, pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam, masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakwarnakan sikap penyair dan tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah keapda kekreatifan, imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah persoalan sama ada besar ataupun kecil termasukalah apa yang ingin kita amati tentang kota dan tamadun bangsa.

Konsep Pembinaan Tamadun

Tamadun yang sama ertinya dengan perkataan Inggeris civilization lahir daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud `city' atau bandar. Bandar jelas dianggap tempat dan petanda kelahiran sesebuah tamadun atau peradaban  manusia. Ia sama dengan konsepsi Ibn Khaldun yang mengaitkan pertumbuhan tamadun manusia dengan kehidupan di bandar.
Namun begitu, kehidupan bandar semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran sesebuah tamadun. Kehidupan mestilah dilengkapi oleh beberapa ciri lain, seperti wujudnya sistem pemerintahan atau tatanegara, munculnya sistem tulisan dan perundangan, wujudnya kegiatan ekonomi yang relatifnya maju dengan pengkhususan pekerjaan, serta tidak kurang penting, adanya mekanisme penguasaan sosial menerusi agama atau sistem kepercayaan. Dengan itu, kehidupan bertamadun mempunyai enam ciri asas seperti yang berikut:

Menjalani kehidupan di bandar
Mempunyai sistem pemerintahan atau kerajaan
Mempunyai tulisan
Mempunyai sistem perudnangan
Mempunyai siastem kepercayan dan agama
Wujudnya pengkhususan dalam pekerjaan

