Make your own free website on Tripod.com

 

Tarikh: 5 September 2002

Tempat: Dewan Besar DBP

             Cawangan Sabah,

             Kota Kinabalu.

 

Anjuran: Jabatan Kebudayan,

             Kesenian dan

             Pelancongan Malaysia   

             dan DBP Cawangan Sabah

 

Sesi Pertama:

Bicara Seni

Pengerusi: Haji Jadilar A Rahim

Sesi Kedua:

Pembentangn Wacana

Pengerusi: Sukor Hj Usin

Panel: Hj Ismaily Bongsu

          Pn Asmiaty Amat

Sesi Ketiga:

Forum

Pengerusi: Pn Hjh Sairah Hj Antin

Panel: Pn Asmiaty Amat

           Hj Ismaily Bongsu

           Hj Shuhaibun Yussuf


SEKITAR SEMINAR PEMIKIRAN SHUHAIBUN YUSSUF

oleh Hasyuda Abadi

(hasyuda@yahoo.com)

MENGHADIRI seminar Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf tokoh budayawan yang disegani di kalangan masyarakat Sabah merupakan peristiwa yang amat bermakna. Haji Shuhaibun Yussuf sebagai insan seni yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan itu sentiasa menebarkan kecemerlangan budaya bangsanya. Beliau tidak sahaja merupakan seorang budayawan yang kaya dengan khazanah koleksinya di Dangau Budaya yang sudah dikenali itu tetapi juga seorang sasterawan yang sentiasa siaga dengan idea-idea baru. Pak Shuhaibun tanpa henti menabur bakti dan jasa mengumpul, menjaga serta menyimpan, tiga aktiviti yang membuatkan beliau begitu dihargai. Maka amat wajarlah usaha yang dilakukan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia dan DBP Cawangan Sabah menganjurkan seminar untuk meneroka dan merakamkan segala pemikirannya terhadap budaya dan juga pemikirannya menerusi kilau permata karya-karya beliau sama ada dalam genre cerpen, puisi, drama dan lukisan.


Seminar sehari ini disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS). Turut hadir Encik Chua Tek Luwi,Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia dan Encik Zaini Ozea, Pengarah DBP Cawangan Sabah.


Seminar ini menyajikan tiga sesi yang menarik. Sesi sebelah pagi dimulai dengan bicara seni yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Jalidar Abdul Rahim. Bicara seni memperkenalkan Haji Shuhaibun yang turut membicarakan sejarah susur galur penglibatan beliau dalam perkembangan budaya dan sastera  awal negeri Sabah.

 

Pak Shuhaibun dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Kampung Pengalat Besar Papar. Ayahnya bernama Yussuf bin Hassan dan ibunya bernama Hajah Zaleha binti Bahayu. Pak Shuhaibun adalah anak sulung daripada seramai 14 orang adik beradik. Mengikut catatan K.Bali, Pak Shuhaibun memulakan pendidikan asasnya di Sekolah Jepun dan Sekolah Melayu Bongawan sebelum berpindah ke Sekolah Melayu Papar pada tahun 1943. Pada tahun 1947 beliau lulus darjah lima dan mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran dalam aliran Inggeris di Sekolah St. Joseph Papar.hingga tahun 1952.

 

Bermula pada 12 Mei 1952 hingga bulan Jun 1952 Pak Shuahibun meneruskan pendidikannya di Maktab Perguruan Menggatal kemudian dipindahkan ke Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1953. Maktab perguruan ini adalah maktab perguruan yang pertama di Sabah. Pak Shuhaibun menamatkan latihan perguruannya pada Mei 1954. Pada tahun 1962 hingga 1964 Pak Shuhaibun ke Australia untuk mendalami lagi pendidikan bahasa Inggerisnya.

 

Pak Shuhaibun menurut K.Bali juga seorang yang amat gigih dalam menaik tarafkan pendidikannya. Beliau belajar tanpa kenal letih dan lulus dalam peperiksaan-peperiksaan Government Junior Certificate pada tahun 1965, Sijil Rendah Pelajaran dengan kelulusan Pangkat A (1970), Sijil Pelajaran Malaysia (1981) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (1984).

 

Dalam perkhidmatan dengan kerajaan, Pak Shuhaibun memulakan khidmatnya sebagai seorang guru di Government Vernacular School Labuan pada 1 Jun 1954. Pada tahun 1956 beliau mengajar di Government Primary School (GPS) Weston sebagai Guru Besar. Selepas itu iaitu pada tahun 1958 mengajar di beberapa sekolah lain termasuklah GPS Sembulan dan menjadi Pengetua Government English School (sekarang sekolah ini dikenali Sekolah Menengah Ashad, Kota Belud). Selain daripada itu Pak Shuhaibun menjadi penyelia mata pelajaran GPS seluruh daerah Kota Belud. Pada Ogos 1958, Pak Shuhaibun menjadi guru pakar dalam Bahasa Inggeris di GPS Buit Hill Putatan. Kemudian pada November 1958 beliau mengajar mata pelajaran yang sama di GPS Tanjung Aru, Jesselton. Dan pada tahun 1961 Pak Shuhaibun menjawat jawatan Guru Besar di sekolah ini.

