Make your own free website on Tripod.com
 

Catatan Kembara ke Kambodia

 

Oleh: Marlenny Deen Erwan

 

 

20 MAC 2005 (AHAD)

 

Saya mulakan catatan ini dengan perkara yang saya mahu lupakan sebenarnya. Memang pelik, tapi biarlah ini kali terakhir saya bercerita mengenainya, kisah kejahilan seorang rakyat Malaysia … he he he …                       

 

Alkisah, sepatutnya saya tiba di bumi Kemboja pada 20 Mac 2005 (Ahad). Untuk program ini yang nama penuhnya Asean People To People Exchange Programme - saya mewakili Akademi Seni Kebangsaan, untuk bidang wayang kulit (puppet-making), Jasmin Kok dari Balai Seni Lukis Negara untuk bidang ukiran batu (stone carving), Halimatun dari Kraf Negara untuk tenunan sutera (silk weaving) dan ketua delegasi kami Puan Yatimah dari Arkib Negara. Kami berjanji untuk berkumpul dan check-in di KL Sentral kemudian berlepas ke KLIA untuk penerbangan jam 9.25 pagi ke Phnom Penh (ibu negara Kemboja).

 

Jam 7 pagi, setelah terkial-kial kerana tiba agak lewat, dengan yakinnya saya membawa paspot ke kaunter check-in. Mula-mula semua berjalan lancar sehinggalah tiba-tiba dahi pegawai MAS di kaunter itu berkerut dan berkata, “Puan, puan tak boleh pergi. Paspot puan kurang tempoh enam bulan.”

 

Saya terkejut dan terkedu. Saya pandang muka pegawai itu dan minta dia periksa sekali lagi. Memang betul tempoh paspot saya kurang enam bulan. Masalah sama juga rupa-rupanya dihadapi oleh seorang lagi anggota delegasi kami iaitu Halimatun (kemudian saya kenali sebagai kak Matun). Rupanya paspot saya akan tamat sah lakunya pada 14 Ogos 2005. Saya betul-betul terkejut, sebab saya langsung tidak ambil tahu tentang perkara itu. Saya juga tidak tahu bahawa paspot antarabangsa tidak boleh kurang tempoh enam bulan untuk digunakan. Kali terakhir saya ke destinasi antarabangsa adalah pada dua tahun lalu, jadi sudah lama saya tidak gunakan paspot.

 

Di KL Sentral, saya betul-betul rasa kecewa. Waktu itu rasanya impian ke Kemboja hancur berkecai. Tapi rakan “sejahiliah” saya kak Matun bertindak pantas mengesahkan tiket ke Kemboja untuk hari esoknya dan sepantas kilat juga  menghubungi pegawai yang menguruskan kami di Kementerian Kebudayaan KL, Puan Zahanah. Walaupun hari itu hari Ahad, tapi oleh kerana ini “misi negara”, sanggup juga Puan Zahanah datang ke pejabatnya dan menguruskan hal ini, (walaupun saya lihat wajahnya cuak juga).

 

Saya berada bersama beliau di ibu pejabat Kementerian, menghubungi liaison officer kami di Kemboja bagi membantu hal ini. Dalam masa tidak sampai dua jam, semua perkara diselesaikan, dan kemasukan kami di Kemboja esok disahkan dengan jaminan tidak ada masalah akan timbul di pihak imigresen dan polis Kemboja kerana sudah diberitahu BAHAWA ADA DUA RAKYAT MALAYSIA YANG PASPOTNYA KURANG TEMPOH ENAM BULAN AKAN SAMPAI DI AIRPORT PHNOM PENH ESOK. Kata Puan Zahanah perkara ini sepatutnya mustahil berlaku, tetapi mustahil mustahil pun, ia berlaku juga (jangan ditiru aksi ini ya). Tapi pada saya mungkin kerana ini adalah program Asean, maka kerana itu komunikasi antara kerajaan menjadi lebih mudah.

 

Maka sehari suntuk itu apabila balik ke rumah saya diusik habis-habisan oleh suami saya. Dia asyik bertanya  ‘seronokkah di Kemboja? Banyak barang beli? Kenapa baju waktu pergi sama dengan baju dipakai waktu balik?’

 

Hmm ... sabar sajalah!

 

 

 

21 MAC 2005 (ISNIN)

 

Jadi dengan izin Allah, pada 21 Mac 2005 (Isnin), saya dan kak Matun terbang ke Kemboja dengan penerbangan MAS MH 754 jam 0925. Bersama-sama kami adalah paspot yang kurang tempoh enam bulan dan surat pengesahan dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (itu pun selepas disoal-selidik agak lama di kaunter check-in Kuala Lumpur.)

 

Tapi sebenarnya dalam hati saya terlalu risau kerana tidak ada surat pengesahan daripada pihak Kemboja, hanya jaminan melalui telefon saja – walaupun kelmarin pihak MAS menasihatkan kami supaya mendapatkan surat dari kedutaan Kemboja di KL bagi mengelakkan sebarang masalah. Suami saya juga hampir tidak membenarkan saya pergi kerana dia risau nanti sampai di airport Kemboja kami tidak boleh masuk dan disuruh balik. Tapi saya pujuk dia dan saya katakan  “Takkan ada masalah besar berlaku. Kalau disuruh balik kami balik sajalah sebab tiket di tangan kan open ticket.” Tapi sebenarnya sepanjang penerbangan saya memang risau, Tuhan sajalah yang tau! Takut dituduh pendatang tanpa izin!

 

Kami mendarat di Phnom Penh jam 11.10 pagi waktu Kemboja tapi di Malaysia sudah jam 12.10. Beza waktunya satu jam. Sebelum saya ceritakan prosedur yang kami lalui di lapangan terbang Phnom Penh, ada satu peristiwa lucu dan menyentuh hati yang mahu saya ceritakan.

 

Alkisahnya, sejak dari KL lagi, saya perasan ada seorang perempuan warga Kemboja yang duduk di barisan hadapan kerusi kami, asyik memerhatikan kami sambil tersengih-sengih. Ada kalanya dia bercakap bahasa Malaysia yang kurang kami fahami. Jadi saya dan kak Matun membuat kesimpulan yang dia ini orang Kemboja yang datang dan kerja di Malaysia, tapi sedang bercuti dan balik ke kampungnya. (Dan ramai lagi orang Kemboja di dalam penerbangan itu.)

 

Ketika pengumuman untuk mendarat dilakukan, sepatutnya semua orang duduk dan pasang seat belt, tapi si perempuan ini buka seat belt dan berdiri sepanjang waktu pendaratan. Saya dan kak Matun berpandangan – cemas & cuak – kerana gelagatnya sungguh menakutkan. Tidak ada anak kapal datang menegurnya kerana semua anak kapal pun sudah standby for landing di kerusi masing-masing. Macam-macam perkara negatif bermain di kepala saya, kenapa perempuan itu berkelakuan begitu? Tapi sebaik saja kapal terbang mencecahkan tayarnya di landasan, dia dan beberapa rakannya yang lain di dalam kapal terbang itu tiba-tiba riuh dan kecoh bertepuk tangan.

 

?????? !!!!!!!!!!!

 

Oh …. okey! Mereka gembira kerana sampai di kampung halaman. Dan inilah pengalaman pertama saya berada di dalam kapal terbang, yang mendarat dan orang bertepuk tangan di dalamnya!!! Saya pernah nampak babak ini di dalam filem Hollywood atau Bollywood, tapi selalunya ia berlaku kalau ada insiden buruk yang dapat diselamatkan. Tapi alhamdulillah, tidak ada apa-apa yang berlaku, kami sampai dengan selamat dan penuh “kenangan” J.

 

Di airport, masuk ke balai ketibaan, ramai sungguh orang berbaris di kaunter imigresen. Selepas isi borang visa, saya dan kak Matun didatangi seorang Kemboja (yang kemudian kami kenali dengan nama Mr.Ouk Lay), yang membawa sepanduk bertulis nama program itu. Dia mengambil paspot kami dan meminta kami menunggunya. Kak Matun bisik pada saya, “Eh Lenny! Kita ni beri saja paspot. Kot-kot dia bawa lari!” Saya tenangkan kak Matun dan katakan “takkan dia bawa lari sebab dia bawa sepanduk program ASEAN.” Walaupun dalam hati saya sebenarnya bimbang juga.

 

Tidak sampai sepuluh minit, Ouk Lay datang semula dan meminta kami mengikutnya. Hairan, dia membawa kami merentasi beratus-ratus orang lain yang berbaris di kaunter, dan kami melintasi kaunter imigresen tanpa disoal apa-apa. Hanya pegawai imigresen itu meminta saya dan kak Matun memandang wajahnya (mungkin ada kamera – saya tidak perasan), mungkin untuk memastikan muka kami sama dengan gambar paspot. Dan tidak sampai setengah jam ketibaan, kami telah berada di luar lapangan terbang dengan mudahnya.

 

Perempuan yang berdiri dan bertepuk tangan dalam kapal tadi, melambai ke arah kami dan dia berkata “Jumpa lagi”! Saya tersenyum padanya dan ya – saya harap saya boleh berjumpa lagi dengannya, tapi janganlah di dalam kapal terbang lagi. Oh ya, waktu mendarat tadi, dia asyik mencuit-cuit paha saya dan menyuruh saya membuka seat belt kerana katanya  “Kemboja – sudah sampai”.  Saya naik rimas tetapi hanya tersenyum dan mengangguk-angguk. Katanya lagi “Malaysia cantik, Kemboja tidak. Malaysia besar, Kemboja kecil.” Saya terdiam apabila dia berkata begitu. Tapi kak Matun menjawab: “Tidak, Kemboja pun cantik.”

 

Lalu perempuan itu ketawa besar, mungkin gembira kerana ada juga orang memuji negaranya. Aduhhh …. belum apa-apa hati saya sudah terusik. Tapi untuk anda yang membaca catatan ini, peristiwa di kapal terbang ini hanya satu pengenalan mengenai Kemboja. Anda akan membaca lebih banyak lagi – yang menyentuh hati.

 

Aaa … satu lagi. Kak Matun bertanya perempuan itu “Macamana nak ucap terima kasih dalam bahasa Kemboja?” Perempuan itu tersengih dan berkata “Cantik … cantik”. Saya dan kak Matun berpandangan. Saya mahu ketawa tapi dicubit oleh kak Matun. Kemudian kak Matun bertanya dalam bahasa Inggeris, lagilah kelakar jawapannya: “Phnom Penh …. Phnom Penh”.  Saya beritahu kak Matun, “Tak apalah, dia tak faham”.

