KEPALA KEPALA
SEBENARNYA
bukan bola tetapi kepala! Kepala pun boleh tercabut dan dijadikan bola. Kepala
yang dibolakan. Boleh ditendang, digelecek, diputar-putar, dibuang, dilambung
dan disilih ganti. Kepala boleh ditukar atau disilih gantikan. Sungguh ajaib
idea ini tapi ini bukanlah suatu peristiwa zaman purba murba waima kononnya
kisah kepala terbang ke sana ke sini menemui mangsanya.Peristiwa ini berlaku
dalam zaman pascamoden ini. Ketika dunia dibangunkan oleh segala rentak
kecanggihan. Kepala menjadi tidak bererti lagi. Sungguh-sungguh tidak bererti!
Yang
sebenarnya kepala ini tidaklah terbang hinggakan berjurai tali perut-tali perut.
Matanya tidak terbeliak menggerunkan. Lidahnya tidaklah terjelir mengerikan. (Tentulah
bukan seperti gambaran yang pernah diberi oleh orang-orang kampung ayah saya
atau ibu ketika kecil atau oleh para bomoh di kampung ayah saya yang maha arif
itu.) Bukan juga bagai diceritakan oleh para andartu melalui kepalanya yang
terlalu banyak bicara, banyak bangkang, banyak juga celoteh mempertikai
kebolehan orang lain dan simbayu di kalangan kelompoknya. Inilah kepala milik
anda juga. Jika anda boleh memahami maksud saya. Misalnya kepala andartu, saya
juga ingin memaksudkan begitu. Suara
kepala andartu terlalu memilukan. Ah! Persetankan suara hantu andartu itu.
Sekarang cerita tentang kepala-kepala yang banyak. Terlalu banyak hinggakan
menjadi suatu kesukaran untuk memilih kepala apakah yang terbaik. Berambut hitam
keriting, tidak berambut langsung atau rambutnya seperti laut yang menampakkan
bulatan berkilau dipanah matahari. Mungkin juga kepala yang punya otak yang
bergeliga, pintar yang hidungnya sudah digari. Atau kepala yang layaknya seperti
bola boleh diputar-putar, ditendang dan boleh juga dibaling ke sana ke mari.
Tidak ada apa-apa bezanya. Jika sudah menjadi bola, bolalah kepala itu
sebenarnya.
Orang
ramai di dalam sebuah lokasi yang sudah kenali, amat dikenali sesungguhnya,
masing-masing ingin mempertahankan kepala-kepala junjungan mereka. Pahlawan kaum
di zaman purba murba selalu menganggap kepala yang berjaya dipenggalnya selepas
perang sebagai nilai kegagahan dan kepahlawanan. Dialah anak muda yang perwira.
Dia jugalah bakal digemari anak-anak perawan bahkan dipandang sebagai insan yang
boleh diharapkan menjadi peneraju kaumnya dizaman mendatang. Namun
di antara kepala-kepala itu tampil kepala andartu mengaksikan aksi-aksi
kebiasaannya dan juga kesukaannya. Tidak dapat digambarkan dengan kata bagaimana
raut wajahnya yang digelar kepala bagi segala andartu di lokasi itu. Kepala
andartu ini berdiri di atas pentas sambil mengintai-intai jika dia boleh
mendengar suara sesiapa yang berani mempertikai kewibawaannya memimpin para
andartu. Ketika itu juga dia melaungkan suaranya yang sudah hampir separuh abad
usianya, dan masih andartu. Kedengaran jendela mulutnya terbuka dan tertutup,
dan dia mula berceloteh tentang itu dan ini. Ini dan itu yang tak boleh dan
boleh. Itu dan ini yang betul harus lahir dari langkah-langkahnya atau tangkas
fikirannya melalui tangan dan kakinya. Tanpa disedarinya orang ramai sudah mula
mencemuh dan menampakkan wajah bosan dan mereka mula menulikan telinga. Mengapakah
kepala andartu itu masih di situ, tidak ditendang laksana bola seperti
kepala-kepala yang berlaku di sebuah lokasi yang dimaksud tadi. Ketua andartu
itu wajar ditendang dan dijadikan bola atau buang saja anginnya supaya tidak
boleh bersuara dan tidak boleh menjadi bola. Lalu menjadi bangkai bola yang akan
dikebumikan. Tapi semua orang akan merindui suara kepala andartu itu. Terutama
sekali ketika dia duduk, sambil menganggukkan kepala dan ketawa sinis, memperli
walaupun sesekali serius tetapi kebiasaanya duri-duri keceluparannya akan
menusuk di belakang ketika orang lain pergi tanpa berpaling.
Biarkan
si ketua andartu itu menjadi bangkai si luncai yang terjun ke dalam lautan tanah
tak bergelombang tapi bernanah tanah!
Di
tengah lokasi yang dimaksudkan kepala-kepala selain kepala andartu itu kelihatan
terlalu dungu, tolol, bengang, bodoh dan yang seumpama dengannya. Inilah kata
yang wajar untuk para kepala itu. Mereka tidak seperti kepala andartu yang
berani walaupun memang memilukan malah memalukan. Kepala-kepala itu otaknya
barangkali tidak seperti otak mahluk berjenama manusia. Otaknya bukan saja
kering beku tetapi sudah kering kayu. Otak yang basah telah disalah pakai. Otak
asal di dalam kotak kepalanya dulu sudah diitakluk. Sudah juga dijadikan hamba
abdi. Sudah juga menjadi haiwan di sawah atau suatu pandangan daif di
lorong-lorong gelap. Meraung di waktu malam atau ketika gema azan subuh
berkumandang.