Dari perspektif Timur-Islam, perkataan tamadun lahir daripada perkataan akarnya mudun dan mada'in yang kemudiannya membawa kepada madinah, yang secara hurafiahnya bermaksud bandar. Mungkin juga istilah Barat modern dipinjam daripada perkataan Arah mudun. Daripada akar perkataan mudun lahirlah nama bandar Madinah yang nama asalnya Yatrib. Konsep tamadun mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep masyarakat madani yang mulai dipopularkan penggunaannya sejak kebelakangan ini. Madani, mudun dan mada'in  yang melahirkan perkataan madinah berasal daripada akar yang sama dalam konsepsinya yang paling mudah.
Penulis paling awal menggunakan istilah madani ialah Ibn Khaldun, ahli sosiologi dan sejarawan arab abad ke-14. Bagi beliau, istilah madani lahir daripada perkataan al-madaniyah yang membawa erti `peradaban kemakmuran hidup'. Kerana itu, tamadun bolehlah ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan pencapaian yang baik, halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku serta budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sesebuah masyarakat  atau negara bangsa.
Sarjana sosiologi dari Iran, Ali Sariati (1933-1977) mengemukakan teori mengenai perkembangan tamadun manusia. Menurutnya ada dua perkara berkaitan dengan peranan manusia dalam membina tamadun iaitu fenomena migrasi atau hijrah sebagai faktor utama yang membawa kepada tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia. Kedua ialah peranan manusia dalam menempa kemajuan. Dari segi sejarah dan apa yang tersurat, hijrah ialah peristiwa perpindahan ummah Islam dari Makkah ke negeri Habsyah dan ke Kota Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum musyrikin Makkah yang memusuhi Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam.
Dilihat secara lebih mendalam dan dalam erti yang tersirat, hijrah mempunyai prinsip dan falsafah sosial yang tertentu kerana hijrah telah melahirkan suatu tamadun baru yang besar. Daripada kajian Ali Shariati terhadap 27 tamadun manusia sejak zaman silam, beliau menyimpulkan bahawa tamadun lahir kerana penghijrahan manusia dari tempat asal mereka ke tempat baru. Sebaliknya, tidak terdapat sebarang tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Di negara kita, tamadun Melaka yang lahir dan tiba kemuncaknya pada abad ke-15 juga adalah hasil perpindahan sekelompok kecil manusia dari Sumatera ke Temasuk dan akhirnya membuka Melaka sebagai sebuah negeri dan pelabuhan perdagangan. Begitu juga dengan kerajaan Melayu Champa di Vietnam, yang wujud antara awal kurun Masihi sehingga abad ke-18, ialah hasil penghijrahan rumpun Melayu dari kawasan Dunia Melayu Inti ke utara. Sejarah bertapak dan berkembangnya Islam di Afrika Selatan adalah akibat penghijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke sana mulai suku abad ke-17 sebagai hamba dan buangan politik penjajah Belanda. Pada hari ini membinaan tamadun baru Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur ialah hasil penghijrahan beberapa kumpulan etnik dari pelbagai wilayah dan daerah ke pusat tamadun baru tersebut. Malah bagi orang Melayu, semua mereka yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari ilmu dan bekerja di kawasan lain telah pun melakukan penghijrahan. Secara langsung mereka memberi sumbangan penting untuk membina tamadun baru Malaysia pada abad ke-20. Malah kadar migrasi orang Melayu yang begitu tinggi ke Kuala Lumpur sejak 25 tahun yang lalu telah memacu pembangunan negara yang begitu pesat dibandingkan dengan apa yang berlaku di masa-masa sebelumnya.
     Prinsip kedua berhubung pembinaan tamadun dan kemajuan manusia hasil pemikiran Ali Shariati ialah pentingnya peranan manusia itu sendiri atau al-nas. Ini berdasarkan kepada ayat dari kitab suci al-Quran yang bermaksud: Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (kaum=manusia) jika mereka sendiri tidak mahu mengubahinya. Di dalam al-Quran, Allah sentiasa menyeru, “Wahai orang-orang yang beriman…” atau ”Wahai manusia…”. Ini bermakna  bahawa MANUSIA itu sendirilah yang bertanggungjawab dan berperanan menentukan nasib hidup dan masa depan mereka; dan mereka diberi akal fikiran serta kudrat untuk berusaha mengubah serta mencorak masa depan mereka seperti yang direncanakan. MANUSIA meningkat kepada status yang lebih tinggi melalui ilmu pengetahuan serta menunjukkan dengan jelas kelebihan mereka berbanding dengan mahluk-mahluk yang lain. Mereka memiliki kebesaran dan kehormatan melalui pembelajaran, pertanyaan dan kajian, sebaliknya mereka akan kehilangan status tersebut jika mereka meninggalkannya dan mengikut jalan orang yang jahil. (Surah al-`Alaq : 1-5).     Dengan pendidikan, akan membawa manusia kepada kepatuhan dan kekuasaan, manakala kejahilan diakui akan membawa kepada kejahatan dan maruah  yang rendah.
     Keutamaan bagi manusia menurut al-Quran  adalah pendidikan. Melalui pendidikan manusia dapat meningkatkan harga diri mereka serta mendapat bukti tentang kewujudan Allah S.W.T. Malahan mereka akan menemui kebenaran dan kenyataan seluruh alam semesta, tingkat  pemikiran dan moral alam, juga nilai-nilai kuasa dan rahsia alam. Manusia juga dapat mengetahui cara bagaimana untuk mempergunakan kekayaan alam untuk kepentingan mereka. Segala rahsia alam yang tiada akhirnya  dan kegunaannya akan dapat diketahui oleh manusia melalui pendidikan, pembelajaran dan penyelidikan.