 

 

Berbalik cerita di luar lapangan terbang, kami disambut oleh Mr Ouk Lay dan isterinya. Mr Ouk Lay cukup ramah orangnya dan dalam masa tidak lama kami mengenali beliau sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN dan Kerjasama Budaya Antarabangsa di bawah Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja. Ertinya beliau bukanlah calang-calang orangnya di sini. Isterinya memandu kereta membawa kami menuju ke pusat bandar Phnom Penh. Sepanjang jalan kami merentasi jalan-jalan kecil berdebu merah. Saya katakannya kecil kerana saya bandingkan dengan jalan di ibu negara kita. Jalan utama di Phnom Penh hanya sebesar jalan KK- Sandakan yang merentas Ranau. Kiri kanannya dibarisi bangunan kayu dan tidak ada bangunan melebihi enam tingkat di sini (entahlah kalau di tempat lain – mungkin ada. Tapi di Siem Reap juga tiada). Kenderaan terbanyak adalah motosikal dan sesekali basikal. Melihat bandar ini, mengingatkan saya kepada KL atau Singapura tahun 60-an yang saya lihat dalam gambar-gambar wayang P.Ramlee. Ya, tidak jauh bezanya.

 

Mereka sedang mengalami proses pembangunan dan cuba mengadaptasi diri dengan teknologi yang sedang berkembang di seluruh dunia. Entah apa dalam fikiran kak Matun apabila dia bertanya Ouk Lay: “Adakah Kemboja juga dilanda tsunami baru-baru ini?”

 

Ouk Lay ketawa dan menidakkannya. Kak Matun kemudian memberitahu saya keadaan jalan raya terlalu tebal debu merahnya seolah-olah dilanda sesuatu. Menyedari mungkin apa yang kami fikirkan, Ouk Lay memberitahu bahawa Kemboja sudah lima bulan langsung tidak menerima hujan. Haaa??? Saya dan Kak Matun terkejut lagi!

 

Ouk Lay memberitahu dia akan membawa kami ke Hotel Puncak di tengah Phnom Penh, milik seorang pengusaha rakyat Malaysia. Sepanjang jalan ke pusat Bandar, beberapa kali juga saya hampir menjerit kerana keliru dengan lalu lintas di situ. Oleh kerana tempat duduk pemandu di sebelah kiri, maka saya selalu rasa ada kereta mahu melanggar kami. Tapi isteri Ouk Lay seorang pemandu yang sangat “cekap”. Saya lihat di situ tidak semua simpang kritikal diletakkan lampu trafik, selebihnya hanya perlukan gaya “manual”. Siapa yang masuk dulu akan dapat tempat. Hanya perlu hon saja dan terus masuk, maka kenderaan lain akan memberi laluan secara automatik. Kelihatannya sangat bahaya tetapi rasanya mereka sudah biasa dengan cara itu. Saya rasa cara itu kalau dipraktikkan di Kuala Lumpur, dalam masa seminit sudah tentu berlaku seribu kemalangan. Alhamdulillah dalam masa seminggu di Kemboja, dengan corak pemanduan begitu tidak pernah ada satu kemalangan pun berlaku.

 

Sampai di Hotel Puncak, kami disambut dengan ucapan “assalamualaikum” oleh rakyat Kemboja yang bekerja di situ. Sesi makan memang seronok kerana kami terlalu letih dan lapar mengharungi perjalanan. Menu di hotel itu memang menu Malaysia tetapi “materialnya” berlainan terutama berasnya. Tapi saya ditakdirkan seorang yang tidak cerewet tentang makanan kerana saya cukup suka mencuba makanan baru, asalkan halal.

 

Ketika makan kami diberi taklimat ringkas oleh Ouk Lay. Saya sangkakan program itu berlangsung di Phnom Penh, tapi rupa-rupanya kami perlu menaiki satu lagi penerbangan petang ini ke bandar Siem Reap, yang juga dikenali sebagai Bandar Kuil di Kemboja. Saya membelek tiket penerbangan, barulah perasan ada satu lagi tiket dikepilkan di belakang bersama-sama tiket KLIA-Phnom Penh. Saya mengeluh kerana nampaknya perlu menempuhi prosedur lapangan terbang lagi. Bosan! Penerbangan ke Siem Reap adalah pada jam 5.50 pm dan waktu ini baru jam 12 lebih. Ouk Lay memberitahu dia akan membawa kami ke kompleks terbesar di Phnom Penh dan juga sebuah pasar (central market) yang juga diberi nama Russian Market. Sebabnya mudah, kerana dahulu orang Rusia ramai berkunjung ke situ.

 

Ouk Lay memberitahu bahawa Kemboja dahulunya dijajah Perancis. Kerana itu bahasa Inggeris tidak penting kepada mereka kerana di mana-mana papan tanda di Kemboja akan didahulukan dengan bahasa Perancis (di samping Inggeris). Kebanyakan mereka termasuk Ouk Lay pun lebih fasih berbahasa Perancis daripada Inggeris. Sebutan Kampuchea merujuk kepada Kemboja/ Cambodia juga menurutnya adalah sebutan Perancis. Seperkara yang saya sedari, sepanjang perjalanan, sangat mudah mengenali bangunan-bangunan kerajaan kerana di hadapan bangunan akan terpampang gambar Raja mereka Norodom ??? (lupa) dan juga Perdana Menteri Hun Sen. Gambar bukan gambar kecil tapi berukuran raksasa. Dari jarak 50 meter pun boleh nampak. Pejabat-pejabat kerajaannya berada di mana-mana, belum dikomplekskan lagi seperti Putrajaya. Dalam menengok-nengok tu, tiba-tiba terpandang pejabat Telekom Malaysia. Kecil saja dengan logo birunya itu (logo lama).

 

Kami pergi ke kompleks terbesar di Phnom Penh itu, hanya lima atau enam tingkat. Tidak ada apa-apa yang menarik. Barang-barangnya kebanyakan import dari China, Jepun dan Korea. Barang elektrik sangat-sangat mahal. Mereka meletakkan harga mereka mengikut harga US Dollar. Jadi semua harga melambung naik hingga tidak masuk akal. Ketika menukar duit Malaysia kepada US Dollar di sana, 1 USD sama dengan RM 4. (Sewaktu di KL saya tukar 1 USD RM 3.8.) Di sana 4000 real (matawang Kemboja) sama dengan 1 USD. Ertinya   RM 1 boleh disamakan dengan 1000 real. Kalau kita RM 1 di sini boleh beli lagi “perkara-perkara kecil”, tapi 1000 real mereka tidak bernilai apa-apa. Jadi mereka “cekik pelancong” menggunakan USD. Membeli-belah di sana perlu difikir dengan logik dan waras, kalau tidak maka akan membazirkan duit semata-mata, dan lagi – perlu pandai tawar-menawar. Nantilah saya buka topik khas tentang itu.

 

Di kompleks kami tidak membeli apa-apa kerana tidak ada barang melambangkan keKembojaan. Semuanya import saja. Tapi kemudian apabila kami ke Russian Market, wah … rambang mata. Ouk Lay kata kalau mau shopping baik shopping sini kerana di Siem Reap semuanya berganda mahal. Sebabnya Siem Reap adalah pusat tarikan pelancong, jadi semua barang pun ikut harga pelanconglah. Di Russian Market saya membeli kain sutera buatan Kemboja, satu  berharga 3 USD. Saya tawar punya tawar dan beli dua helai dapatlah dengan harga 4 USD semuanya ( RM 16). Tapi yang paling murah adalah t-shirtnya. Biasanya t-shirt dengan kualiti yang sama di KL harganya RM 18 atau yang paling rendah RM 12. Tapi di Russian Market harganya Cuma 1.50 USD (RM 6) dan t-shirt adalah “barang” yang paling banyak saya beli (mungkin lebih 10 helai) di samping key-chain. Tapi saya pilih yang berlatarbelakangkan Kemboja. Beli banyak lebih murah (Amboi! Macam iklan). Lepas shopping, kami meminta Ouk Lay membawa kami ke Muzium Kemboja, dan dengan senang hatinya dia membawa kami ke National Museum of Cambodia. Di Phnom Penh saja ada banyak muzium, mengingatkan saya kepada bandar Melaka, juga banyak muzium. Ada muzium sejarah, muzium ukiran batu, muzium perang, muzium patung dan macam-macamlah. Yang kami pergi ini memang muzium negara.

 

Yang banyak di dalamnya adalah ukiran patung Buddha pelbagai versi. Saya begitu asyik melihatnya kerana nama-nama patung itu sebahagiannya adalah watak-watak yang telah saya temui dalam kajian sejarah teater tradisional Asia Tenggara. Jadi apabila dapat meneliti struktur ukirannya, saya semakin jelas akan beberapa ciri-ciri ritual dalam tradisi masyarakat Asia. Juga yang menarik, persamaan ciri-ciri berlaku pada ukiran-ukiran seluruh Asia Tenggara. Persamaannya terlalu dominan, dan saya mendapat gambaran yang jelas akan begitu besar dan megahnya kerajaan Hindu-Buddha di seluruh tanah Asia Tenggara pada zaman silam.

 

Ouk Lay melepaskan saya dan kak Matun berjalan sendiri di dalam muzium. Dalam tempoh satu jam kami perlu keluar semula kerana harus berangkat ke lapangan terbang. Hampir sejam kemudian, setelah puas menjelajah muzium, dalam perjalanan keluar mencari Ouk Lay, kami melintasi seorang lelaki yang duduk di tepi pintu sambil menggoyang-goyangkan kakinya. Dari jauh saya nampak Ouk Lay berlari meluru ke arah kami, begitu tergesa-gesa dan memberitahu bahawa lelaki itu adalah Menteri Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja. Saya dan kak Matun terkejut, tetapi Menteri itu berkata sesuatu kepada Ouk Lay dalam bahasa Khmer yang saya faham sebagai:  “Tak payahlah! Tak payahlah!”

 

Tapi saya dan Halimatun segara memberikan greeting cara orang Kemboja – merapatkan tangan di paras dada  (perkara pertama kami pelajari sebaik melangkah keluar dari airport tengahari tadi, iaitu cara isteri Ouk Lay menyambut kami) -. Kami sempat berbual dengan Menteri dan ya – itu dia, tanpa protokol dan beliau sangat ramah. Tidak lama kemudian datang sebuah kereta ala-ala limosin, mengambil beliau pergi dari situ dan kami menghantarnya sehingga kereta hilang dari pandangan. Setelah itu saya memandang kak Matun dan berkata, “Betulkah dia tu Menteri?” Dan kami ketawa bersama.

