oleh Hasyuda Abadi, IPS
(hasyuda@yahoo.com)
KALAU dulu barangkali saya boleh
mempercayainya seorang seniman. Seniman yang halus hati budinya. Seniman yang
halus bicaranya. Seniman yang halus buah fikirannya. Seniman yang halus tindak
lakunya. Seniman yang memang wajahnya wajar begitu memiliki kehalusan keindahan
sebagai percikan dari sebuah hadis yang
menjelaskan bahawa sesungguhanya Allah itu maha indah dan Dia sukakan keindahan.
Hanya sayang sekali ini dulu tapi
tidak sekarang.
Maafkan saya, katakanlah
idea pada kali ini akan menjatuhkan air muka seseorang. Walaupun di akhir
tulisan ini nanti saya akan tegaskan segalanya hanya rekaan tak ada bersentuhan
kepada sesiapapun baik yang hidup mahu pun yang telah mati, namun manalah tahu
ada ungkapan-ungkapan yang menyentuh jiwa secara kebetulan. Tapi tolong jangan
salahkan saya. Tugas saya amat jelas sebagai pencerita yang nanti jika mahu
dijadikan ikhtibar, silakan. Atau ambil kedua-dua sekali, sama ada yang jernih
mahupun yang keruh. Hikmahnya masih relevan, saya fikir begitu.
Ikutilah cerita saya yang
terbaru ini.
Pada satu malam yang hanya
kedengaran dengkuran sahabat fikiran saya melayang ke saujana masa silam.
Berbaur ke zaman kenyataan yang menamatkan pelayaran fikiran itu di sini di
mana seorang yang telah tua renta duduk di anjung sebuah rumah sambil membaca
sejumlah kertas usang. Tidak betah duduk dia berdiri dan mula melangkah
perlahan-lahan dan dia memulakan satu adegan yang pernah anda lihat dalam
tamadun yang lalu. Mungkin anda meluat tetapi munasabahnya ada kerana dia harus
melayan sesuatu yang menyegarkan ingatannya tentang satu zaman yang dia merasa
digemilangkan. Jika tidak, dia akan menidakkan keadaan yang harus dilaluinya.
Hampa, merana, papa, derita – tidak ada yang lain selain daripada itu. Anda
faham bukan?
Dia separuh gila
mengingatkan satu zaman yang tamadunnya hebat bagaimana seseorang itu akhirnya
memilih menjadi seniman. Pada awalnya apalah yang dia tahu. Pengertian seniman
itu sendiri baru saja diketahuinya apabila entah insan dari mana tiba-tiba
menyenaraikan namanya sebaris dengan para seniman yang peranan mereka tidak
perlu dipertikaikan lagi. Saat itu pun dia tidak mengetahuinya kecuali selepas
salah seorang bekas isterinya memberitahu dia dinobatkan sebagai seorang
seniman oleh seorang yang berkuasa. Saat itu juga dia tidak betah. Tidur,
lenanya tidak seberapa. Minum dan makan seadanya. Jalan mundar-mandir ke hulu
ke hilir. Dia sebenarnya menggambarkan betapa bangganya dipilih begitu. Seorang
seniman, oh Tuhan, hebat juga aku ini. Aku seorang seniman dipilih oleh yang
berkuasa. Saat itu walaupun kegembiraan paling nyata, dia sering diganggu
panggilan atau email yang kebanyakannya mengutuknya berbanding mengucapkan
tahniah. Termasuklah saya. Saya bersalam mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.
Malangnya, saya hanya merasa genggaman biasa jemarinya tanpa pandangan mata
yang ikhlas, senyum yang manis dan juga ucapan balas yang jelas.