Kota, Tamadun dan Bangsa Sebuah Penilaian Penyair

Bagi penyair di mana-manapun di dunia ini, melihat kota sebagai sebuah lautan  yang sentiasa bergelombang; kadang-kadang memandang kota sebagai sebuah hutan belantara yang subur akibat pembajaan yang sempurna; ada waktunya penyair memetik bunga rahsia kota sebagai gelanggangnya bermain kata bersama segala hal yang menjanjikan makna tersendiri sebenarnya. Kota sebagai pusat kebanyakan aktiviti meriwayatkan kelangsungan kehidupan. Degupannya sering juga menyegarkan semula yang mula tenggelam malah sebaliknya tetapi kota tidak selamanya memberi kebahagiaan yang hakiki. Tetapi pada masa yang melahirkan benih dari pengamatan, penafsiran dan juga penghayatan yang menyediakan pengalaman baru kepada penyair itu dan orang lain. Dalam wacana ringkas ini, saya ingin mengenengahkan beberapa pencernaan fikrah beberapa orang penyair Malaysia mengenai pengamatan mereka mengenai kota dan pembinaan tamadun.
Seperti membina sebuah bangunan, hanya arkitek saja yang lebih memahami sturktur binaan. Demikian halnya bagi penghuni kota yang bertindak sebagai arkiteknya. Dari sajak `Arkitek Kota', Muhamad Haji Salleh merakamkan:

`hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
feel langit dan sabar bumi
berhak membina kota'

     Beginikah seharusnya pemilik kota yang mengimpikan keberadaannya begitu mengerti agar nikmat kota itu ditemui dalam kemungkinan-kemungkinan yang digambarkan. Penghuni kota harus menghargai keindahan alam kerana merekalah pewaris bagi membina keindahan iaitu sebuah tamadun. Kata Muhammad,

          pencipta kota ialah
          pendekar muda dengan langkah berbagai
          kelakar tua yang mengampungkan cerita
          orang bercinta yang perlukan bulan.
          dia pengukir ruang hidup
          penghias suasana sempurna
          membenarkan penemuan
          memungkinkan kemungkinannya.
Keutuhan bangsa berakarkan kepada kemantapan akal dan hati budi insan. Bagi bangsa yang besar, keberanian demi menegakkan kebenaran harus harus ditunjukkan. Kota menjadi benteng tetapi kota itu merupakan peribadi sedangkan dirinya adalah sebuah bangsa yang harus terus menerus membangunkan akalnya dalam cara yang membina. Kehidupan itu harus dinikmati dengan caranya bukan dendam dan tipu muslihat. Jasni Matlani dalam `Sesekali Waktu Bertemu Jebat di Kota Diriku', meletakkan keberadaban itu dengan penuh kesedaran. Katanya,

          `Ajarlah aku membuktikan kebenaran.
          Ajarlah aku menikam Karmawijaya dengan semangat keris pantun,
          syair dan gurindam. Ajarlah aku menghidupkan  di kalbuku rasa
          keberuntungan diri dan dilahirkan pahlawan.'

     Namun begitu, tidak pula disimpulkan kota sentiasa diimejkan sebagai suatu lubuk kebahagiaan semata-mata lantaran situasi yang hidup tanpa batas waktu. Kota digambarkan sebagai gua puaka yang menempiaskan warna malapetaka. Zam Ismail, dalam `Jalan-jalan Raya Kotaku', mencitrakan gambaran keserakahan warga kota yang telah melenyapkan keluhuran budi mereka.

          `Demikian etika di perjalanan
          budi luhur warga kotaku
          tidak lagi berlaku
          yang hadir adalah keserakahan
          memacu menghimpun kekuatan
          menghakis sopan santun'