Kepala
andartu masih berdiri di tengah pentas. Walaupun pendek, gemuk gempal suaranya
cukup lantang dan berani. Seluruh kepala-kepala tak berani mendongak melainkan
tunduk ke bawah membaca tanah. Mereka tidak mendengar sepatah pun kata-kata
kepala andartu yang bukan kepalang semangatnya. Memang membara semangatnya
apabila berada di atas pentas sambil mendabik dada memperkatakan kedudukannya
dan keadaannya. Juga kemampuannya. Kepala andartu itu mula membaca biodata.
Sambil menegak-negakkan kedua bilah tangannya, kepala andartu itu
melaung-laungkan suara kebebasan, keadilan, kebenaran dan lain-lain lagi.
Ketika
kepala andartu itu mula membaling-baling pakaiannya dari tubuh badannya yang
tidak pernah habis pakaiannya walaupun semua pakaiannya itu dibukanya, orang
ramai di dalam lokasi itu ketawa terbahak-bahak. Bayangkanlah jika anda adalah
antara kepala-kepala yang dungu, tolol dan bodoh, bengang dan yang seumpama
dengannya itu. Mungkin turut ketawa terbahak-bahak sambil menghentak-hentakkan
kaki dan memukul-mukul perut mereka dan juga kepala mereka sendiri. Tidak jelas
apakah perasaan mereka ketika itu walaupun dalam keadaan sedar. Kepala-kepala
yang tolol, bengang, dungu, bodoh dan yang seumpama dengannya itu masih dihantui
oleh suatu perasaan luar biasa sehingga ketika ketawa mereka sempat mengumpul
tenaga untuk meneruskan ketawa selanjutnya. Itu sajalah yang diketahui mereka.
Ketawa dan ketawa terbahak-bahak melihat orang lain yang berlaku lucu dan bodoh.
Mereka melihat sendiri aksi bodoh dan lucu kepala andartu itu. Mungkin mereka
memikirkan kepala andartu itu memohon perhatian para kepala yang ada untuk
melamarnya! Sehigga terpaksa membuka segala pakaiannya walaupun tidak mungkin
habis jika mahu dibuka semuanya. Terlalu banyak pakaian yang dipakai oleh kepala
andartu itu.
Kepala
andartu diam seketika dan duduk semula di belakang pentas. Sungguh dirasakannya
suatu kehilangan tenaga yang lain. Dirasakannya kepalanya mula tercabut daripada
kedudukannya. Kepala andartu itu sudah terasa tergugat. Kerana kerhadiran begitu
ramai andartu yang sudah mula mual dengan kerenahnya, kepala andartu itu tidak
henti-henti membuka pakaiannya dan seperti biasa pakaiannya tidak pernah habis.
Sambil matanya liar mencari para pahlawan purba murba yang gagah menjunjung
kepala yang disabitnya dalam peperangan kaum mereka. Tidak kelihatan seorang
pun. Tidak ada seorang pahlawan pun hadir di dalam sebuah lokasi yang
dimaksudkan di atas. Tiada melainkan kepala-kepala yang semakin dungu, tolol,
bengang, bodoh dan yang seumpama dengannya.
Kepala
andartu itu bangun semula dan gambaran pada masa ini menjelaskan visinya. Dia
menegakkan sekali lagi kedua bilah tangannya dan melaungkan suaranya yang sudah
bertukar menjadi suara keldai. (Saya sudah tersilap. Entah mengapa tiba-tiba
saja fikiran bertukar. Kepala andartu itu menjadi kepala keldai pula!) Rupanya
betul. Kepala andartu itu sudah tercabut dan kepalanya bertukar menjadi kepala
keldai. Patutlah suaranya sudah menjadi suara sang keldai. (Saya sungguh gumam
memikirkan nasib ‘arwah’ kepala andartu itu. Di mana harus saya letakkan
kepalanya yang sudah tercabut itu?) Tiba-tiba, anda tahu, kepala andartu itu
sudah ada di antara kepala-kepala yang sudah terkenal dengan bengang, tolol,
dungu dan bodoh. Tidak ada lagi suara yang jelas sebagaimana diperlakukan oleh
kepala andartu yang berani. Berani dalam banyak hal. Daripada hal luar hinggalah
kepada perihal dalaman. Berani memperkatakan kelemahan orang lain tetapi tidak
berani memberi panduan agar segala yang difikirkannya salah itu menjadi teladan
hari kemudian. Namun kepala andartu itu memang cukup berani. Tiada siapa berani
membandingkan keberaniannya yang luar biasa itu. Apatah lagi jika mahu
membandingkan dengan kumpulan kepala antertu yang kononnya mahu mencari pasangan
masing-masing apabila bertemu dengan kumpulan andartu di tengah lokasi yang
dimaksudkan di atas. Memang tidak
menjadi. Antertu tidak menemukan jodohnya di tengah-tengah para andartu. Inikan
pula suara kepala andartu yang jauh melebihi suara antertu. Namun segala-gala
juga hancur musnah apabila kepala andartu akhirnya tercabut juga dan bertukar
menjadi kepala keldai! Glosari: Sembayu
-
Berlagak suka dipuji (kosa kata sukuan Sungai) Antertu
-
Anak teruna tua 11
Oktober 2000
Hak
Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2000 [ Kembali
ke Halaman Hasyuda ] Kampung
Lumadan Beaufort