 

Masa ke lapangan terbang makin hampir, dan Ouk Lay membawa kami mengelilingi istana diraja Kemboja. Punya besar, rasanya berkali ganda luas Dataran Merdeka baru menyamai kawasan istana yang dipagari tembok tinggi dan besar itu. Kami tidak dapat melihat bangunan di dalamnya, hanya puncak istana saja dapat dilihat dari luar. Pembinaan istana ini mengingatkan saya kepada tradisi Keraton di Jogjakarta. Tidak puas hati sungguh kerana tidak dapat melihat ke dalam, tetapi apakan daya, masa sudah suntuk. Kemudian kami sempat singgah di sebuah taman yang dibina untuk memelihara patung-patung dan kuil di atas bukitnya. Seperkara di Kemboja – sama ada di Phnom Penh atau Siem Reap – mercu tanda istimewa yang boleh dilihat sepanjang jalan adalah pembinaan patung yang diukir cantik dan berseni. Patung Buddha, patung binatang atau patung apa saja mudah dilihat di mana-mana. Seolah-olah itulah identiti dan lambang survival mereka.

 

Pukul 4.30 petang kami tiba semula di airport dan setelah menghantar kami dan menyelesaikan urusan check-in, kami berpisah dengan Mr. Ouk Lay dan isterinya yang baik hati itu. Mereka tidak ikut ke Siem Reap kerana perlu meneruskan tugas rasmi mereka di Phnom Penh. Kenangan bersama Ouk Lay berhenti di sini, tapi saya tidak akan melupakan keramahan dan budi baiknya.

 

Selepas check in saya dan Halimatun menunggu di balai berlepas. Tiba-tiba diberitahu bahawa penerbangan ditunda ke jam 7.50 malam. Aduh …. saya mengeluh lagi kerana penat sudah mulai terasa. Pesawat yang perlu kami naiki dari Phnom Penh tidak dapat berlepas kerana masalah teknikal, jadi kami terpaksa tunggu satu pesawat dari Bangkok yang akan singgah di Phnom Penh. Penerbangan tertunda tiga jam itu membawa perkenalan kepada seorang pemuda bernama Abdullah. Dia memberi salam kepada saya dan kami duduk berbual. Dia juga dalam perjalanan ke Siem Reap untuk berjumpa dengan Menteri Pelancongan.

 

Latar belakangnya agak menarik kerana ayahnya rakyat Malaysia dari Pulau Pinang dan berkahwin dengan ibunya rakyat Kemboja. Tapi ibu bapanya berpisah dan dia menjadi homeless sejak kecil dan tinggal di mana-mana. Dia bernasib baik kerana diambil oleh sebuah badan yang memajukan agama Islam di Kemboja dan dijaga oleh mereka. Dia mencapai pendidikan yang agak baik dan berpeluang belajar di UK dalam bidang perhotelan dan pemasaran. Sekarang Abdullah bertugas dengan sebuah badan NGO yang menguruskan kehidupan anak-anak terbiar dan menyediakan perlindungan kepada mereka. Cerita Abdullah sungguh menyayat hati saya. Berdasarkan rupanya yang mirip  orang India, mungkin ayahnya yang dimaksudkan itu adalah kaum India Muslim atau Mamak di Pulau Pinang. Dia sendiri tidak pernah datang ke Malaysia kerana ayahnya meninggalkannya sejak kecil.

 

Abdullah berjanji akan membawa kami ke perkampungan orang Islam  ketika berada di Siem Reap nanti.  Ketika berbual itu, tiba-tiba Abdullah berdiri dan meluru kepada seseorang. Orang itu datang bersamanya, duduk dengan kami dan Abdullah memperkenalkannya sebagai Menteri Pelancongan Kemboja. Sekali lagi saya dan kak Matun berpandangan. “Menteri lagi?” Menteri melayan kami berbual sebentar dan selebihnya dia dan Abdullah berbincang dalam bahasa Khmer. Apa yang saya faham, Abdullah cuba memohon sokongan daripada kerajaan Kemboja mengenai aktivitinya itu.

 

Sempat saya lelap 15 minit, masa berlepas pun tiba. Kami menaiki pesawat ringan 40 penumpang. Nasib baik penerbangan cuma 45 minit, kalau tidak saya tidak dapat menahan seksanya menaiki pesawat yang mudah bergoyang apabila melanggar awan itu. Perjalanan aman dan senyap saja sebab hari sudah malam dan kebanyakan penumpang tidur. Setiba di Siem Reap, kami disambut oleh dua pegawai dari Hotel Angkor, tempat kami menginap. Kami sempat berjumpa dengan seorang imam yang menyambut Abdullah, namanya Haji Musa Soleh. Dia fasih berbahasa Melayu kerana pernah belajar di sekolah agama di Gombak selama 6 bulan. Dia memberikan kad namanya dan kami berjanji akan mengunjunginya nanti.

 

Kami menyambung perjalanan ke Hotel Angkor, hanya 15 minit dari airport. Dalam kereta, kami diberitahu bahawa kami telah terlepas acara pelancaran, pembentangan dan Welcome Dinner. Saya sedikit terkilan, tetapi tak apalah kerana ada enam hari lagi untuk diharungi.

 

Tiba di Hotel Angkor, Puan Yatimah dan Jasmin menunggu kami. Berpeluk-pelukanlah empat rakyat Malaysia ini di muka bumi Kemboja. Mereka baru selesai acara Welcome Dinner dan saya melihat jam, sudah hampir jam 10 malam. Oh ya, saya paling suka saat kami disambut oleh pekerja hotel – iaitu dengan cara mengalungkan selendang sutera ke leher kami. Seronok betul rasanya! Kami check-in di kaunter dan sebelum naik ke bilik saya masuk ke dewan pameran kerana pameran hanya satu hari dan akan ditutup malam itu juga. Kasihan melihat meja pameran Malaysia. Oleh kerana saya dan kak Matun membawa barang pameran paling banyak iaitu patung wayang dan kain songket, maka meja kami kosong saja. Meja negara lain bukan main megah dan mewah. Yang ada di meja Malaysia hanya ukiran batu yang dibawa oleh Jasmin. Tak apalah, apa nak buat. Bukan sengaja. Kita merancang saja kan!

 

Saya penat dan mengantuk. Saya dan kak Matun ditempatkan di bilik 456 dan saya tidak mengambil masa yang lama untuk baring di katil lalu tertidur. Oh ya! Beberapa perkataan untuk diingati hari ini – Ou Kun (Terima Kasih) dan Arun Sosedai (Selamat Pagi)!

 

 

 

22 MAC 2005 (Selasa)

 

Saya terjaga jam 6 pagi lantas bersiap untuk turun. Lebih kurang jam 6.30 hari sudah terang, macam di Sabah pula, dan kami bersiap untuk aktiviti lawatan hari ini yang bermula pada jam 9 pagi. Lebih kurang jam 7.30 saya dan kak Matun turun sarapan di restoran hotel. Yalah, walaupun saya ini ditakdirkan tidak cerewet pasal makanan, tetapi makanan memanglah masalah terbesar sepanjang berada di sini. Selera kan endak sama. Tapi saya tidak mahu cerita banyak pasal makanan sebab itu bukanlah agenda penting.

 

Alkisahnya, ketika mahu mengambil jus oren, saya terpandang sepasang orang tua di salah sebuah meja. Saya terhenti, seperti saya mengenali salah seorang daripadanya. Saya merenungnya betul-betul … laaa … kenapa tidak? Itu Profesor Amelia Lapena Bonifacio dari Filipina. Beliau dan kumpulan wayangnya Teatron Mulat dari Filipina pernah menyertai Festival Wayang Nusantara di Kuala Lumpur selama seminggu pada November 2001, dan sepanjang tempoh itu sayalah liaison officer mereka. Bersama beliau adalah suaminya Profesor Emmanuel Bonifacio. Saya melupakan hasrat saya mengambil air, lalu menghampiri beliau. Ketika saya menegurnya, dia agak terkejut memandang wajah saya, saya tahu sukar untuk dia mengingatinya. “Festival Wayang Nusantara, Kuala Lumpur?”

 

Saya kira barulah dia berupaya mengingati sesuatu, lantas dia bangun dan memeluk lalu mencium pipi saya. Dia bertanya apa saya buat di situ dan saya kata saya juga adalah salah seorang daripada peserta. Amelia cukup gembira dan saya lebih-lebih lagi. Amelia sudah berusia 75 tahun dan sudah bertongkat, masih menggagahkan diri menghadiri acara antarabangsa seperti ini. Paling mengkagumkan saya, dia dan suaminya baru sahaja menerima jawatan terhormat dan tertinggi dalam bidang akademik iaitu Profesor Emeritus. Mereka berdua adalah antara hanya 10 sahaja tokoh di Filipina yang menyandangnya.

 

Selesai sarapan kami bergerak ke lobi hotel, walaupun masih ada satu jam sebelum berangkat ke lokasi lawatan, tetapi saya lebih senang berada di situ bersama delegasi lain. Ramai yang menegur saya dan bertanya “adakah kamu peserta Malaysia yang terkandas di airport kerana masalah paspot itu?” Oh, nampaknya kejahilan saya dan kak Matun sudah tersebar luas di Kemboja. Tapi kesimpulannya saya memang cukup gembira pagi itu kerana dapat berkenalan dengan para peserta lain. Dalam masa yang singkat saya mula senang berada dalam kumpulan delegasi Brunei dan Indonesia. Mungkin kerana faktor bercakap dalam bahasa yang sama. Saya meletakkan sasaran bahawa selewat-lewatnya pada masa makan malam nanti saya mesti telah berbual dengan semua peserta dari semua negara. Bukan ramai, 4 orang kali lapan negara – tolak Malaysia dan Laos (tidak menghantar peserta), 32 orang semuanya yang perlu dikenali dalam masa satu hari.

 

Kami bergerak tepat jam 9 pagi dan 15 minit kemudian sampai di Artisan d’Angkor, pusat tenunan dan juga ladang ternakan ulat sutera. Saya tidak begitu berminat dengan proses tenunan tetapi apabila melihatnya di depan mata, timbul juga kekaguman di dalam hati. Kami berpeluang melihat proses pembikinan kain sutera secara live. Kami melihat ladang yang luas menghijau, kemudian dibawa mengamati proses pengumpulan ulat, melihat juga ulat direbus dan bulunya ditarik menggunakan mesin tradisional, bulu itu pula dihaluskan menjadi rupa benang, benang kemudian menjalani proses dye, benang-benang dijadikan gulungan seperti yang kita lihat di kedai dan akhir sekali kami dibawa melihat bagaimana benang ini ditenun menjadi kain. Saya melihat sendiri ramai pekerja menggunakan mesin-mesin tradisional, yang mana lebih separuh daripada proses kerja ini adalah menggunakan tenaga manual. Maksudnya ia tidak menggunakan mesin yang mengawal proses kerja secara automatik.