 

Selepas melanjutkan pelajarannya di Australia pada tahun 1964, Pak Shuhaibun dilantik sebagai pensyarah sains dan matematik di Pusat latihan Guru-guru Bumiputera Tanjung Aru. Kemudian beliau bertugas sebagai Guru Besar di GPS Sembulan sebelum ditukarkan ke GPS Pengalat Besar sebagai Penolong Kanan Guru Besar. Pada tahun 1967 Pak Shuhaibun menjadi guru besar di sekolah tempat kelahirannya ini.

 

Bermula pada tahun 1968 hingga 1972, Pak Shuhaibun menjadi Penyelia Sekolah-sekolah di seluruh daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu. Pada tahun 1973 beliau dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Pegawai Hisab dan Sains untuk sekolah-sekolah seluruh Negeri Sabah. Pada Januari 1974 hingga Mac 1974 Pak Shuhaibun bertugas pula sebagai Penolong Pegawai Latihan di Jabatan Pelajaran Negeri.

 

Dunia pendidikan Pak Shuhaibun berubah kepada dunia kebudayaan pada 8 Mei 1974. Pada waktu inilah beliau menerokai bidang yang baru. Pada mulanya Pak Shuhaibun amat keberatan meninggalkan dunia pendidikan tetapi atas desakan yang dilakukan oleh pihak atasan beliau akur dengan arahan yang dibuat. Pak Shuhaibun berkhidmat sebagai Pengelola Kebudayaan Negeri Sabah sehingga beliau bersara pada 30 Disember 1989.

 

Mengenal Pak Shuhaibun sebagai insan seni tentulah tidak sempurna sekiranya kita tidak menelusuri sejarah hidupnya terutama sekali hubung kait pengalamannya sebagai seorang pendidik dan juga seorang budayawan. Namun begitu dalam apa jua pertembungan yang bergelut di jiwanya, peranan Pak Shuhaibun tetap relevan dengan profesinya sebagai budayawan. Sebagai pendidik, tugasnya membudayakan anak bangsa mendalami ilmu memang amat wajar. Apatah lagi pada masa yang sama Pak Shuhaibun juga merupakan seorang sasterawan. Beliau menjadi perakam kehidupan dan menterjemahkan kehidupan itu dalam bentuk yang lain. Pak Shuhaibun amat berpengalaman dan diakui menguasai selok belok akar budaya bangsanya. Beliau peka terhadap situasi masyarakat tempatan yang mempunyai pelbagai rentak dan bentuk cara kehidupan, pemikiran dan kepercayaan.

 

Sesi kedua merupakan pembentangan wacana oleh Tuan Haji Ismaily Bongsu dan Puan Asmiaty Amat. Haji Ismaily merupakan seorang budayawan dan juga sasterawan  yang amat sinonim dengan perkembangan kesenian di Sabah. Manakala Asmiaty adalah seorang pemikir, pemakalah, pengkritik sastera dan juga pensyarah di Sekolah Kesenian dan Pembangunan Masyarakat di Universiti Malaysia Sabah.

 

Sesi ini amat menarik. Dalam pembentangan wacana pemikiran Pak Shuhaibun, Haji Ismaily telah menelusuri pengalamannya selama 13 tahun bertugas di bawah Pak Shuhaibun ketika menjadi Penolong Pengelola Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri. Banyak peristiwa dan pengalaman menarik dan tidak kurang juga yang meninggalkan pengajaran peribadinya hingga hari ini. Walaupun Pak Shuhaibun seorang yang kelakar namun kelakar beliau sentiasa sarat dengan makna yang tersendiri. Pemikiran Pak Shuhaibun, menurut Ismaily, amat peka terhadap budaya sentiasa berkembang terutama sekali dalam bidang drama dan juga tarian. Banyak sekali aktiviti kesenian ini berlangsung dan menjadi agenda semasa mereka bersama-sama mentransformasikan aktiviti-aktiviti kebudayaan di Sabah.


