Make your own free website on Tripod.com

 

 

  MEMASYARAKATKAN SASTERA MELALUI AKTIVITI MBSS

 

 

Kemsas mengucapkan tahniah kepada Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) kerana menjayakan sebuah aktiviti sastera yang ulung di Malaysia. Ratusan puisi ditulis pada kain sepanjang lebih kurang 300 meter (mungkin lebih panjang lagi). Ratusan pelajar dan individu yang terdiri daripada para penyair dan peminat sastera sekitar bandar raya Kota Kinabalu mengambil bahagian. Sekiranya aktiviti ini melibatkan seluruh penyair dan pelajar di negeri ini kita percaya rekod yang dilakukan pada hari ini akan berubah. 

Tentu saja kita boleh memikirkan program apa lagi yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam Buku Rekod Malaysia sama ada secara berkumpulan mahupun secara individu. Walau apapun saya fikir bukan angka ataupun besar kecil program ini tetapi matlamatnya harus jelas di dalam kepercayaan kita. Dalam aktiviti pagi tadi, saya memang melihat bahawa ada kesinambungannya apabila menyentuh tentang usaha memartabatkan sastera sekaligus memasyarakatkan sastera. 

Lazimnya apabila menyentuh tentang usaha menggahkan sesuatu yang menyiratkan makna yang tersembunyi mengakibatkan fikiran-fikiran yang tidak enak didengar. Pada masa yang sama mempersoalkan aktiviti ini, apakah kesudahannya. Selepas ini apa? Apakah hanya dipertontonkan begitu saja? Atau dilihat-lihat demikian sebagai suatu bentuk suka-suka? Ini biasa dan saya tidak fikir matlamatnya lari daripada usaha mendekatkan sastera khususnya puisi di sanubari masyarakat. Masyarakat yang paling hampir itu sebenarnya pada pelajar sekolah. Mereka inilah yang akan mengembangkan budaya ini dalam pendekatan yang barangkali berbeza. Sebab itu penglibatan mereka dalam program seperti ini wajar diteruskan.

Puisi boleh diperkatakankan dalam bentuk apa saja. Puisi boleh dibaca. Puisi juga boleh dilakonkan. Puisi juga boleh dinyanyikan. Puisi boleh dipertandingkan. Puisi boleh didalami isi maknaya. Puisi itu kehidupan yang wajar ditelaah. Dan, dalam kecenderungan masyarakat kita pada hari ini, puisi sudah menjadi suatu resepi yang terbaik untuk menyampaikan sesuatu amanat atau maklumat. Bertuahlah bagi para penulis yang mampu melahirkan puisi sebagai juadah minda masyarakat yang mengimpikan sunyi dalam kesibukan harian mereka. Mudah-mudahan saja masyarakat juga dapat meningkatkan minat mereka membaca buku-buku puisi. Siapa tahu buku-buku puisi juga menjadi pegangan atau tersimpan dalam beg sepajang perjalanan balik ke kampung atau bekal bagi perjalanan yang jauh. Yang paling diimpikan agar menjadikan puisi sebagai teman sepanjang perjalanan kehidupan ini.

Tahniah sekali lagi kepada MBSS.

[Kembali ke Muka Depan]