 

Beberapa perkara bermain dalam fikiran saya, sumber ekonomi mereka adalah bergantung kepada produk-produk seperti ini, tetapi teknologinya masih mundur. Mereka menggunakan tenaga manusia malah adakalanya saya melihat pekerja yang terbabit adalah pekerja di bawah umur.

 

Setelah beberapa jam dibawa melihat proses-proses ini, kami dibawa ke kedai cenderahati. Harga produknya masya-Allah, memanglah mahal. Saya tidak membeli apa-apa pun kerana saya tahu itu semua adalah harga pelancong. Teringat kata-kata Mr Ouk Lay di Phnom Penh, kalau mau shopping, baiklah di Phnom Penh, sebab di Siem Reap, semuanya diletakkan harga pelancong. Memanglah betul!

 

Saya sempat berkenalan dan berbual dengan seorang pemuda bernama Sokom Sam Ol, iaitu pengurus kedai cenderahati berkenaan. Dia sangat muda dan fasih berbahasa Inggeris. Saya senang berbual dengannya dan perbualan kami banyak menyentuh isu budaya dan sosial negara masing-masing. Tidaklah terlalu serius tetapi sekurang-kurangnya ia banyak membuka mata dan minda saya terhadap negara Kemboja. Ya, kalau mahu tahu tentang sesebuah negara itu, berbuallah dengan semua lapisan rakyatnya. Baik yang berpendidikan tinggi atau tidak, ia akan memberikan kita pelbagai perspektif mengenai latar belakang negara dan bangsanya.

 

Kami kembali ke hotel untuk makan tengahari. Kali ini saya mengambil peluang untuk mendekati delegasi Thailand dan Singapore. Mudah untuk berkomunikasi dengan Singaporean, kerana penggunaan bahasa Inggeris yang sama dengan orang Malaysia. Tapi saya terkejut juga kerana pesertanya Benjamin dan Lim, dua Chinese Singapore yang tidak faham bahasa Melayu. Hanya beberapa perkataan saja yang mereka faham termasuk perkataan “lah”. Ketua mereka Lily Samuel, faham sedikit tetapi tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Aiyooo … saya mengusik mereka dengan mengatakan bahawa Singapore lupa diri – “dulu kan kita satu kapal”. Benjamin sendiri meluahkan rasa kesalnya kerana tidak mengambil berat akan penguasaan bahasa Melayunya.

 

Lebih sukar berkomunikasi dengan peserta Thailand, daripada 4 orang, hanya ketuanya Dr Anucha saja yang fasih berbahasa Inggeris.  Tiga lagi anak muridnya langsung tidak faham Inggeris. Jadinya, kami berkomunikasi menggunakan bahasa ayam dan itik. Ketika melakukan diskusi dalam bidang patungan, saya cakap Melayu dan Neng dari Thai cakaplah bahasa Siam. Hei – ajaib sungguh, kami boleh memahami satu sama lain dan selalunya kami akan mencapai kesimpulan yang sama. Semangat ASEAN …..

 

Selepas makan tengahari kami berehat sebentar dan kira-kira pukul dua kami melawat satu lagi pusat tenunan, kali ini sebuah institusi tenunan yang ditubuhkan oleh seorang usahawan Jepun. Beliau membuka peluang kerja kepada para wanita Kemboja untuk terlibat di dalam industri tenunan berskala kecil. Dalam tempoh lawatan kami ke sana, saya melihat hampir seratus orang wanita diletakkan mengikut bahagian masing-masing untuk mengerjakan proses tenunan.

 

Institusi ini juga berfungsi sebagai pusat latihan kemahiran, yang mana mereka akan dinaikkan gred mengikut peningkatan kemahiran mereka. Selalunya proses pertama pelajaran adalah menghasilkan gulungan benang. Itu adalah asas dan sekiranya sudah mahir mereka akan dihantar ke bahagian dye dan tenunan. Di bahagian atas bangunan ini adalah pejabat institusi dan juga ruang untuk mereka yang mahir melukis. Lukisan-lukisan dihasilkan untuk ditenun di atas kain. Apa yang menyedihkan, semua pekerja ini tidak bergaji. Mereka mengharapkan hasil jualan produk. Tidak ada penaung dan penaja. Hanya sesiapa yang sudi memberi derma atau menempah hasil kerja mereka.

 

Bangunan ini tidak besar dan anda boleh melihatnya pada gambar yang saya lampirkan. Ia bangunan kayu dan tidak ada rupa institusi kemahiran langsung. Tapi apa yang menyentuh hati saya adalah apabila melihat golongan wanita daripada pelbagai umur datang bekerja di situ. Kanak-kanak seawal usia 10 hinggalah wanita berusia 50 atau 60 tahun memenuhi ruang bangunan. Ada wanita membawa anak kecil mereka, yang masih bayi akan ditidurkan di dalam buaian yang mereka buat sendiri dengan mengikatnya dari satu tiang ke satu tiang lain. Pemandangan ini sungguh menyayat hati. Kalau anda melihat gambar saya dengan seorang budak kecil yang takut memandang kamera, itulah antara anak-anak Kemboja yang saya tangkap dan bawa bergambar.

 

Saya ini sungguh cengeng orangnya – hati saya lekas tersentuh dan airmata pun mudah mengalir. Tapi Tuhan sajalah yang tahu bagaimana saya berhempas-pulas mengawal emosi ketika berada di antara mereka. Tidak tertahan hati saya lalu bertanya kepada liaison officer kami “Kenapa budak-budak ini ada di sini? Bukankah mereka semua sepatutnya berada di sekolah?” Dan dia tidak ada jawapan untuk itu.

 

Inikah harga yang perlu dibayar oleh generasi silam untuk menunggu zaman yang lebih baik? Apakah pula yang telah dilakukan oleh generasi baru untuk mengenang detik-detik yang pernah dilalui oleh mereka ini? Persoalan ini adalah untuk diri saya sendiri, dan saya harus menggerakkan hati semua orang untuk bersama-sama menjawabnya.

 

Kami berangkat pulang ke hotel, dan di tengah jalan kami dilepaskan berjalan-jalan di sebuah pasar yang dipanggil Old Market (kerana ada tempat lain bernama New Market), biasalah – untuk shopping. Kemudiannya kami pulang ke hotel, mandi dan turun makan malam. Sebelum kami naik ke bilik, Dr Anucha dari Thailand menghampiri meja kami dan bertanya adakah kami berminat untuk mempamerkan barang-barang yang tidak sempat dipamerkan pada malam pertama. Terutamanya pameran yang saya dan kak Matun bawa. Katanya kalau mahu, kami dipersilakan ke biliknya dan buka sendiri pameran tidak rasmi. Wah, ini pucuk dicita ulam mendatang. Terus saja kami bersetuju.

 

Malamnya, saya, kak Matun, Jasmin dan kak Yatimah mengangkat kain-kain songket dan patung-patung wayang ke bilik peserta Thailand. Meriah betul, ditambah lagi dengan kehadiran peserta Vietnam dan Singapore. Malam itu benar-benar meriah, sebuah bilik hotel biasa dipenuhi 16 orang, dengan pelbagai bahasa dan ragam. Saya suka berbual dengan peserta Thailand kerana pengalaman berkomunikasi dengan mereka sungguh melucukan. Jasmin ketawa sampai sakit perut melihat saya bersungguh-sungguh bercakap dalam bahasa Melayu dan dibalas dalam bahasa Thai oleh mereka. Tapi sakit jugalah tangan kerana terpaksa membuat bahasa isyarat.

 

Malamnya sebelum tidur, seribu satu perkara berputar dalam kepala saya. Semuanya mengenai Kemboja. Saya terfikir bagaimana kalau untuk negara-negara ASEAN, ada satu bahasa dipilih untuk dijadikan bahasa komunikasi utama. Bahasa itu mesti daripada bahasa negara-negara ASEAN juga. Bukan Inggeris semestinya, biar bahasa Inggeris jadi bahasa kedua. Mungkin bahasa Melayu, kerana wilayah penuturnya agak luas dan saya kira bahasa Melayu lebih senang dipelajari berbanding bahasa Inggeris. Hmm ... saya tertidur dalam angan-angan itu.

 

 

 

 

23 MAC 2005 (RABU)

 

Hari ini kami telah diberitahu supaya bersiap awal kerana akan bertolak melawat tapak kuil-kuil lama. Kami bertolak lebih kurang pukul 8 pagi dan perjalanan memang jauh, lebih kurang satu jam untuk sampai ke sebuah runtuhan kuil yang sangat indah dan menakjubkan buatannya. Dalam perjalanan menaiki van, saya duduk bersama Prof Amelia dan di hadapan kami adalah peserta dari Myanmar. Peserta Myanmar itu asyik memandang ke arah saya, dan akhirnya saya tahu dia mahu berbual dengan saya, tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan. Pakcik ini, saya gelarkan dia Pakcik Myanmar – kerana usianya menjangkau 60 tahun – akhirnya saya ketahui sebagai dalang terkemuka di Myanmar. Beliau boleh berbahasa Inggeris sedikit, dan masih juga sukar berkomunikasi dengannya, tetapi saya tidak risau kerana saya ada teknik berbual yang sangat bagus walaupun menggunakan bahasa yang tidak difahami. Dia memberitahu saya yang dia pernah datang ke Kuala Lumpur membuat persembahan kira-kira 10 tahun lalu.

 

Sampai di runtuhan kuil itu, saya meronda keseluruhan kawasan, yang mana semuanya mengambil masa lebih satu jam. Saya memilih bergerak sendiri, kerana jika bergerak berkumpulan pasti lebih banyak berbual daripada melihat. Ukiran-ukiran patung dan juga pada dinding kuil-kuil ini sangat mengkagumkan. Tidak hairanlah betapa Kemboja menempa nama sebagai negara yang menyimpan khazanah kuil zaman kegemilangan kerajaan Hindu di Asia. Di sinilah Prof Amelia berkata dengan emosional sekali, “Negara Barat mendakwa mereka bertamadun, tetapi abad ke 10, kita sudah ada ini semua”. Unsur-unsur ritual dan daulat kerajaan adalah elemen paling dominan dalam ukiran mereka. Melihat ukiran saja, kita dapat memahami bagaimana konsep “Raja sebagai bayangan Tuhan” dipraktikkan pada zaman itu.

 

Di salah satu kawasan di kuil, ada sekumpulan pemuzik yang menggelarkan diri mereka sebagai “Landmines Music” sedang bermain muzik. Ada lebih kurang 10 orang semuanya dan kebanyakannya cacat akibat terkena periuk api ketika perang. Malah pemain serunainya meletakkan kaki palsunya di sisi ketika duduk membuat persembahan. Di sebelah kumpulan ini, ada seorang budak lelaki berusia lingkungan 7 atau 8 tahun sedang menari dengan gelungan di pinggangnya (seperti tarian hula hup). Dia menari ikut rentak lagu dan sepanjang tarian itulah gelungan itu bergelung di pinggangnya. Sangat menyayat hati tapi juga sangat menghiburkan. Saya berada di situ hampir 20 minit dan selama itulah anak kecil itu menari tanpa malu, benar-benar berjiwa performer dan bagaikan tarian itu sudah sebati dengan darah dan dagingnya.

