BULAHSANU

Oleh GHAZALI LATEH

BAHASA Melayulah yang menyebabkan pelajar Melayu lemah dalam pelajaran Matematik!!" Lantang sekali kenyataan yang disuarakan itu. Tanpa berselindung.

Mahu sahaja aku bangun dan berteriak "Bohongggggg...!!" Tetapi aku masih terikat dengan adab dan sopan, serta tidak mahu merosakkan majlis. Aku hanya mendiamkan diri, sambil melihat orang lain menganggukkan kepala, tanda setuju. Nyata sekali mereka begitu mudah terpengaruh. Mereka tidak seperti bangsa Jepun, mahu pun bangsa Perancis yang begitu memandang tinggi bahasa sendiri.

"Sebab itulah saya cipta kaedah yang memudahkan pelajar kita menguasai Matematik. Kaedah inilah yang akan saya perkenalkan kepada anak-anak tuan-tuan pada hari ini," tambahnya dengan penuh yakin.

Malangnya bahasa ibundaku. Orang Melayu sendiri yang telah menjatuhkan maruah bahasa ibunda ini. Kononnya bahasalah yang menjadi batu penghalang kepada kejayaan pelajar dalam Matematik. Betulkah?

Sedangkan aku bersekolah dahulu pun sama sahaja bahasa pengantarnya, Bahasa Melayu. Dan sekarang aku harus berbangga dengan pencapaianku dalam segala bidang dan pelajaran. Termasuk Matematik. Langsung tidak timbul masalah ketidaksesuaian bahasa.

"Tuan-tuan tentu tidak terfikir akan kaedah yang saya ciptakan ini. Kaedah ini sangat berkesan. Saya telah membuat kajian terhadap anak saya. Hasilnya sungguh menakjubkan. Jadi tuan-tuan tidak kerugian mengeluarkan belanja untuk menghantar anak-anak dalam kursus pagi ini," katanya lagi. Bangga barangkali.

Aku bukan berhasrat sangat untuk menghantar anakku menyertai kursus ini. Tetapi sekadar ingin tahu dengan lebih mendalam. Sebelum ini berita tentang kecanggihan kaedah ini sering terpampang di dada media. Padaku ini asti sesuatu yang luar biasa.

"Kenapa saya katakan bahasa Melayu menjadi penghalang kemajuan Matematik? Sebab pertama ialah istilah dalam bahasa Melayu mempunyai banyak suku kata. Contohnya untuk menyebut sesuatu angka bilangan suku kata yang digunakan lebih berbanding bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Cuba tuan-tuan sebutkan sembilan..." dia berhenti sejenak untuk melihat respons hadirin. 

Hadirin pun mencuba sendiri-sendiri. Kulihat mulut hadirin kumat-kamit menyebut berulang kali apa yang disuruh oleh penceramah jemputan itu. Tidak ubah seperti bomoh membaca jampi serapah. 


“Sekarang tuan-tuan sebutkan pula angka yang setara dalam bahasa Inggeris!” katanya sambil tersenyum. Kulihat hadirin menganggukkan kepala seperti sumpah-sumpah di atas tunggul.

“Cuba sebutkan...!!” dirangsangnya hadirin yang rata-rata begitu taksub dengan sesuatu penemuan tanpa berfikir panjang.

“Nine...!!!!" serentak pula respons hadirin seperti budak kelas tadika yang baru belajar bahasa Inggeris. 


“Dalam bahasa Mandarin, sembilan disebut sebagai `ciu'. Hanya satu suku kata saja. Jadi di sinilah letaknya kelebihan bahasa-bahasa berkenaan. Tepat dan cepat! Di sinilah juga kekurangan bahasa Melayu. Tidak hairanlah mengapa pelajar mereka lebih cemerlang dalam Matematik berbanding pelajar Melayu," dia nampak begitu bangga dengan kenyataan itu.

Sekali lagi hatiku terguris. Sampai hati anak bangsaku sendiri menghina bahasanya. Mahu saja aku bangun mencabar agar dia membuktikan hasil kajian yang konkrit untuk menyokong kenyataannya itu. Sudah adakah kajian yang saintifik dilakukan untuk membuktikan bahasa Melayu penghalang pencapaian dalam mata pelajaran Matematik.

Tetapi aku masih bersabar. Aku ingin melihat sejauh mana kebenarannya terhadap dakwaan celupar itu. Dia sering merendahkan bahasa Melayu, bahasa ibundaku dan bahasa ibundanya juga. Lebih daripada itu dia merendahkan pelajar Melayu yang kononnya rendah pencapaian Matematik.

