Beginikah seharusnya pemilik kota yang mengimpikan keberadaannya begitu mengerti agar nikmat kota itu ditemui dalam kemungkinan-kemungkinan yang digambarkan. Penghuni kota harus menghargai keindahan alam kerana merekalah pewaris bagi membina keindahan iaitu sebuah tamadun. Kata Muhammad,

   

 

                        pencipta kota ialah

                        pendekar muda dengan langkah berbagai

                        kelakar tua yang mengampungkan cerita

                        orang bercinta yang perlukan bulan.

                        dia pengukir ruang hidup

                        penghias suasana sempurna

                        membenarkan penemuan

                        memungkinkan kemungkinannya.

           

Keutuhan bangsa berakarkan kepada kemantapan akal dan hati budi insan. Bagi bangsa yang besar, keberanian demi menegakkan kebenaran harus harus ditunjukkan. Kota menjadi benteng tetapi kota itu merupakan peribadi sedangkan dirinya adalah sebuah bangsa yang harus terus menerus membangunkan akalnya dalam cara yang membina. Kehidupan itu harus dinikmati dengan caranya bukan dendam dan tipu muslihat. Jasni Matlani dalam ‘Sesekali Waktu Bertemu Jebat di Kota Diriku’, meletakkan keberadaban itu dengan penuh kesedaran. Katanya,

 

                        ‘Ajarlah aku membuktikan kebenaran.

                        Ajarlah aku menikam Karmawijaya dengan semangat keris pantun,

                        syair dan gurindam. Ajarlah aku menghidupkan  di kalbuku rasa

                        keberuntungan diri dan dilahirkan pahlawan.’

 

            Namun begitu, tidak pula disimpulkan kota sentiasa diimejkan sebagai suatu lubuk kebahagiaan semata-mata lantaran situasi yang hidup tanpa batas waktu. Kota digambarkan sebagai gua puaka yang menempiaskan warna malapetaka. Zam Ismail, dalam ‘Jalan-jalan Raya Kotaku’, mencitrakan gambaran keserakahan warga kota yang telah melenyapkan keluhuran budi mereka.

 

                        ‘Demikian etika di perjalanan

                        budi luhur warga kotaku

                        tidak lagi berlaku

                        yang hadir adalah keserakahan

                        memacu menghimpun kekuatan

                        menghakis sopan santun’

 

            Kehidupan manusia setiap hari semakin berkembang maju. Mereka terlalu sibuk dengan mencari haluan hidup sama ada berasaskan kepada prinsip individu, keluarga atau masyarakat ataupun tidak. Kebanyakannya tidak mempunyai prinsip hidup walaupun memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi kerana telah dibuai dengan kesenangan, kemewahan dan kepuasan hidup. Sebahagian yang lain pula masih mencari-cari satu pegangan hidup yang lebih berasas supaya segala  masalah dapat diatasi dengan sempurna.

            Perubahan demi perubahan berlaku dalam masyarakat yang dengan tidak disedari berlaku pelbagai gejala keruntuhan akhlak dan kesalahan serta jenayah. Perubahan ini menjadi satu persoalan apakah masyarakat merestui pada masa akan datang terbinanya satu tamadun baru atau tamadun materialisme yang mengetepikan  amalan kemanusiaan  dan nilai kerohanian atau ingin melihat wujudnya satu tamadun hedonisme Malaysia untuk dipraktikkan  oleh setiap anggota masyarakat menerusi budaya barat. Namun begitu, penyair sebagai mewakili masyarakatnya menjelaskan penegasan bahawa masyarakat harus selalu diingatkan agar gejala yang berlaku itu tidak mencacatkan pembinaan sebuah tamadun yang dihormati. Abdul Rahim Tapah, dalam ‘Atas Nama Kita Sendiri’, mengingatkan bahawa ‘setiap catatan tak semestinya diisi dengan mimpi’. Rahim membarakan lagi gelombang semangatnya agar kita ‘mematahkan seruling fantasi’ yang telah meletakkan kita pada tempat yang bertambah mundur kerana terlalu dihiasi aktiviti kehidupan yang tidak membina. Katanya,

 

                        ‘Lepaskan kecapi dan patahkan seruling fantasi. Kita cipta

                        lagu keriangan untuk zaman ini – lagu baru ciptaan kita sendiri.

                        Rentaknya bakal merobohkan kota-kota purba dari mimpi dan

                        kita abadikan ia dalam catatan sejarah atas nama kita sendiri.’

 

            Para penyair tidak dapat tidak menyatakan pendirian sekaligus juga melontarkan pertanyaan demi pertanyaan mereka tentang peristiwa serta pengalaman masa lalu. Bagaimana tamadun bangsa dapat dipertahankan oleh masyarakat industri yang dibiasakan oleh kemewahan. Jasni Matlani dalam sebuah sajaknya ‘Ketika Mendepani Sebuah Kota’,12 menggambarkan satu suasana di mana:

 

‘Puing-puing bencana bergasakan

dan para sahabatku yang berlari mengharung

sejarah dan citrawara perit. Inikah zamannya rohku tertusuk

belati tajam waktu dan jasadku mabuk bergelitan

di celah-celah dinding kaca hawa nafsu

sementara kebimbangan membelit dan menjerut akaliah.

Kaukah yang terkurung di sebuah kamar hitam

sambil menyedut debu keluar dari corong hayat

iklim terus buram, kehilangan sari warna

sukma menerjang. di sana kau akan menyaksikan

pementasan hari depan menggores minda

pancaroba bertelagah dan bersengketa dengan

ijtihad Mahmudah. Ijtihad Sabililah.’

 

 

Penutup

 

Amat jelas disedari bahawa kota atau bandar yang ditakrif sebagai pusat segala kemajuan bermula itu menjadikan kemanusiaan lebih bertanggungjawab terhadap pembinaan sebuah tamadun bangsa. Namun demikian seperti dijelaskan tadi bahawa kehidupan kota semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran sesebuah tamadun tetapi dibantu oleh perletakan aspek-aspek yang menekankan ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang dan adat resam di tempat yang tinggi. Penghijrahan atau perpindahan daripada sebuah kota kepada bandar raya menjadi isyarat betapa warganya melangkah setapak lagi dalam peradaban dan kemakmuran hidup sebagaimana kata ‘bandar raya’ itu sinonim dengan istilah ‘masyarakat madani’. Kerana itu juga taraf bandar raya bukan sekadar perubahan dan peningkatan kualiti dari sudut fizikal, tetapi kedudukan teratas bandar raya menuntut kesediaan warganya berusaha serta berazam meningkatkan kecemerlangan dari sudut ketahanan dalaman dengan kekuatan spiritual dan kemantapan dari aspek mental yang mana kedua-dua faktor ini menjadi teras kepada kejayaan sesebuah peradaban atau tamadun. Tamadun yang terkenal dalam sejarah manusia adalah hasil budaya yang sesuai dengan pembentukan dan pencapaian tamadun berkenaan.