     Kehidupan manusia setiap hari semakin berkembang maju. Mereka terlalu sibuk dengan mencari haluan hidup sama ada berasaskan kepada prinsip individu, keluarga atau masyarakat ataupun tidak. Kebanyakannya tidak mempunyai prisnip hidup walaupun memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi kerana telah dibuai dengan kesenangan, kemewahan dan kepuasan hidup. Sebahagian yang lain pula masih mencari-cari satu pegangan hidup yang lebih berasas supaya segala  masalah dapat diatasi dengan sempurna.
     Perubahan demi perubahan berlaku dalam masyarakat yang dengan tidak disedari berlaku pelbagai gejala keruntuhan akhlak dan kesalahan serta jenayah. Perubahan ini menjadi satu persoalan apakah masyarakat merestui pada masa akan datang terbinanya satu tamadun baru atau tamadun materialisme yang mengenepikan  amalan kemanusiaan  dan nilai kerohanian atau ingin melihat wujudnya satu tamadun hendoisme Malaysia untuk dipraktikkan  oleh setiap anggota masyarakat menerusi budaya barat. Namun begitu, penyair sebagai mewakili masyarakatnya menjelaskan penegasannya bahawa masyarakat harus selalu diingatkan agar gejala yang berlaku itu tidak mencacatkan pembinaan sebuah tamadun yang dihormati. Abdul Rahim Tapah, dalam `Atas Nama Kita Sendiri', mengingatkan bahawa `setiap catatan tak semestinya disisi dengan mimpi'. Rahim membarakan lagi gelombang semangatnya agar kita `mematahkan seruling fantasi' yang telah meletakkan kita pada tempat yang bertambah mundur kerana terlalu dihiasi aktiviti kehidupan yang tidak membina. Katanya,

          `Lepaskan kecapi dan patahkan seruling fantasi. Ktia cipta
          lagu keriangan untuk zaman ini - lagu baru ciptaan kita sendiri.
          Rentaknya bakal merobohkan kota-kota purba dari mimpi dan
          kita abadikan ia dalam catatan sejarah atas nama kita sendiri.'

     Para penyair tidak dapat tidak menyatakan pendirian sekaligus juga melontarkan pertanyaan demi pertanyaan mereka tentang peristiwa serta pengalaman masa lalu. Bagaimana tamadun bangsa dapat dipertahankan oleh masyarakat industri yang dibiasakan oleh kemewahan. Jasni Matlani dalam sebuah sajaknya `Ketika Mendepani Sebuah Kota',12 menggambarkan satu suasana di mana:

`Puing-puing bencana bergasakan
dan para sahabatku yang berlari mengharung
sejarah dan citrawara perit. Inikah zamannya rohku tertusuk
belati tajam waktu dan jasadku mabuk bergelitan
di celah-celah dinding kaca hawa nafsu
sementara kebimbangan membelit dan menjerut akaliah.
Kaukah yang terkurung di sebuah kamar hitam
sambil menyedut debu keluar dari corong hayat
iklim terus buram, kehilangan sari warna
sukma menerjang. di sana kau akan menyaksikan
pementasan hari depan menggores midna
pancaroba bertelagah dan bersengketa dengan
ihtihad Mahmudah. Ijtihad Sabililah.'
Penutup

Amat jelas disedari bahawa kota atau bandar yang ditakrif sebagai pusat segala kemajuan bermula itu menjadikan kemanusiaan lebih bertanggungjawab terhadap pembinaan sebuah tamadun bangsa. Namun demikian seperti dijelaskan tadi bahawa kehidupan kota semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran sesebuah tamadun tetapi dibantu oleh perletakan aspek-aspek yang menekankan ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang dan adat resam di tempat yang tinggi. Penghijrahan atau perpindahan daripada sebuah kota kepada bandar raya menjadi isyarat betapa warganya melangkah setapak lagi dalam peradaban dan kemakmuran hidup sebagaimana kata `bandar raya' itu sinonim dengan istilah `masyarakat madani'.13 Kerana itu juga taraf bandar raya bukan sekadar perubahan dan peningkatan kualiti dari sudut fizikal, tetapi kedudukan teratas bandar raya menuntut kesediaan warganya berusaha serta berazam meningkatkan kecemerlangan dari sudut ketahanan dalaman dengan kekuatan spiritual dan kemantapan dari aspek mental yang mana kedua-dua faktor ini menjadi teras kepada kejayaan sesebuah peradaban atau tamadun. Tamadun yang terkenal dalam sejarah manusia adalah hasil budaya yang sesuai dengan pembentukan dan pencapaian tamadun berkenaan.

IKATAN PENULIS SABAH,
KOTA KINABALU.

[ Kembali ke atas ]