Aku amat tidak bersetuju dengan kedua-dua dakwaan itu. Padaku bahasa Melayu bukanlah faktor yang menghalang kemajuan. Bahasa Melayu juga setanding dengan bahasa besar dunia. Bahasa Melayu antara bahasa yang mempunyai ramai penutur. Sedangkan orang asing banyak mengkaji bahasa Melayu, orang Melayu sendiri yang tidak begitu yakin kemampuan bahasa ini. Inilah yang sangat menyedihkan.

"Logiknya ialah perkataan yang lebih banyak suku katanya lebih sukar untuk diingati. Selain itu untuk menyebut kata-kata ini juga memakan masa. Jadi akibatnya telah wujud aspek kelambatan untuk menyampaikan sesuatu mesej dalam bahasa Melayu," dia membuat kesimpulan yang direkanya sendiri, tanpa bukti.


Padaku bahasa Melayu bukanlah bahasa yang baru lahir sekurun dua. Semenjak dahulu lagi bahasa Melayu berfungsi dengan jayanya sebagai wahana komunikasi. Bahasa Melayu menjadi lingua-franca yang berkesan. Orang Barat yang meneroka Alam Melayu mempelajari bahasa ini dengan mendalam. Mereka membuat daftar kata bagi memudahkan masyarakat meneroka Alam Melayu. Mereka menterjemahkan karya mereka ke bahasa Melayu. 

Nama-nama seperti Antonio Pegafetta, R.O. Winstedt, Wilkinson, William Marsden, St.Francis Xavier, Francois Valentyn, Werndly, Sir Stamford Raffles dan ramai lagi peneroka Barat yang begitu giat mengkaji bahasa Melayu.

Walaupun mereka dianggap penjajah, namun usaha mereka memperkenalkan bahasa Melayu ke dunia Barat tidak boleh dipandang remeh. Antonio Pegafetta, salah seorang anak kapal yang belayar bersama-sama Ferdinand Magellan telah menterjemah bahasa Melayu ke bahasa Itali. Beliaulah antara orang pertama yang mengusahakan kamus bahasa Melayu secara serius.

RO Wistedt juga tidak kurang sumbangannya. Walaupun beliau seorang yang asing dengan bahasa Melayu, beliau telah menulis The Malay Grammar iaitu buku tatabahasa bahasa Melayu. Kemuncak usaha beliau mendaulatkan bahasa Melayu ialah penganugerahan gelaran Pendeta Bahasa Melayu. Beliaulah satu-satunya orang bukan Melayu yang dianugerahkan gelaran tertinggi bahasa Melayu itu. 

Apa kurangnya pula peranan cendekiawan Melayu masa lampau. Pendeta Za'ba, Raja Ali Haji, Muhammad Ibrahim Munshi, Mejar Mohamad Said Sulaiman dan ramai lagi tokoh berbangsa Melayu yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sehingga menjadi begitu kuat pengaruhnya.

Sesekali aku amat bersetuju dengan pandangan Abdullah Munsyi seperti yang ditulisnya dalam Hikayat Pelayaran Abdullah. Kritikannya bahawa orang Melayu tidak menghargai bahasa Melayu itu memang benar. Mereka tidak mahu belajar tatabahasa. Tetapi apabila bahasa ibunda dicemuh, merekalah yang akan mengangguk tanda setuju.

Kini setelah semuanya sempurna dan mantap, ada lagi pihak yang mendakwa bahawa bahasa Melayu itu tidak lengkap. Kononnya bahasa Melayu tidak menggambarkan jati diri Melayu. Ini sesuatu yang sangat melampau. Perkara begini, walaupun suatu pembaharuan tetapi tidak boleh diterima. Tindakan ini mencabar kewibawaan bahasa dan bangsa Melayu.

"Atas alasan itulah saya mencipta perkataan baru bagi menggantikan angka bahasa Melayu yang banyak suku kata itu," dia meneruskan agendanya. Kulihat di atas meja itu telah tersedia jadual, buku dan seumpamanya tersusun rapi. Aku tahu bahan itu akan dipromosikan dengan hebat sebentar lagi. Aku tidak akan terkejut sekiranya bahan itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Betapa belotnya anak bangsaku ini, fikirku. Pejuang bahasa terdahulu meletakkan bahasa kita pada taraf yang amat tinggi. Kajian terus dijalankan untuk memantapkan taraf bahasa Melayu. Tiba-tiba muncul seorang anak bangsaku sendiri yang mendakwa bahasa ibunda tidak sempurna. Betapa menderhakanya dia. Aku rasa banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mendapat pulangan. Bukan dengan memijak bahasa sendiri.

