Penilaian Penyair
oleh
HASYUDA ABADI
hasyuda@ym
Ikatan Penulis
Sabah
(IPS)
SEBAGAI
penyair saya selalu memandang sesuatu itu
tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah
disebabkan sesuatu yang lain samada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya
sesuatu itu ada puncanya yang mengakarkan apa juga peristiwa. Tanpa mengambil
kira apakah peristiwa itu besar atau kecil. Peristiwa akan mendasar kepada
pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan
atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan
kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina
sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu
lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah
bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan.
Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa
yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui
fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.
Antara
sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama
sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi.
Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud
sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari
segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya
berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal
lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan
berkomunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak
mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang
semula jadi.
Manusia
mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari
aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan
manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa
dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa
matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan lain-lain lagi.
Demikianlah
apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi
tak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain
menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan
ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di
manapun kita berada, kita akan mengamati
situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan
penelaahan. Kita menterjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah
yang berbeza tetapi sentiasa melahirkan pengalaman baru kepada orang lain.
Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminkan peribadi, sikap,
pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita
tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana
dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam,
masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakwarnakan sikap penyair dan
tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah
produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan
adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah kepada kekreatifan,
imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah
persoalan sama ada besar ataupun kecil termasuk apa yang ingin kita amati
tentang kota dan tamadun bangsa.
Tamadun
yang sama ertinya dengan perkataan Inggeris civilization
lahir
daripada perkataan Latin civitas yang
bermaksud ‘city’ atau bandar. Bandar jelas dianggap tempat dan petanda
kelahiran sesebuah tamadun atau peradaban
manusia. Ia sama dengan konsepsi Ibn Khaldun yang mengaitkan pertumbuhan
tamadun manusia dengan kehidupan di bandar.
Namun
begitu, kehidupan bandar semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran
sesebuah tamadun. Kehidupan mestilah dilengkapi oleh beberapa ciri lain, seperti
wujudnya sistem pemerintahan atau tatanegara, munculnya sistem tulisan dan
perundangan, wujudnya kegiatan ekonomi yang relatifnya maju dengan pengkhususan
pekerjaan, serta tidak kurang penting, adanya mekanisme penguasaan sosial
menerusi agama atau sistem kepercayaan. Dengan itu, kehidupan bertamadun
mempunyai enam ciri asas seperti yang berikut:
Menjalani kehidupan di bandar
Mempunyai sistem pemerintahan atau kerajaan
Mempunyai tulisan
Mempunyai sistem perundangan
Mempunyai sistem kepercayaan dan agama
Wujudnya pengkhususan dalam pekerjaan
Dari
perspektif Timur-Islam, perkataan tamadun lahir daripada perkataan akarnya mudun
dan mada’in yang kemudiannya membawa kepada madinah, yang secara
hurafiahnya bermaksud bandar. Mungkin juga istilah Barat modern dipinjam daripada perkataan Arah mudun. Daripada
akar perkataan mudun lahirlah nama
bandar Madinah yang nama asalnya Yatrib. Konsep tamadun mempunyai kaitan yang
rapat dengan konsep masyarakat madani yang mulai dipopularkan penggunaannya
sejak kebelakangan ini. Madani, mudun
dan mada’in
yang melahirkan perkataan madinah berasal daripada akar yang sama dalam
konsepsinya yang paling mudah.
Penulis
paling awal menggunakan istilah madani ialah Ibn Khaldun, ahli sosiologi dan
sejarawan arab abad ke-14. Bagi beliau, istilah madani lahir daripada perkataan al-madaniyah
yang membawa erti ‘peradaban kemakmuran hidup’. Kerana itu, tamadun
bolehlah ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala
perlakuan, pemikiran dan pencapaian yang baik, halus, sopan santun bagi
pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku serta budi bahasa yang mulia bagi
individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sesebuah masyarakat
atau negara bangsa.
Sarjana
sosiologi dari Iran, Ali Sariati (1933-1977) mengemukakan teori mengenai
perkembangan tamadun manusia. Menurutnya ada dua perkara berkaitan dengan
peranan manusia dalam membina tamadun iaitu fenomena migrasi atau hijrah sebagai
faktor utama yang membawa kepada tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia. Kedua
ialah peranan manusia dalam menempa kemajuan. Dari segi sejarah dan apa yang
tersurat, hijrah ialah peristiwa perpindahan ummah Islam dari Makkah ke negeri
Habsyah dan ke Kota Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum
musyrikin Makkah yang memusuhi Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam.
