Make your own free website on Tripod.com

  PENGENALAN

IKATAN PENULIS SABAH atau lebih terkenal dengan ringkasnya IPS ditubuhkan pada 24 Mac 1990 oleh daya dan usaha 3 orang penulis muda di bandar Kota Kinabalu yang berjaya mengumpul hampir 30  orang penulis muda pada masa itu. Penulis muda yang dimaksudkan ialah Jasni Matlani, Aliuddin Mohd Salleh dan Abd Naddin Haji Shaiddin. Dasar idea penubuhan bermula di bawah pokok di pusat bandaraya Kota Kinabalu berakhir di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah.

 

Penulis-penulis yang dipertemukan pada 24 Mac 1990 ini sepakat dan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan para pejuang sastera dan bahasa dalam dekad-dekad yang lalu dengan merealisasikan penubuhan IPS sebagai salah satu usaha memartabatkan dunia sastera dan bahasa di Negeri Sabah dan yang paling penting mempertingkatkan kemampuan para penulis muda itu sendiri.

 

IPS telah didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Negeri Sabah pada 24 Mac 1992 (No. Pendaftaran: 21/92) dengan keahlian yang sudah bertambah. Sebelum itu, IPS memang telah melaksanakan banyak aktiviti antaranya Manifestasi Sastera, Pertemuan Penulis Muda, Acara Baca Puisi dan penerbitan stensilan majalah Komposisi. Selepas IPS didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan sastera yang sah, ia semakin menjadi buah mulut dan peluang ini dijadikan dasar mempelbagaikan kegiatan. Kegiatan diadakan di merata daerah di Sabah,antaranya Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Papar dan Beaufort.

 

Kegiatan-kegiatan penting yang harus dibanggakan sebagai khazanah sastera tanah air dilaksanakan oleh IPS ialah Minggu Sastera Sabah( Muzium Negeri), Khemah Sastera (Binsuluk), Diskusi Sastera (Pulau Memutik), Malam Nostalgia Sasterawan Sabah 1 dan 2 dan Deklamasi Puisi Kemerdekaan di UiTM. Selain itu, bengkel-bengkel penulisan seperti Bengkel Penulisan Kreatif Puisi dan Cerpen, Bengkel Penulisan Esei, Bengkel Penulisan Skrip Drama TV dan Bengkel Lirik Lagu diadakan sebagai pemangkin melahirkan penulis muda yang berkaliber. 

 

IPS juga menerbitkan majalah rasminya 'KOMPOSISI' dan beberapa buah buku seperti Antologi Cerpen 'Titian Pertama', Antologi Puisi 'Kabus', Antologi Puisi 'Akar Cahaya', Antologi 'Datang Kembali' dan Jurnal Puisi Jilid.1/97.

 

IPS telah dianugerahi Hadiah Tinta Sastera dua kali berturut-turut iaitu pada tahun 1999 dan 2002 kerana penglibatan yang aktif dalam kegiatan berpersatuan di negeri Sabah. Hadiah ini disediakan oleh Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) dan DBP Cawangan Sabah.

 

IPS juga merupakan ahli majlis MBSS yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Sapawi Haji Ahmad, Pembantu  Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.