 

Saya keluar dari tapak kuil dan bertemu dengan kak Matun yang mengajak saya melawat gerai jualan di luar kawasan kuil. Baru beberapa langkah berjalan, kami dikerumuni hampir sepuluh orang wanita yang memaksa kami membeli jualan mereka. Memang mereka menjual, tetapi sampai satu peringkat mereka sebenarnya memaksa kami membeli. Saya agak gementar tapi lekas menarik kak Matun yang panik. Mujur beberapa delegasi lain sedang minum air kelapa di salah sebuah gerai dan kami berlari menyertai mereka. Tidak lama kemudian Jasmin muncul dengan wajah pucat – saya tak tanya, saya pasti dia mengalami kejadian serupa.

 

Oh, saya ingin bercerita tentang seorang peserta dari Filipina, namanya Dr Aurora, juga Profesor dari sebuah universiti di Filipina. Menurut Jasmin, ketika pembentangan hari pertama, Aurora sudah pun digelar “Iron Lady” kerana sikapnya yang agak outspoken malah tindakannya sering juga kelihatan kasar dan mementingkan diri sendiri. Dia antara personaliti menarik yang saya temui dalam program ini, kerana saya banyak mengenali orang seperti ini di Malaysia ( ha ha ha ….). Saya katakan pada Jasmin, orang seperti ini harus dilayan dan jangan dilawan. Dia memang hidup untuk menonjolkan kelebihan dirinya dan tidak mahu dibayangi oleh orang lain. Itu kan perkara positif tetapi jika tidak dikawal maka akan kelihatan mengada-ngadalah pulak.

 

Alkisahnya ketika melawat pusat tenunan semalam, Aurora ini tidak mahu naik ke atas bangunan kerana katanya “Apa faedah kita naik ke atas?” Saya ketawa ketika dia bercakap begitu tetapi kemudian dia membisik pada saya, “Sebenarnya kaki saya sakit dan tidak larat lagi”. Kemudian ketika melawat kuil hari ini katanya dia tidak akan masuk sebab dia tidak berminat dengan ukiran patung. Kemudian dia katakan pada saya yang dia sebenarnya tidak tahan panas dan tidak tahan berjalan jauh. Aaaaa …. see … dia bukanlah teruk sangat, hanya dia cuba menutup kelemahan dirinya. Itu saja. Banyak lagi cerita mengenai Aurora yang sangat menarik – akan saya ceritakan kemudian.

 

Kami meninggalkan tapak runtuhan kuil itu dan bergerak pulang ke hotel. Sebenarnya di Siem Reap ini ada beratus-ratus kuil, yang mana sepanjang jalan dapat dilihat runtuhannya. Tapi tidak mungkin untuk kami melawat semuanya dalam masa yang terhad. Jadi mereka membawa kami melawat mana yang terkenal saja. Dalam perjalanan pulang kami singgah di sebuah pusat ukiran patung dan saya berpeluang melihat bagaimana patung diukir. Sesungguhnya kerja-kerja ini memerlukan kepakaran yang tinggi. Mereka melukis dahulu corak di atas kertas dan kemudian dipindahkan ke atas batu. Ada satu ukiran besar yang mempunyai cerita mengenai epik Ramayana. Menerusi gambar ukiran itu, ia menceritakan bagaimana sekumpulan panglima belayar untuk mencari air suci. Dalam perjalanan mereka diserang kuasa jahat. Berlaku peperangan dan kuasa jahat kalah, kemudian mereka menarikan tarian kemenangan.

 

Di Kemboja, rupanya saya telah belajar bagaimana mengapresiasi seni tampak. Thanks God! Selama ini saya tidak pernah peduli pun tentangnya.

 

Apa yang masih menyentuh saya adalah melihat tenaga-tenaga kerja kanak-kanak yang masih digunakan untuk menghasilkan produk-produk ukiran ini. Hati saya menangis setiap kali melihat mereka mengetuk batu-batu itu. Dalam diam saya berdoa supaya nasib mereka berubah – supaya nasib bangsa mereka berubah – supaya nasib bangsa Asia berubah!

 

Selepas makan tengahari di hotel, kami dibawa melawat ke sebuah institusi – kelihatannya seperti bertaraf sekolah vokasional di Malaysia. Institusi ini melatih secara akademik para pelajarnya dalam bidang kemahiran seni tampak dengan fokus kepada ukiran patung. Tapi kami hanya melawat satu dua bengkel sahaja, dan prosesnya sama seperti proses yang kami lihat pagi tadi. Kawasan institusi itu besar, dan ada beberapa bangunan lain yang kelihatan ada pelajar-pelajar sedang menjalani sesi akademik.

 

Dari institusi itu, kami bergerak ke Cultural Village of Cambodia. Ala-ala kampung budaya di tempat kitalah. Tempatnya begitu luas dan landskapnya direka dan dipelihara begitu indah. Ada patung Sleeping Buddha, ada rumah-rumah tradisional kaum-kaum di Kemboja serta persembahan kebudayaan yang sangat menarik. Di sini saya memahami bahawa mereka menggelarkan orang Melayu sebagai orang Champa. Mengikut sejarah dahulu, orang Kemboja tidak begitu menyukai orang Champa kerana menurut sejarahnya, dikatakan orang Champa dari Vietnam telah menyerang dan memusnahkan perkampungan Kemboja di sempadan Vietnam-Kemboja. Kini Melayu Champa merupakan kaum yang sangat minoriti di Kemboja.

 

Saya sempat menonton sebuah persembahan teater tari yang dipersembahkan di ruang terbuka. Ia mengisahkan adat bangsa Kemboja ketika mencari pasangan. Tiga lelaki menggoda seorang gadis dan memujuknya menerima mereka sebagai suami. Gadis itu enggan walaupun ditawar emas dan wang ringgit. Akhirnya lelaki-lelaki itu bertanya lelaki seperti apakah yang gadis itu mahu, gadis itu berbisik dan menunjuk ke satu arah. Ketika itu pecah ketawa semua pengunjung kerana dia menunjuk kepada seorang lelaki Inggeris yang juga sedang menonton. Lelaki-lelaki Kemboja itu menarik lelaki Inggeris itu dan membawa ke satu tempat. Sementara itu penari-penari perempuan mempersembahkan sebuah tarian yang menarik. Tidak lama kemudian lelaki-lelaki Kemboja muncul bersama lelaki Inggeris yang telah pun dipakaikan pakaian tradisional Kemboja. Riuh-rendah dan gagak-gempita semua orang, mentertawakan lelaki Inggeris itu. Tapi orang Inggeris itu sangat sporting, menyertai persembahan – “dikahwinkan” dengan gadis Kemboja dan terpaksa menari mengikut adat mereka. Kemuncak persembahan adalah gadis itu menarik lelaki Inggeris masuk ke adalam rumah sebagai tanda mereka telah berkahwin. Semakin riuhlah penonton bersorak!

 

Persembahan itu sungguh menarik hati saya. Sebagai seorang pelajar jurusan seni persembahan, saya melihat bahawa perkembangan seni persembahan di Kemboja sangat lekas diadaptasi kepada elemen kontemporari. Mereka tidak lagi memberatkan sangat aspek tradisional dalam persembahan mereka sebaliknya bersedia untuk menyuntik nilai semasa demi memperkenalkan kesenian mereka kepada masyarakat luar. Saya melihat satu lagi persembahan mengenai adat muda-mudi Kemboja, masih melibatkan orang Inggeris sebagai “mangsa” mereka. Kali ini orang Inggeris yang dipilih terpaksa mengikut mereka menarik lembu dan bekerja di ladang. Sungguh menghiburkan.

 

Hampir pukul 7 baru kami semua berangkat pulang meninggalkan Kampung Budaya itu kerana Aurora sudah bising-bising dan mengatakan dia mengantuk dan sangat lapar. Malam itu kami dibawa dinner di Restoran Jasmin, tapi itulah satu-satunya pengalaman pahit saya di sini. Sudahlah makanannya kami tidak boleh makan, beberapa peserta pula memesan arak dan minum betul-betul di hadapan saya. Ya, saya berfikiran terbuka dan faham bahawa mereka ada hak untuk itu, tapi saya juga ada hak untuk merasa bosan dan sedikit tersinggung. Malam itu benar-benar membosankan walaupun disajikan persembahan tarian tradisional. Saya hanya makan nasi dan salad dan buah. Balik hotel, nasib baik kak Matun bawa serunding, roti dan makanan dalam kotak. Saya pula bawa nestum dan kerepek-kerepek. Melantaklah kami dalam bilik sebelum tidur. Tadi pegawai pengiring kami berpesan supaya kami tidur awal dan bangun awal sebab esoknya semua orang akan dibawa ke Angkor Wat. Saya melihat jam …. pukul 2 pagi.  Saya baring, tarik selimut dan perut saya berbunyi …. lapar!!!

 

 

24 MAC 2005 (KHAMIS)

 

Awal pagi terjaga, sarapan dan berkumpul di lobi jam 8 pagi. Kami menempuh perjalanan lebih satu jam menuju ke Angkor Wat, antara tujuh benda ajaib di dunia. Inilah hari yang saya tunggu-tunggu sebenarnya! Turun sahaja dari dalam van, saya telah nampak tersergam indahnya bangunan kuil ini. Ia seperti gerbang sebuah kota istana yang dari hujung kiri ke hujung kanannya berukuran beribu-ribu meter. Dari jalan besar ke gerbang pertama Angkor Wat adalah lebih kurang 500 meter dengan kiri kanannya diiringi tasik buatan manusia. Saya tidak menunggu orang lain kerana kami hanya diberi masa dua jam. Saya terus berjalan. Apabila saya merentas saja gerbang pertama, saya berastaghfar, nun jauh 1000 meter ke depan ada lagi gerbang kedua sama megah tersergamnya seperti gerbang pertama. Di antara pintu gerbang pertama dan gerbang kedua ini adalah kawasan seperti padang seluas beberapa kali ganda Dataran Merdeka. Saya berjalan terus hingga sampai ke pintu gerbang kedua dan selepas itu barulah masuk ke dalam kuilnya yang utama.