Dilihat
secara lebih mendalam dan dalam erti yang tersirat, hijrah mempunyai prinsip dan
falsafah sosial yang tertentu kerana hijrah telah melahirkan suatu tamadun baru
yang besar. Daripada kajian Ali Shariati terhadap 27 tamadun manusia sejak zaman
silam, beliau menyimpulkan bahawa tamadun lahir kerana penghijrahan manusia dari
tempat asal mereka ke tempat baru. Sebaliknya, tidak terdapat sebarang tamadun
yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah
berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Di negara kita, tamadun Melaka
yang lahir dan tiba kemuncaknya pada abad ke-15 juga adalah hasil perpindahan
sekelompok kecil manusia dari Sumatera ke Termasik dan akhirnya membuka Melaka
sebagai sebuah negeri dan pelabuhan perdagangan. Begitu juga dengan kerajaan
Melayu Champa di Vietnam, yang wujud antara awal kurun Masihi sehingga abad
ke-18, ialah hasil penghijrahan rumpun Melayu dari kawasan Dunia Melayu Inti ke
utara. Sejarah bertapak dan berkembangnya Islam di Afrika Selatan adalah akibat
penghijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke sana mulai suku abad ke-17
sebagai hamba dan buangan politik penjajah Belanda. Pada hari ini pembinaan
tamadun baru Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur ialah hasil penghijrahan
beberapa kumpulan etnik dari pelbagai wilayah dan daerah ke pusat tamadun baru
tersebut. Malah bagi orang Melayu, semua mereka yang meninggalkan kampung
halaman untuk mencari ilmu dan bekerja di kawasan lain telah pun melakukan
penghijrahan. Secara langsung mereka memberi sumbangan penting untuk membina
tamadun baru Malaysia pada abad ke-20. Malah kadar migrasi orang Melayu yang
begitu tinggi ke Kuala Lumpur sejak 25 tahun yang lalu telah memacu pembangunan
negara yang begitu pesat dibandingkan dengan apa yang berlaku di masa-masa
sebelumnya.
Prinsip kedua berhubung pembinaan tamadun dan kemajuan manusia hasil
pemikiran Ali Shariati ialah pentingnya peranan manusia itu sendiri atau al-nas. Ini berdasarkan kepada ayat dari kitab suci al-Quran yang
bermaksud: Tuhan tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum (kaum=manusia) jika mereka sendiri tidak mahu mengubah. Di
dalam al-Quran, Allah sentiasa menyeru, “Wahai orang-orang yang beriman…”
atau ”Wahai manusia…”. Ini bermakna
bahawa MANUSIA itu sendirilah yang bertanggungjawab dan berperanan
menentukan nasib hidup dan masa depan mereka; dan mereka diberi akal fikiran
serta kudrat untuk berusaha mengubah serta mencorak masa depan mereka seperti
yang direncanakan. MANUSIA meningkat kepada status yang lebih tinggi melalui
ilmu pengetahuan serta menunjukkan dengan jelas kelebihan mereka berbanding
dengan mahluk-mahluk yang lain. Mereka memiliki kebesaran dan kehormatan melalui
pembelajaran, pertanyaan dan kajian, sebaliknya mereka akan kehilangan status
tersebut jika mereka meninggalkannya dan mengikut jalan orang yang jahil. (Surah
al-‘Alaq : 1-5).
Dengan pendidikan, akan membawa manusia kepada kepatuhan dan kekuasaan,
manakala kejahilan diakui akan membawa kepada kejahatan dan maruah
yang rendah.
Keutamaan bagi manusia menurut al-Quran
adalah pendidikan. Melalui pendidikan manusia dapat meningkatkan harga
diri mereka serta mendapat bukti tentang kewujudan Allah S.W.T. Malahan mereka
akan menemui kebenaran dan kenyataan seluruh alam semesta, tingkat
pemikiran dan moral alam, juga nilai-nilai kuasa dan rahsia alam. Manusia
juga dapat mengetahui cara bagaimana untuk mempergunakan kekayaan alam untuk
kepentingan mereka. Segala rahsia alam yang tiada akhirnya
dan kegunaannya akan dapat diketahui oleh manusia melalui pendidikan,
pembelajaran dan penyelidikan.
Kota,
Tamadun dan Bangsa Sebuah Penilaian Penyair
Bagi
penyair di mana-manapun di dunia ini, melihat kota sebagai sebuah lautan
yang sentiasa bergelombang; kadang-kadang memandang kota sebagai sebuah
hutan belantara yang subur akibat pembajaan yang sempurna; ada waktunya penyair
memetik bunga rahsia kota sebagai gelanggangnya bermain kata bersama segala hal
yang menjanjikan makna tersendiri sebenarnya. Kota sebagai pusat kebanyakan
aktiviti meriwayatkan kelangsungan kehidupan. Degupannya sering juga menyegarkan
semula yang mula tenggelam malah sebaliknya tetapi kota tidak selamanya memberi
kebahagiaan yang hakiki. Tetapi pada masa yang melahirkan benih dari pengamatan,
penafsiran dan juga penghayatan yang menyediakan pengalaman baru kepada penyair
itu dan orang lain. Dalam wacana ringkas ini, saya ingin mengetengahkan beberapa
pencernaan fikrah beberapa orang penyair Malaysia mengenai pengamatan mereka
mengenai kota dan pembinaan tamadun.
Seperti
membina sebuah bangunan, hanya arkitek saja yang lebih memahami struktur binaan.
Demikian halnya bagi penghuni kota yang bertindak sebagai arkiteknya. Dari sajak
‘Arkitek Kota’, Muhammad Haji Salleh merakamkan:
‘hanya
seniman peka
yang
faham akan jiwa laut,
kenal
gelombangnya,
alur
sungai serta diam batu,
perasaan
musim,
fiil
langit dan sabar bumi
berhak
membina kota’
[ Sambunan Makalah ]