Sebenarnya seniman ini biasa
mendapat kutukan. Walaupun otak saya selalu dijanakan untuk melayan rasa hati
betapa simpatinya saya terhadap seniman ini, saya masih tidak tahu mengapa
nasibnya begitu. Dia kelihatan biasa dan buat tak tahu. Kutuklah. Mereka dapat
apa. Aku dapat sanjungan. Aku dapat ganjaran. Aku dapat kepercayaan. Aku dapat
kutukan tapi wajarakah aku bersusah hati barang sedikitpun! Katanya di hadapan
para sahabat termasuklah saya waktu itu . Secara kebetulan bersalam dengan
salah seorang sahabatnya yang juga ayah saudara saya. Saya mungkin kagum tapi
kerana memang benar dia harus menerima kutukan, saya hanya menyatakan begini:
anda memang kuat dan tabah. Mungkin kata-kata saya itu masuk ke dalam
kepalanya. Dia terdiam mematikan gerakan mulutnya yang tidak henti bercakap
menyatakan bahawa dia memang hebat.
Seorang seniman yang
mencarut. Tiba-tiba saya membaca sebuah email seorang pengamal perubatan
tradisional. Seorang seniman yang mencarut harus dikutuk para seniman sendiri,
sambungnya. Seorang seniman yang mengada-ngadakan sesuatu secara
berlebih-lebihan. Seorang seniman yang lupa daratan selepas dilambung gelombang
pujian. Seorang seniman yang dangkal terhadap kemampuannya. Seorang seniman
yang tidak memahami siratan kehidupan. Seorang seniman… bacaan saya terhenti di
situ. Seharusnya yang ini disensor saja. Sungguh mengaibkanya jika tersebar.
Sudah tentulah si pengamal perubatan tradisioanal ini akan menghadapi tindakan
undang-undang. Seperti yang selalu dialami oleh para pengkritik karya sastera
yang kesasar kerana menilai penulis bukan karya akhirnya membawa padah apabila
harus membawa sejumlah wang untuk menutup malu.
Dunia sekarang semakin
sempit. Pemikiran menjadi rakus terhadap hal-hal yang remeh-temeh sambil
populariti selalu menjadi penyebab untuk melakukan apa saja termasuklah membuat
tindakan dalam bentuk yang berbeza. Seorang pengarang juga tidak lama kemudian
menghadapi tindakan yang sama kerana dikatakan salah tafsir terhadap spekulasi
seorang pengamal politik tempatan. Barangkali tidak ada jalan keluar untuk
menutup aibnya kerana dengan tersebarnya laporan di media telah menjejaskan
kredibilitinya sebagai seorang yang akan memimpin sebilangan kecil pengikut.
Padahal memanglah dia tidak
mampu memimpin. Hanya disebabkan kedudukannya sebagai seorang ahli korporat dan
mempunyai sejumlah wang dan kemewahan, dia berhak melakukan apa saja. Para
artis apa lagi tetapi yang ini tidaklah penting kerana kelangsungan kehidupan
mereka penuh dengan andaian-andaian, gosip, populariti, seliberiti dan
sebagainya. Maafkan saya terkeluar sedikit daripada landasan cerita sebenar.
Jangan tanya apa yang saya maksudkan tentang si seniman buat terhadap sesuatu
yang harus menjadi rahsia.. Hanya Tuhan saja yang menceritakan kepada dirinya
suatu waktu nanti. Atau seluruh anggota badannya melaporkan peranan
masing-masing bagaiman seniman itu melakukan perbuatan yang memalukan.
Memang
benar seniman ini selalu mencarut. Mengada-adakan bahannya untuk kelihatan
menarik dan dipercayai. Kebenaran hanya kelihatan apabila bahannya itu ditelaah,
dihayati, diteliti dan diberikan bintang. Namun dia tidak mengerti ketika
dikatakan mencarut. Saya ingin menyibuk sedikit tanpa niat membuka aib di
ruangan mata anda semua. Saya memanglah serba tahu tentang seorang seniman yang
akhirnya menjadi tua renta, tua bangka yang kurang sedar tentang dirinya yang
sudah tidak betah melawan penyakit. Seorang seniman yang bodoh sombong
melakukan pencarutan bahasa yang memualkan. Seorang seniman yang pidatonya
kucar kacir akibat memusatkan minda ke arah satu perkara lumrah dan tidak
berjejak di bumi malah sesuai ketika dirumuskan oleh seorang seniman yang lebih
muda bahawa seniman yang seorang ini sudah separuh tidak sedarkan dirinya.