 

Kebetulan ketika itu ada upacara sembahyang dijalankan dan kelihatan beberapa sami sedang berdoa dengan ramai sekali pengunjung berada di dalam kawasannya. Saya meneruskan perjalanan ke bahagian atas kuil. Saya mendaki tangga 10 meter untuk sampai ke atas, dan sampai di atas ada beberapa lagi kuil kecil dibina, dan ada satu kuil yang saya kira menara tertingginya, agak curam, setinggi mungkin 40 meter. Dari situ boleh melihat seluas-luasnya pemandangan seluruh Angkor Wat. Saya tidak mahu panjat. Pertama, saya bimbangkan keselamatan sebab saya berjalan seorang dan kedua – ia curam, dan saya separuh gayat. Walaupun dalam hati meronta mahu naik, rugi sampai tapi endak naik – tapi saya tahan hati dan bersabar. Jangan ambil risiko, saya pujuk hati saya, badan saya bukannya macam 10 tahun lalu ketika memanjat gunung Kinabalu. Jadi saya hanya berjalan di sekitar menara itu dan memerhatikan pemandangan indahnya sambil membayangkan keagungan kerajaan itu beratus-ratus tahun silam. Saya habiskan masa lebih kurang setengah jam di atas dan turun kembali. Ketika mahu keluar saya terserempak dengan rombongan delegasi Asean yang baru sampai. Mereka terkejut kerana saya sudah mahu berpatah balik. Itulah kelebihannya bergerak seorang – tidak banyak bercakap, jadi jalannya laju.

 

Perjalanan berpatah balik lebih relaks kerana saya tak perlu kejar masa. Saya kembali ke kawasan berhampiran jalan besar dan oleh kerana saya orang pertama tiba di situ maka saya berkesempatan duduk di sebuah tempat berehat. Seorang wanita tua berkepala botak menegur saya. Saya tidak faham bahasanya tapi saya tahu dia bertanya adakah saya sudah masuk ke dalam kuil, saya jawab dalam bahasa Melayu “Sudah!” Mudah dan dia diam lepas itu. Tidak lama kemudian saya didatangi sekumpulan remaja, tiga perempuan dan dua lelaki, yang tiba-tiba berbahasa Melayu. Rupa-rupanya mereka keturunan Kemboja yang lahir di Malaysia, boleh berbahasa Melayu dan Kemboja dengan fasih. Mereka dari Johor tapi bercuti dan balik kampong di Battembau, lebih kurang 7 jam perjalanan dari Siem Reap.

 

Sambil berborak, mereka memberitahu informasi bahawa harga barang kepada pelancong di sini memang mahal dan cekik darah. Barang-barang berharga 1 USD sebenarnya hanya berharga 1000 real sahaja atau sama dengan RM 1 (25 sen duit US). Saya katakan pada mereka memang itulah adat berniaga, di mana-mana pun begitu walau di Malaysia sekalipun. Kalau tidak takkanlah saya “mengharamkan” diri saya shopping di Pasar Seni (Central Market) Kuala Lumpur, KLCC, KLIA dan Bangsar Shopping Centre (sekadar menyebut beberapa tempat), sebab harga barang-barangnya tidak logik – semua harga pelancong. Samalah bila kita di tempat orang, perlu berhati-hati dan gunakan akal ketika berbelanja. Seronok berbual dengan budak-budak ini, tetapi tidak lama kerana mereka harus pergi ke tempat lain pula.

 

Selepas mereka pergi saya kembali duduk seorang diri sebelum ternampak satu upacara perkahwinan sedang dijalankan. Sepasang pengantin berpakaian ala Barat melaksanakan upacara perkahwinan di Angkor Wat. Ketika itu juga Kak Matun datang menyertai saya dan serentak juga berlakunya rebut pasir selama hampir 5 minit. Kami agak cemas, berderau juga darah kerana serentak rebut pasir, petir dan guruh berbunyi dan angin menderu kuat. Tidak lama kemudian hujan turun – wah, selepas 5 bulan, hujan turun di Kemboja!

 

Lebih kurang sejam kemudian, semua anggota delegasi berkumpul kembali. Semua kecoh kerana hujan turun di Kemboja hari itu! Kami bergerak ke satu lagi tapak kuil iaitu Bayon Temple. Di sini saya juga perlu memanjat setinggi berpuluh-puluh meter, tetapi berbaloi kerana di puncak kuil ini ada banyak batu yang berukir wajah Buddha malah ada ukiran Buddha empat penjuru pada sebuah batu.

 

Berlaku satu kejadian yang mencuakkan saya tapi juga melucukan di sini. Dalam perjalanan naik ke atas, saya melintasi sebuah ruang kecil tempat sembahyang Buddha. Saya tunduk hormat kepada perempuan yang menjaganya, dan dia pula pantas menarik tangan saya dan memberikan dua batang colok. Beberapa orang perempuan lain di situ bertanya saya “Thai?” Saya menjawab “Malai”. Kemudian mereka membalas “Ooo … Champ”. Kemudian perempuan itu mengarahkan saya mengikut perbuatannya. Demi menghormati, saya pun menurutnya – wah, baru saya sedar rupanya saya sedang sembahyang depan patung Buddha itu, pakai colok lagi. Sahabat bernama Budi dari Indonesia lalu berhampiran saya lalu ketawa dan sedikit kuat berkata “Sudah tertangkap ya bu?” Saya menjeling dia, hati saya cuak sekali tapi saya cuba berlaku hormat dan mengikut saja upacara itu sambil mentera dibaca oleh perempuan berkenaan. Kemudian apa berlaku? Saya perlu meletakkan duit di dalam tempat yang dikhaskan – bukan wajib tapi perlu!!!  Apabila saya keluar dari kawasan itu, saya diusik oleh Pangeran dari Brunei, katanya – wah, orang Buddha pun sudah ada yang pakai tudung! Kami ketawa besar kemudiannya dan usikan itu bertahan sampailah hari terakhir saya di sana.

 

Puas mengelilingi kawasan atas dan kerana filem saya habis, saya turun semula dari tempat saya naik. Saya mengelak melintasi tempat tadi kerana risau disuruh sembahyang lagi. Rupanya saya tidak dengar tadi pegawai pengiring memberitahu menyuruh kami turun di bahagian Barat kerana van akan menunggu di situ. Saya terpacak hampir setengah jam menunggu mereka. Nasiblah ada pakcik Myanmar yang juga sesat bersama saya. Dan mujurlah juga seorang Kemboja yang baik hati menyuruh kami menuju ke bahagian Barat kerana katanya semua bas selalunya menunggu di situ. Ketika berada di bahagian Barat saya melihat ada pokok ditanam di atas batu. Maksudnya seluruh kawasan tanah dilapisi batu. Unik dan cantik. Hujan mula lebat dan kami meninggalkan kawasan Bayon Temple. Barulah rasa sejuk sikit daripada hari-hari sebelumnya.

 

Selepas makan tengahari di hotel kami bergerak ke House of Peace melihat proses pembikinan patung wayang kulit. Tidak ada bezanya dengan pembikinan patung di Malaysia, hanya motif ukiran saja berlainan. Patung wayang Kemboja agak besar dan berwarna coklat, kerana ia dimainkan di hadapan dan belakang skrin. Apinya pula adalah terbit daripada pembakaran tempurung kelapa di belakang skrin (kelir). Saya tak pernah tengok lagi persembahannya, tapi mengikut jadual malam ini, kami akan menonton persembahan wayang kulit Kemboja dan saya tidak sabar menunggu.

 

Kami pulang ke hotel agak awal daripada biasa iaitu jam 5 petang. Tiba-tiba Pangeran mencadangkan supaya kami menghubungi Haji Musa Soleh yang kami temui di lapangan terbang dulu. Lagipun malam itu delegasi akan makan di Restoran Jasmin lagi, dan saya menolak serta-merta. Maka kami semua setuju menghubungi Haji Musa. Tidak sampai setengah jam, Haji Musa sampai di hotel, rumahnya hanya 10 minit daripada hotel itu dan dia membawa kami ke rumahnya yang terletak di Kampung Stung Thmey, satu-satunya perkampungan Islam di Siem Reap. Rumah Haji Musa betul-betul berhadapan masjid – dia juga adalah imam di kampong itu. Kami makan malam di rumahnya, sungguh menyelerakan. Sebuah bekas memanggang dibawa ke hadapan kami, arang dibakar dan api marak, daging lembu yang telah dipotong kecil dan disalut rempah dimasak di hadapan mata. Baunya menyelerakan, rasanya apatah lagi. Layanan baik diberikan oleh keluarga Haji Musa dan kami betul-betul terharu.

 

Haji Musa fasih berbahasa Melayu kerana dia pernah belajar agama di Gombak selama enam bulan. Kini dia juga adalah penggerak kepada pertubuhan Islam di Siem Reap. Mereka berusaha mencari dana untuk menubuhkan masjid dan membuka kelas agama di situ. Di rumahnya juga saya berkenalan dengan kak Jamilah, jiran Haji Musa yang sudah lebih 40 tahun menetap di Perak tetapi balik ke Siem Reap melihat abangnya yang sakit. Selepas memberitahunya yang saya juga seorang penulis, dia menceritakan kisah hidupnya yang sangat menyayat hati – bagaimana dia melepaskan diri daripada kekejaman askar Khmer Rouge dan lari merentas sempadan sehingga ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia dan bermastautin di Parit Buntar, Perak - , tidak akan saya ceritakan di sini, tetapi saya telah meminta izin kak Jamilah untuk merakamkannya dalam bentuk  skrip drama atau filem satu hari nanti, insya Allah.

 

Kami terpaksa meninggalkan rumah itu lebih awal kerana perlu ke Wat Bo menyaksikan persembahan Wayang Kulit Kemboja. Kak Jamilah memeluk dan mencium saya, ah – baru beberapa jam bertemu, kenapa hati saya begitu terguris sekali? Sebelum kami berangkat ada sepasang suami isteri berasal dari Singapura tiba di rumah Haji Musa. Gambaran mengenai Haji Musa semakin jelas kepada saya. Rumah beliau rupanya sering dikunjungi oleh tetamu seperti kami, yang mahu melihat sendiri bagaimana nasib umat Islam di bumi Kemboja.

 

Seringkas kata yang boleh saya tuliskan selepas mengunjungi kampong Stung Thmey ini, - syukurlah kita umat Islam di bumi Malaysia kerana diberi peluang oleh Allah untuk hidup dan beribadat di tanah bertuah ini. Di sana, mereka tidak pernah menikmati apa itu yang dikatakan kebebasan beragama.

 

Oh, ketika berada di Angkor Wat, kak Matun berbisik kepada saya, ada seorang rakyat Malaysia keturunan Kemboja memberitahunya supaya jangan berpakaian seperti “orang Islam” kalau berjalan-jalan di Kemboja, kerana banyak kejadian bunuh di sana hanya disebabkan faktor ideologi dan agama. Saya mengeluh dan berkata “kita tawakal sajalah”.