Asmiaty pula menyelongkar akar-akar pemikiran Pak Shuhaibun menerusi cerpen-cerpennya yang termuat dalam antologi cerpen 'Dugaan Terakhir' dan 'Haram'. Menurut Asmiaty, Pak Shuhaibun yang gemar merendahkan dirinya tetapi tetap tegas, berani dan sinis ketika menyampaikan pemikirannya terhadap sesuatu isu. Selain daripada itu beliau merupakan seorang yang peka terhadap alam sekeliling dan seorang pemikir yang sentiasa segar dalam pelbagai tema. Antaranya termasuklah tema-tema humor, politik, agama dan tidak ketinggalan budaya masyarakat tempatan yang sentiasa bergolak. Pak Shuhaibun diakui sebagai orang yang amat prolifik menulis cerpen di Radio Sabah sejak tahun 50-an lagi. Puncak penglibatannya ini meletakkan Pak Shuhaibun sebagai penulis yang 'berbisa' sewaktu diharamkan menulis di mana-mana media di Sabah ketika sebuah cerpennya bertajuk 'Jam 12 malam' disiarkan  menyebabkan beliau disoalsiat dan ditahan oleh pihak berkuasa ketika itu.

 

Pada sebelah petang forum yang bertajuk Pembentangan Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf dalam Pembangunan Kebudayaan di Sabah menampilkan tiga ahli panel iaitu Puan Asmiaty Amat, Haji Imaily Bongsu dan Pak Shubaibun sendiri sambil Hajah Sairah Haji Antin bertindak sebagai pengerusi forum. Forum ini dihidupkan dengan penampilan kali kedua tokoh-tokoh pembicaranya. Hajah Sairah sebagai seorang aktivitis teater yang tidak asing di Sabah memulakan sesi dengan paparan nostalgianya dengan Pak Shuhaibun semasa menuntut di Jakarta. Pak Shuhaibun dan Haji Ismaily menebarkan lagi pengalaman mereka mengenai seni dan budaya semasa bertugas di Kementerian Kebudayaan  Belia dan Sukan Negeri Sabah. Lebih menarik isu yang ditimbulkan Haji Ismaily terhadap tarian-tarian etnik Sabah yang sudah kehilangan aslinya. Ini turut diakui Pak Shuhaibun. Walaupun tidak ada salahnya tarian-tarian etnik itu dikreatifkan tetapi adalah lebih baik sekiranya keasliannya terus dipelihara tanpa mengubah sedikitpun rentak muziknya, unik kostumnya, lenggang liuk gerak tarinya. Inilah jawapan kepada tanggapan bahawa tarian-tarian etnik di Sabah sudah dirosakkan. (Ada istilah lain sebenarnya disebut tetapi biarlah istilah 'dirosakkan' digunakan dalam tulisan ini). Ismaily juga turut menarik perhatian para peserta mengenai dasar kebudayaan kebangsaan dengan mengaitkan ciri-ciri penting pembentukan dasar berkenaan dalam menyatukan budaya etnik yang sesuai di samping menjadikan Islam sebagai asas pentingnya.


Seminar ini sudah selesai dan tugas Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Persekutuan dan DBP Cawangan Sabah sudah dilaksanakan. Penglibatan serius tokoh-tokoh yang berwibawa juga sudah menjalankan tugas mereka masing-masing. Begitu juga para peserta yang tidak jemu menghayati mauduk seminar dari pagi hingga petang, sudah tentulah sekurang-kurangnya memberi pengalaman baru untuk mereka. Ketidak sesiaan kehadiran mereka itu sebenarnya telah dibayar dengan satu nilai yang sukar dibandingkan dengan pengalaman yang lain. Malah lebih wajar lagi kerana kebanyakan peserta adalah bakal pendidik dan siswa yang sedang mendalami ilmu di pusat pengajian masing-masing. Dan bagi para penulis, seminar yang dianjurkan ini akan mengajak mereka mencontohi kegigihan Pak Shuhaibun khususnya usahanya mengumpul, menjaga dan menyimpan khazanah pelbagai bidang untuk dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

 

Tanggungjawab dan peranan agensi-agensi yang berkaitan dengan budaya wajar meneruskan aktiviti seperti ini dengan menampilkan lebih ramai tokoh budayawan di Sabah. Di samping itu kita perlu  juga mengilhami wacana yang lain agar usaha dua agensi kerajaan ini tidak berakhir di Dewan Besar DBP Teluk Likas. Usaha yang saya maksudkan agar kita membina sebuah laman web untuk mendokumentasikan bahan-bahan berharga para tokoh budaya kita. Kita boleh menempatkan segala perihal mereka dalam laman web itu. Ini amat berguna dan memudahkan para pengkaji mendalami sama ada pemikiran tokoh-tokoh itu bahkan memudahkan mereka mendapatkan maklumat dengan cepat. Perkembangan teknologi semasa hendaklah kita sambut dengan suatu tanggungjawab. Pada saya tanggungjawab itu terletak di tangan kita. Sama ada kita mahu atau tidak jawapannya masih memerlukan kesediaan dan keseriusan yang berterusan.

 

 

Ikatan Penulis Sabah (IPS)

Kota Kinabalu.

6 September 2002

Laman Web IPS http://webips.tripod.com

 
   

 

TAHNIAH!  TAHNIAH!   TAHNIAH!