"Saya mencipta bahasa baru sebagai alternatif kepada bahasa Melayu. Saya pendekkan istilah angka dalam bahasa ini. Saya namakan kaedah ini Kaedah Sera, iaitu kependekan kepada `Senang Kira'. Kalau perkara ini tidak dilakukan sampai bila pun pelajar Melayu tidak akan maju, terutamanya dalam pelajaran Metamatik," dia menampalkan jadual pada papan putih di depan hadirin. Minat hadirin pula begitu terangsang. Mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada penemuan baru itu.

Jiwaku semakin memberontak. Aku teringat nama-nama besar pejuang bahasa Melayu yang pernah kupelajari dulu. Nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Shamsudin Al-Sumaterani, Abdul Raof Singkel, Raja Ali Haji adalah penyumbang besar tamadun bahasa Melayu. Mereka meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mengungkapkan pelbagai bidang ilmu.

Syeikh Nuruddin Ar-Raniri, Syeikh Abdul Samad Palembang, Muhammad Arsyad Al-Banjari adalah tokoh awal yang turut berjasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu menyampaikan ilmu yang tinggi. Penat lelah merekalah membolehkan bahasa Melayu begitu tinggi tarafnya.

Syeikh Nuruddin memberi sumbangan dengan mentafsir Al-Quran ke dalam bahasa Melayu. Beliau dikatakan orang pertama yang berbuat sedemikian. Jika bahasa Melayu itu mampu mengungkapkan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran, wajarkah bahasa ini masih dikatakan tidak lengkap? Aku terlalu emosi pada tahap ini.

"Saya telah meringkaskan seluruh sistem angka yang terdapat dalam bahasa Melayu. Perkataan satu akan menjadi `tu'. Dua akan menjadi `wa'. Tiga akan menjadi `ga'. Empat pula akan menjadi `pat', lima menjadi `ma'. Begitulah seterusnya..." Dia memperkenalkan kaedah yang didakwa sebagai alternatif kepada bahasa Melayu yang tidak lengkap itu.

Ini bukan kaedah alternatif, fikirku. Ini satu pencemaran bahasa. Adakah dia yakin kaedah ini akan berkesan sepenuhnya? Aku perlu menanti dalam tempoh yang lama. Jika kaedah ini diiktiraf pihak berwajib, barulah aku akan percaya. Dalam jiwaku tetap dengan pendirian bahawa kaedahnya hanyalah sesuatu yang memudaratkan, terutamanya dalam bidang psikolinguistik.

Aku cuba membayangkan jika kaedah ini diterima, anak-anak akan disogokkan dengan suatu kelainan pada peringkat awal pemerolehan bahasa mereka. Mungkin pada peringkat tadika lagi mereka akan diperkenalkan dengan kaedah ini. Apakah akan terjadi suatu hari nanti jika generasi ini dewasa. Jadilah mereka satu generasi yang mengenal angka satu sebagi `tu', angka dua sebagai `wa' dan entah apa-apa lagi. Di manakah letaknya jati diri bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri? 

Aku kembali dalam diriku. Aku sedar bahawa bahasa adalah satu unsur yang dinamik. Bahasa perlu berubah namun biarlah perubahan itu berlaku secara evolusi, bukannya secara revolusi. Bahasa memerlukan inovasi yang sederhana. Jika diubah secara drastik, jadilah bahasa Melayu sebagai bahasa yang kehilangan jati diri. 

Di negara jiran yang berbahasa Melayu, contoh begini sangat nyata terjadi. Apabila penggunaan akronim diaplikasikan, wujud pelbagai istilah baru yang janggal. Warkop untuk warong kopi, dubes untuk duta besar, wapres untuk wakil presiden, jagung untuk Jaksa Agung dan macam-macam lagi. Semuanya disingkatkan atas alasan menjimatkan masa. Pokoknya, yang terjadi bukannya menjimatkan masa, malah membuang masa untuk memikirkan apakah maksud sebenar akronim itu. Bahasa Melayu menjadi tidak seperti bahasa Melayu lagi. 

Aku menerawang lagi tentang dakwaan bahawa bahasalah yang menyebabkan pelajar Melayu mundur. Tidak sama sekali! Bahasa bukan alasannya. Faktor yang sebenar ialah sikap, psikologi dan hanya pandangan orang luar. Pelajar Melayu tidak begitu sebenarnya. Mereka juga sepintar rakan mereka dari bangsa lain. Malah ada yang lebih baik.

Faktor sikap dan psikologilah yang sebenarnya menjadikan mereka lemah terutamanya dalam pelajaran Matematik. Mereka dimomokkan dengan pendapat ramai yang mengatakan mereka lemah, jadi mereka tidak mahu berusaha untuk memajukan diri kerana alasannya sudah ada. Inilah perkara sebenarnya. Bukan kerana bahasa.