 

Dari rumah Haji Musa kami kembali ke Hotel Angkor kerana rakan-rakan lain yang makan malam di Restoran Jasmin telah pergi ke Wat Bo. Kami diambil semula 15 minit kemudian oleh sebuah van untuk dibawa ke Wat Bo. Perjalanan tidak panjang, lebih kurang 10 minit saja dan kami tiba ketika ucapan alu-aluan sedang berlangsung. Persembahan dibuat di perkarangan sebuah kuil dan kami semua duduk di atas tikar yang telah diletakkan lapis duduk bantal bersandar (sangat selesa), membolehkan kami menyaksikan persembahan secara santai sekali. Selain kami, telah hadir beberapa orang lain – mungkin penduduk setempat – untuk menyaksikan persembahan juga.

 

Melalui ucapan yang diterjemahkan dan juga interviu saya kepada anggota dan ketua kumpulan, ahli-ahli persembahan ini adalah sami-sami yang belajar di Wat berkenaan. Upacara wayang kulit di Kemboja masih merupakan sebuah acara ritual dan sebahagian daripada penyembahan kepada Tuhan mereka. Selaku seorang pengkaji perkembangan Wayang Kulit, malah saya juga pemuzik wayang kulit Kelantan serta mengkaji perkembangan epik Ramayana di Asia Tenggara, saya melihat persembahan Wayang Kulit Kemboja sebagai sebuah persembahan yang sangat asli dan kuat hubungannya dengan spiritual mereka sebagai penganut Hindu-Buddha. Di Malaysia, wayang kulit sendiri telah mengalami transformasi sebagai sebuah persembahan hiburan. Unsur-unsur ritual semakin lama semakin dinipiskan sehingga kini ia menjadi sebuah persembahan tradisional Malaysia, bukan lagi Kelantan semata-mata (atau Kedah, atau Johor).

 

Saya begitu gemar menyatukan diri saya dengan sebarang unsur tradisional kerana saya memang suka menikmati gerak-gerak asli yang lahir hasil tindak balas manusia dengan alam. Kerana itu saya terpesona dengan corak persembahan mereka, sebuah persembahan wayang kulit seumpamanya yang tidak pernah saya saksikan. Hanya saya dengar daripada mulut pensyarah saya di Universiti Malaya, dan hari ini saya saksikan sendiri di hadapan mata kepala saya.

 

Sebuah skrin sebesar skrin panggung wayang, dengan selonggokan besar tempurung kelapa dibakar di bahagian belakang skrin, memarakkan api sekian besar yang menerangi seluruh skrin. Daripada bayang api itu maka patung digerakkan dengan memainkan cerita pengembaraan wira Ramayana berlawan dengan musuhnya Rawana. Apa yang lebih menarik hati saya adalah sekumpulan sami remaja melakukan gerakan-gerakan fizikal yang begitu hebat ketika memainkan patung, lenggok tarian yang energetik adalah lambang jiwa mereka yang sebenarnya begitu kukuh menjunjung budaya dan tradisi mereka. Umur mereka muda – semuda remaja di Kuala Lumpur yang terkinja-kinja pada setiap konsert-konsert hiburan – dan begitu jauh dengan ketuaan dalang-dalang di Malaysia yang terkial-kial memainkan patung wayang, ditonton oleh para pelancong berkulit putih, dengan anak-anak bangsanya pula sibuk menghantar undi untuk Akademi Fantasia atau Malaysian Idol. Ya! Itulah hakikatnya!

 

Mungkin itu harga sebuah kemajuan, sebuah bina negara-bangsa yang bertamadun. Mungkinkah Kemboja apabila sudah mencapai taraf seperti Kuala Lumpur satu hari nanti, mereka juga akan menyaksikan keruntuhan budaya di tangan bangsa sendiri? Mungkin ya, mungkin tidak!

 

Pengalaman menyaksikan persembahan wayang kulit Kemboja sangat mengasyikkan. Meskipun bahasanya tidak saya fahami, tetapi epik Ramayana bukanlah baru kepada saya. Gerak-gerak patung boleh dibaca, tetapi kesenian yang mereka tampilkan begitu asli dan suci. Ada kalanya membuatkan saya terfikir, selama manakah mereka mampu mempertahankannya.

 

Kami balik ke hotel lebih kurang jam 10 malam dan seperti biasa, saya terus naik ke bilik, mandi dan baring di katil. Banyak perkara bermain di kepala saya sebelum tidur – Angkor Wat, Bayon Temple, kak Jamilah, Wayang Kulit Kemboja ….. Malam ini tidur kami terasa lebih lena kerana hujan turun dengan lebatnya!

 

 

25 MAC 2005 (JUMAAT)

 

Hari ini hari terakhir acara ini dan di sebelah paginya kami diberikan acara bebas untuk bersiar-siar atau untuk berehat di bilik. Delegasi Malaysia memilih untuk berkumpul bagi mempersiapkan laporan bagi dibentangkan dalam acara penutup petang ini. Lebih kurang jam 11.30 semua peserta beragama Islam dipanggil turun ke lobi dan diberitahu akan dibawa ke restoran Muslim di Siem Reap. Kami bercakap sesama sendiri, mungkinkah pihak penganjur terasa yang kami tersinggung dengan kejadian di Restoran Jasmin tempoh hari, dan mereka meminta maaf dengan cara ini? Apa-apalah, yang pasti layanan pihak penganjur memang nombor satu!

 

Jadi delegasi Malaysia (termasuk Jasmin yang non-Muslim tapi seorang yang all-rounder), 4 orang dari delegasi Indonesia bersama dua peserta Brunei bergerak ke restoran India Muslim. Kami tiba di sana hampir jam 12, tapi Pangeran dari Brunei kelam-kabut mahu pergi solat Jumaat. Salah seorang dari Indonesia berkata – nggak apa, kita ya musafir- tapi Pangeran membalas, kalau tak ada masjid bolehlah consider musafir. Dan seorang lagi membalas - apa salahnya kita solat, boleh merasa solat Jumaat di tanah orang biar pun tak faham khutbahnya - . Yang seorang membalas lagi – kita telpon saja imamnya, suruh nunggu - . Kecoh juga seketika, ada yang mahu makan dulu kerana lapar dan ada yang mahu solat kerana takut lambat. Akhirnya kami para perempuan yang jadi pendamai. Semua lelaki dipersilakan solat Jumaat, kami perempuan tunggu di kedai dan jaga makanan mereka. Itulah penyelesaiannya.

 

Kami memesan nasi beriani ayam. Masya-Allah, sepinggan nasi boleh makan dua orang, punya banyak. Saya yang tak suka makan tak habis, kali ini terpaksa makan tak habis, sebab mustahil untuk menghabiskan makanan sebanyak itu. Selesai makan, saya dan kak Matun sempat merayau-rayau di pasar berhampiran, tapi tak ada apa yang menarik. Kami sudah banyak shopping dan duit pun hampir habis. Window shopping sajalah. Selesai berjalan kami kembali ke kedai dan orang lelaki sudah sampai. Kasihan dua pegawai pengiring berbangsa Kemboja, terpaksa mengikut kami ke sana ke mari, termasuk menunggu di luar masjid dan duduk termangu di meja lain ketika kami makan. Kami mengajak mereka menyertai meja kami, tapi nampaknya mereka begitu menjaga protokol antara peserta dan petugas. Kasihan kami melihat mereka.

 

Hampir jam dua kami balik ke hotel dan terus ke dewan seminar untuk acara penutup. Sebelum acara bermula, setiap delegasi mula bertukar-tukar cenderamata. Oh, saya mula terbayang detik-detik perpisahan. Pembentangan setiap negara bermula, dengan setiap delegasi memberikan hasil pemerhatian serta cadangan-cadangan atas segala resolusi yang telah dikemukakan. Acara berjalan lancar, cuma timbul ketegangan apabila Amelia dari Filipina mencadangkan agar dilakukan sesuatu ke atas perkembangan epik Ramayana agar boleh diserapkan di kalangan kanak-kanak. Menurutnya selama ini kanak-kanak tidak boleh menerima epik Ramayana kerana ia disampaikan dalam cara serius dan terlalu berat. Pendapat Amelia relevan dengan kepakarannya dalam teater untuk pendidikan kanak-kanak.

 

Tetapi Dr Anucha dari Thailand menjelaskan bahawa untuk sebilangan negara seperti Kemboja dan Thai, Ramayana adalah sesuatu yang “adiluhung (sacred)”. Bukan mudah untuk mengadaptasikannya hanya untuk menjadikan kanak-kanak faham. Saya cuba menyokong Amelia dengan menyatakan bahawa di Malaysia sendiri Hikayat Seri Rama telah diadaptasi mengikut keperluan budaya dan tradisi masyarakat tanpa mengaitkannya dengan mana-mana sentimen agama. Pun begitu, resolusi menerapkan Ramayana untuk keperluan kanak-kanak tidak dapat dimasukkan di dalam kesimpulan acara. Ini menyebabkan Aurora bengang dan bangun lalu pergi ke hadapan dan berkata, “So, you don’t want to include our childrens? Okey, fine! I’m fine!” Semua orang diam, Dr Anucha memandang ke arah delegasi Malaysia dan memberi isyarat mulut “Say something! Say something!” Tetapi kami diam sahaja kerana tidak mahu menjadi “mangsa” Aurora pula.

 

Tetapi yang membuatkan saya ketawa sehingga keluar air mata adalah – apabila Pakcik Myanmar yang tidak faham apa yang sedang berlaku, kerana dia tidak faham bahasa Inggeris, mungkin rasa keliru dan bosan, mengeluarkan patung boneka Myanmarnya lalu memainkan patung itu di atas kerusi sambil berdialog dan menyanyi – Yaaaaaa! Di sebuah seminar antarabangsa, penutupan pula tu, dengan ketegangan berlaku di satu bahagian, ada seorang tua dengan tanpa rasa bersalah memainkan bonekanya di satu bahagian lagi. Jadi ada dua situasi yang boleh kami tonton waktu itu. Saya duduk betul-betul di sebelah pakcik Myanmar, saya terpaksa tunduk ke bawah meja untuk ketawa.

 

Tetapi ya, magiknya semangat ASEAN, acara itu berakhir dengan penuh rasa persetujuan terhadap semua resolusi yang dikemukakan. Konklusi yang dicapai sempena seminggu acara ini adalah seperti berikut :

 

  1. All delegates expressed their gratitude to the Cambodian organising committee for their efficient management of the Programme. The People to People Exchange Programme has provided rare opportunities to many grassroots artisans of ASEAN countries to expose themselves to different cultures. It is therefore recommended that the Programme should be continued and extended to improve the possibilities for artwork production and interaction.