Hanya SigmundFreud saya yang boleh membuat keputusan muktamad. Dia mungkin juga
miring sebagai individu yang neurotik, yang mempunyai perasaan yang tidak
stabil dan bersikap kurang matang. Sebagai orang dewasa yang kurang matang
tentulah ironis begitu tetapi tidak hairan kerana memang wajarlah dia dikatakan
demikian. Semakin banyak berkata-kata semakin jelas ketidakmatangannya. Semakin
jauh pergi akalnya semakin hidup ketidakmatangannya. Terutama terhadap
perkara-pekara yang terlalu peribadi.
Dia sering melakukan
spekulasi yang bukan-bukan. Tetapi tentulah tidak sehebat George Soros,
spekulator mata wang itu. Kalau dalam bahasa mudah, dia seperti seorang
pengarang yang mereka cerita hingga sampai ke paras fitnah. Dia mereka kisah
berasaskan bayangan separuh gilanya dan tidak matang akalnya. Demi mencapai
rasa puas, dendam kesumat dan serba dengkinya yang menjadikan hari ke hari dia
mendarat di lapangan kegilaan yang tersendiri. Katakanlah ketika dia memasuki
tandas, dia sudah tidak dapat membezakan mana satu tandas yang sesuai untuknya
hingga pada satu ketika dia mendengar beberapa orang berteriak. Dia juga gagal
membezakan bahawa di hadapan itu seorang wanita yang dia percaya isterinya
tetapi tidak merasakan isterinya itu seorang bernaluri perempuan. Dan pada satu
keadaan yang lebih menyeronokkannya dia menggambarkan keindahan melayari
kehidupan neurotiknya terhadap seseorang yang baginya mengabaikannya. Mengabai
perasaannya, mengabai nalurinya, mengabai sindrom gatalnya, mengabai segala
isyarat yang disampaikannya menerusi pelbagai cara.
Apakah yang anda fikirkan
tentang seniman seperti ini masih berada di tengah padang terbuka melakukan
aksi yang lumrah untuk akalnya tetapi meninggalkan impak yang janggal kepada
orang lain? Atau biarkan saja kerana penilaiannya akan bermula hanya setelah
sebuah perjalanan berlaku. Selepas itu barulah menoleh ke belakang. Apakah yang
anda pandang selain penyesalan dan untuk melihatnya biasa anda pun merumuskan
semua itu terjadi secara kebetulan.
Berlakulah perdebatan
terbuka menandaskan persoalan kemampuan-nya yang bergelar seniman itu. Jika
dulu sebutan namanya manis di bibir orang lain sedangkan sekarang dia hanya
digambarkan sebagai seniman nyanyuk.
Hingar bingar persoalan ditumbuk ke arah akal fikirnya yang kucar-kacir
itu hingga dia separuh gila. Dan seperti apa yang saya fikirkan pada satu malam
selepas melawat rumah warga tua di Lembah Kinarut. Saya masih mengecamya
melalui pakaian yang dipakai: warnanya, jenisnya, bentuk baju dan seluarnya
yang biasa anda lihat juga sebenarnya.
Rambutnya tidak lagi
gondrong hanya sedikit menghias kepalanya yang sepatutnya sudah berwarna.
Wajahnya murung kecuali ketika beberapa wanita menemuinya: agak saya itulah
anak-anaknya dari beberapa orang isteri yang menurut mereka terpaksa
menempatkan ayah mereka di lembah itu. Saya baru teringat bahawa sekarang ini
telah melewati zaman untuk bersama ayah atau ibu. Meski kasih sayang tidak
pernah pupus tetapi contoh yang saya pernah lihat sekarang jauh membenarkannya.
Tapi wajarkah seorang seniman berada di
situ dijaga oleh orang lain dan bukan anak-anak sendiri sambil sejarah
merakamkan penghujung usianya sebagai seniman nyanyuk?
TAMAN
PUTERJAYA, TELIPOK,
KOTA
KINABALU.
24 MAC
2002
Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2002