Mohd Ariffin Mohd Arif

 

HAJI MOHD ARIFFIN MOHD ARIF

Haji Mohd.Ariffin Mohd. Arif dilahirkan di Kampung Pimping Membakut pada 14 Zulhijjah 1383H bersamaan   8 Mei 1963M.  Pendidikan asas beliau  bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Pimping (S.K. Pengiran Jaya). Ariffin mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Patrick Membakut, SMU (Sekolah Menengah Agama) Toh Puan Hajah Rahmah, Sembulan dan Ma’ahad Bu’uth al-Azhar, Kaherah. Setelah itu Ariffin melanjutkan pengajiannya di peringkat universiti di Universiti al-Azhar di Kuliah Diraasat al-lamiah Wal Arabiah sehingga mendapat Sarjana Muda (Kepujian).

Pernah bekerja sebagai kerani di Pejabat Kebajikan Kuala Penyu dan di Bendahari Negeri Kota Kinabalu. Menjadi guru di Sekolah Menengah Stella Maris, Tanjung Aru sebelum bertugas sebagai pengarang di MUIS (Majlis Agama Islam Sabah) kini dikenali sebagai JHEAINS (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah) di Bahagian Penerbitan dan Sebaran Am hingga menjawat jawatan Ketua Penolong  Pengarahnya. Ariffin masih bertugas di JHEAINS dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah.

Ariffin meminati bidang penulisan khususnya genre puisi dan kritikan sejak di bangku sekolah lagi. Beliau  mula menulis pada tahun 1976. Karya pertama beliau iaitu puisi ‘Cerita’ tersiar dalam akjhbar Borneo Buletin. Ketika menuntut di SMU Toh Puan Hajah Rahmah beliau aktif dalam persatuan TIKAR (Teater Kembara) dan menjadi pemimpin persatuan Genta Insan Menulis (GERIMIS) di tempat kelahirannya. Sementara semasa menuntut di Mesir, beliau bersama-sama rakan mahasiswa menubuhkan Grup Pemuisi Karakun yang menjadi wadah kegiatan sastera penuntut Malaysia dan Asean yang lain. Bersama Grup Pemuisi Karakun Ariffin mengusahakan antologi puisi berjudul Dari Sebuah Menara yang memuatkan puisi-puisi beliau dan rakan-rakan lain.

Ariffin terpilih sebagai salah seoran gpenulis bagi projek Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (1990). Kumpulan Puisi beliau Api Laut Merah (DBP,1999) menghimpunkan karya-karya Ariffin di bawah bimbingan Dr. Shafie Abu Bakar.

Karya-karya Ariffin sering tersia di akhbar dan majalah seperti akhbar Sabah Times, Daily Express, Borneo Buletin dan Warta Teberau; dan majalah Hikmah, Dewan Sastera dan Wadah. Antara nama pena beliau ialah Effin, Mira Kartini dan Tongkat Nabi Musa.

Ariffin memenangi Hadiah Sastera Sabah 1990/1991 (Esei/Kritikan), 1992/1993 (Puisi), 1994/1995 bagi genre puisi dan esei/kritikan, 1996/1997 (Esei/Kritikan). Sementara pada tahun 1999 beliau adalah salah seorang penerima Hadiah Tinta Sastera (DBP Cawangan Sabah-MBSS). Kumpulan puisi berjudul Kafilah Kasih mendapat tempat kedua Sayembara Menulis Puisi DBP Cawangan Sabah 1995. Kumpulan puisi tersebut bersama-sama kumpulan puisi Rahim Rapa dan Jasni Matlani, telah diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah melalui antologi Tergantung Pada Kata (1996,DBP).

Puisi-puisi beliau termuat dalam antologi bersama yang diterbitkan sempena Mahrajan Sastera Islam Sabah terbitan MUIS/JHEAINS-DBP Cawangan Sabah: Jalan ke Hujung Taman (1991), Al-Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Rindu Ilahi (1994), Qiam (1995), Mujadid (1997), Tasbih Rindu (1998) dan Cahaya (2000).Antologi lain: Nyanyi Dari Dewa (1990, Anak seni/BAHASA), Kun 91991, DBP Cawangan Sabah), Perkasihan Musim (1992, DBP Cawangan Sarawak), Nafas Utara Borneo (1994, DBP Brunei), Angin di Bawah Gunung (1996, DBP), Kuntum Berputuk (1996, DBP), Salam Dari Teluk (1997, BAHASA), Peta Seniman (1998, DBP Cawangan Sabah), Nyanyian Kembara (1998, GEMA), Jauh Yang Erat (2000, MBSS) dan laut Asyik (2000, BAHASA).

Selain aktif dalam bidang penulisan puisi, Ariffin juga sering diundang untuk membentangkan kertas keraja dalam beberapa seminar sastera Islam, antaranya Seminar Sehari Pengucapan Puisi Islam (1990), Nadwah Sastera Islam Sabah (1991,1993,1998), Nadwah Kesusasteraan Islam Peringkat Kebangsaan (1–3 Disember 1993) dan Seminar Antarabangsa Teori Islam (2000) di Putrajaya Wilayah PersekutuanPutrajaya.

Sementara fikrah beliau dalam bidang keagamaan dimanifestasikan melalui sebelas buah buku agama berjudul Hijrah Ke Arah Keagungan (1991), Serambi Fikrah 1 (1995), Serambi Fikrah 2 (1996), Di Bawah Rimbunan Sunnah (1998), Semerbak Ramadhan (1998), Di Bawah Rimbunan Sunnah 2 (1999), Semerbak Ramadhan 2 (1999), Puncak Cordova (1999), Hikmah Keimanan (2000), Ke Puncak Takwa (2000) dan Kota Madani (2001), kesemuanya diterbitkan oleh JHEAINS. Beliau ialah penerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah 1422/2001).