 

  1. It is commonly recognised that specific art forms should be considered separately in order to enhance the outcomes for artisans and the workshops. Better and more focused interaction would be possible if the programme were to be divided into individual art groups.

 

3.                  Workshops should be based on practical experiences as well as observations so that artisans can collaborate on a single production style and motif in each venue.

 

4.                  Experts from the host country should be invited to share their expertise and participate throughout the duration of the entire programme to impart their knowledge to delegates and encourage inter-cultural exchange.

 

5.                  It is recommended that the craft exhibition of participating countries be extended for the duration of the conference to increase the opportunity for better understanding and dialogue among delegates.

 

6.                  To pursue a programme on promotion towards commercialization of ASEAN arts without losing their identities.

 

7.                  Lastly, to consider the interest of our children in the arts as  a primary concern

in order to ensure the future of ASEAN  culture  and the arts.

 

 

Selesai saja acara penutupan, Aurora meminta semua wakil dalam bidang wayang kulit berkumpul. Maka saya pun bersama yang lain datang bertemu dengan beliau. Kami semua diminta mengadakan satu persembahan khas berupa kejutan istimewa untuk Menteri Kebudayaan yang akan hadir pada majlis Farewell Dinner malam ini. Dengan Prof Amelia dari Filipina bertindak sebagai pengarah persembahan, kami semua bersetuju untuk membawa satu patung wayang/ boneka setiap seorang, dan secara in-promptu mencipta sebuah cerita, bahawa semua patung ini sedang dalam perjalanan menuju ke Kemboja bagi membantu mencari air kerana Kemboja sudah lima bulan tidak menerima hujan. Latihan berlangsung selama setengah jam dengan lebih banyak ketawa daripada berlatih. Nasib baik saya belajar muzik wayang kulit dan pernah mengambil kursus pendalangan – dan saya pula major dalam bidang seni persembahan, jadi tidaklah malu sangat apabila diminta melakukan improvisasi.

 

Selepas latihan, kami semua balik ke bilik masing-masing dan bersiap untuk Farewell Dinner. Semua orang memakai baju kebangsaan masing-masing, dan pada saya inilah pemandangan yang paling indah sepanjang minggu acara ini. Kami tiba di restoran berkenaan jam 8 malam dan acara bermula dengan ucapan Menteri Kebudayaan dan Seni Halus yang pernah saya dan kak Matun temui di pintu masuk Muzium Kemboja pada hari pertama. Kemudian makan malam bermula, diikuti sesi karaoke, di mana Pak Menteri  sendiri menyanyikan lagu kegemarannya. Kemudian kesemua pegawai pengiring yang selama ini kelihatan sibuk dan serius bekerja, menunjukkan bakat menyanyikan lagu-lagu popular di Kemboja ketika itu. Sesi diikuti majlis tari-menari tarian tradisi Kemboja (kami menghantar Jasmin untuk acara ini) – dan masya Allah, budak Thailand itu rupanya sudah mabuk kerana minum beer. Dia menari macam dia berada di kampungnya. Saya memandang Dr Anucha yang ketika itu sudah teramat malu dan saya memberikan isyarat “mabuk” padanya. Dr Anucha bangun dan dengan penuh diplomasi, dia menyelit di dalam acara tarian, dan sambil menari dia menghampiri budaknya yang mabuk menari itu lalu memarahinya. Kemudian Dr Anucha menghampiri saya dan memberitahu sebelum acara bermula dia telah memberi amaran kepada budak itu supaya jangan minum sampai mabuk. Saya ketawa saja.

 

Kemudian persembahan improvisasi dan surprise untuk Menteri pun bermula dan segalanya berjalan lancar, malah menjadi lebih meriah kerana banyak kesalahan dan kesilapan berlaku. Apa yang mengharukan, Menteri itu pergi kepada setiap kami dan mengucapkan syukur kerana kami mendoakan Kemboja dirahmati hujan. Malah katanya kedatangan para peserta ini membawa rahmat kepada Kemboja kerana pada hari keempat kami di sini, Kemboja dilanda hujan selepas lima bulan mengalami kemarau. Kami tahu, kami bukan dewa hujan, tapi kami seronok menerima penghargaan seperti itu.

 

Malam itu majlis menjadi sangat meriah. Semua peserta mula bertukar-tukar kad nama masing-masing dan tiba-tiba saya rasa sentimental sekali. Saya tidak sukakan perpisahan. Saya sekali-kali tidak sukakan perpisahan. Malam itu kami balik ke hotel dan meluangkan masa setengah jam di lobi untuk berbual lagi terutama dengan peserta Indonesia yang akan berangkat pulang paling awal esok pagi. Kami berjanji akan menghantar setiap mereka di pintu hotel. Jadi malam itu saya dan kak Matun naik ke bilik dan terus tidur kerana penat ketawa hari ini ….

 

 

26 MAC 2005 (SABTU)

 

Saya terjaga jam enam pagi lalu menggerakkan kak Matun. Kami ingat janji kami dengan delegasi Indonesia untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka. Kami mandi dan bersiap dengan pantas. Turun ke bawah dan berjalan cepat ke lobi. Aduhhh …. kami hanya sempat melihat belakang van saja. Kami tiba tidak sampai seminit lepas mereka berangkat. Hanya Pangeran dari Brunei yang sempat menghantar mereka. Saya betul-betul rasa terkilan. Tak apalah, kami terus bersarapan di kafe. Bermula itu delegasi Malaysia menjadi penghantar setia kepada setiap delegasi yang berangkat pulang, kerana Malaysia adalah delegasi terakhir pulang iaitu pada hari esok, Ahad – penerbangan Siem Reap ke Phnom Penh penuh semuanya hari ini.

 

Pukul 9 pagi delegasi Singapura pun berlepas, diikuti Filipina dan Brunei jam 11 pagi, Thailand dan Myanmar  jam 1 tengahari, akhir sekali Vietnam jam 3 petang.

 

Ketika menunggu delegasi Filipina bertolak, saya berbual dengan Amelia di lobi. Saya bertanya kepada beliau apakah kriteria seseorang yang dianugerahkan Profesor Emeritus? Dia bertanya kenapa? Adakah kamu bercita-cita mahu menjadi Profesor Emeritus? Saya katakan padanya, semua orang yang mencintai bidang akademik pasti bercita-cita ke arah itu. Katanya “I pray for you Lenny”. Oh ya, saya ingin ceritakan satu karakter menarik yang dimiliki oleh suaminya Prof Emmanuel. Oleh kerana delegasi Malaysia, Filipina dan Myanmar sering ditempatkan dalam van yang sama, Prof Emmanuel yang gemar duduk di tepi pintu, akan menjadi orang pertama yang turun sebaik pintu van dibuka. Kemudian dia akan menunggu semua orang di pintu dan akan memegang tangan kami semua (wanita) menyambut untuk dibawa turun. Kami menggelarnya Mr Romantic, kerana dia dan isterinya juga sangat romantik - sangat istimewa bagi pasangan di ambang 80-an. Bercerita tentang suaminya juga, Amelia memberitahu saya sejak 18 tahun lepas, walau di mana sahaja berada, Emmanuel akan berjalan kaki setiap jam 6 pagi dan 6 petang selama satu jam. Patutlah dalam usia 70-an, badan Emmanuel masih tegap dan sihat. Ini petua untuk anda semua yang membaca ya.

 

Jadi, apabila van delegasi Filipina untuk membawa mereka ke airport telah tiba, Prof Amelia yang bertongkat dan berusia 75 tahun memeluk saya sambil berkata “Awak mesti datang ke Filipina sebelum saya meninggal dunia”. Saya tidak dapat menahan diri daripada menangis apabila beliau berkata begitu. Saya tidak sangka pula perpisahan ini akan mengundang air mata. Aurora yang berhati besi juga menangis ketika memeluk kami.

 

Petang itu, kami berempat - saya, Matun, Jasmin dan Yatimah menghabiskan masa untuk shopping kali terakhir di New Market. Saya membeli beberapa helai t-shirt lagi serta kain tenunan tangan Kemboja, dan membeli replika gendang wayang kulit yang agak mahal di Kuala Lumpur tetapi saya memperolehnya dengan harga 2.50 USD (RM10) di sana. Saya juga mencari beberapa patung wayang kulit yang original tetapi yang murah, untuk dibawa pulang ke Malaysia. Saya memang gemar mengumpul alat-alat muzik dan patung wayang kulit sebagai koleksi. Petang itu kami balik ke hotel, turun makan malam tanpa delegasi lain. Semuanya sunyi dan suram. Yang ada hanya para pelancong yang baru sampai dan sedang meraikan percutian mereka dengan pancuran air dari botol …

 

Malam itu saya mengemas pakaian dan semua barang. Pening hendak menyusun kerana barang bertambah sedangkan beg hanya ada yang itu-itu juga. Akhirnya tersumbatlah semuanya di mana-mana yang boleh disumbat.

 

Buat pertama kalinya malam itu sepanjang berada di Kemboja, tiba-tiba saya merindukan tanah air saya!

 

 

 

27 MAC 2005 (AHAD)

 

Kami bangun pagi itu seawal burung … he he he ….. Pukul 5.45 sudah berkumpul di lobi dan jam 6 muncul van menghantar kami ke airport. Lucunya, airport pun belum dibuka!!! Lebih kurang 6.30, selepas berehat dalam van barulah kami masuk ke ruang check-in. Kecilnya airport Siem-Reap. Saya bergurau dengan kak Matun “macam stesen keretapi”. Kami check-in dan menunggu. Tidak ada apa-apa yang menarik. Kebanyakannya yang memenuhi balai berlepas adalah pelancong. Saya rasa mengantuk dan sempat bertiduran sebentar di bahu Jasmin. Jam 8.10 pagi, pesawat berlepas meninggalkan Siem Reap menuju ke Phnom Penh. Check-in pula di Phnom Penh. 

 

Dari Phnom Penh, pesawat MAS MH 755 berlepas jam 11.10 pagi dan mendarat di KLIA jam 2.00 petang. Kelmarin saya menelefon suami saya dari kedai Internet dan memberitahu kami berlepas jam 11 dan akan sampai jam 1. Saya lupa bahawa jam satu itu adalah masa Kemboja dan sebenarnya kami hanya akan tiba pada jam 2 petang waktu Malaysia. Kasihan suami saya, dia tiba jam 1 petang dan kerana prosedur bagasi dan itu ini, kami betul-betul dapat keluar hanya jam 3 petang. Dua jam dia menunggu dan terpaksa batalkan semua kerjanya petang itu.

 

Sepanjang perjalanan dari KLIA ke rumah saya di Taman Melawati Kuala Lumpur, saya tertidur - dan dalam mimpi saya masih terbayangkan wajah anak-anak Kemboja.

 

Ou Kun Cambodia!