"Saya yakin dengan kaedah yang saya cipta ini, anak tuan-tuan akan mencapai tahap yang tinggi dalam pelajaran Matematik. Saya juga menyarankan agar tuan-tuan membeli bahan pembelajaran yang saya cipta ini untuk membantu anak-anak tuan-tuan. Apalah nilai duit, yang lebih penting ialah masa depan anak-anak kita," dia mula menyuntik propaganda untuk mempromosikan ciptaannya. Biarlah! Aku tidak menyalahkannya. Itu strategi perniagaan. Tetapi aku terkilan dengan dakwaan bahawa bahasa Melayu penghalang kemajuan.

Jika benar bahasa Melayu penghalang kemajuan kenapa sarjana barat begitu giat mengkaji bahasa Melayu. Siapa yang tidak kenal James T. Collins yang mengkaji dialek Melayu hingga ke akar umbi. Siapa yang tidak kenal dengan Hans Shmidt yang mengkaji bahasa ke seluruh kepulauan Melayu.

Masalahnya sekarang orang Melayu sendiri yang tidak mahu memandang bahasa Melayu sebagai aset kajian yang penting. Masyarakat hari ini terlalu mengagungkan sesuatu yang asing. Tidak hairanlah bahasa Melayu dicemar dengan pelbagai cara. Penukaran kod sudah menjadi sesuatu yang mesti dan menjadi kebanggaan.

Ketika dia memberi peluang kepada hadirin untuk mengemukakan soalan, akulah yang pertama bangun. Dia tersenyum kerana barangkali dia terfikir aku akan menjadi mangsa pertamanya.

"Ya Encik! Ada sebarang kemusykilan tentang penjelasan saya tadi?" dia bertanya terus kerana soalan itu memang sudah ada dalam kotak fikirannya.

"Bulahsayu...!" aku berkata begitu dengan agak lantang. Dia tercengang. Hadirin yang lain memandang tunak kepadaku seperti aku tidak siuman.

"Apa!!?" dia bertanya seakan terperanjat. Hadirin yang turut terlopong menanti suaraku seterusnya.

"Bulahsayu...!!!" aku meninggikan sedikit suara. Dia masih tercengang-cengang sambil memerhati hadirin yang masih memandang tunak kepadaku.

"Bahasa apa Encik gunakan?!" Dia bertanya kepadaku seperti langsung tidak dapat menangkap apa yang kusuarakan tadi.

"Bahasa Melayulah!! Bukankah saya orang Melayu?" aku tersenyum sinis kerana dapat menyindirnya secara tidak langsung. 

"Tapi saya tak pernah dengar bahasa Melayu macam tu!" Dia berterus-terang kali ini. 

"Maksud istilah itu ialah `bukan salah bahasa Melayu!” Saya akronimkan supaya menjadi ringkas dan menjimatkan masa," aku memberi penjelasan.

"Tapi... bunyinya agak janggal dan sukar pula ditanggap maksudnya!" dia menyatakan kelemahan bahasa ciptaanku secara spontan.

"Bukankah kaedah sebegini Encik katakan menjimatkan masa?" aku mengemukakan soalan itu kepadanya. Hadirin semakin bising menyebut istilah spontan itu.

"Tapi menyusahkan! Kita perlu mempelajarinya seperti mempelajari bahasa baru!" Dia merungut sendiri.

"Tapi kaedah ini sama dengan kaedah yang Encik cipta!" aku menyerangnya secara halus.

"Tapi ini lain! Ini untuk angka," Dia mempertahankan dirinya.

"Kenapa kita nak susahkan diri. Sebenarnya bahasa Melayu sudah cukup lengkap dan sempurna. Bahasa bukan alasan untuk menghalang kemajuan. Orang bisupun jika dia bersikap positif dia akan maju. Yang penting ialah sikap, bukan bahasa!!" aku berhujah terus. Kulihat wajahnya kemerah-merahan, mungkin perasaan marahnya semakin memuncak. Mungkin juga inilah pertama kali dia berasa tercabar kerana ada orang yang mempertikaikan
penemuannya.

Aku meninggalkan majlis itu dengan segera setelah wajahnya bertambah merah. Setelah dia kehilangan kata untuk menyangkal kata-kataku. Biarlah dia mempertahankan penemuannya itu sekali lagi di depan hadirin. Yang penting, hati aku puas. Aku telah mempertahankan bahasa ibundaku sendiri daripada dihina tanpa pembelaan.

Kini selang beberapa tahun, aku berasa lega kerana anakku yang baru masuk tadika pulang dan membilang satu, dua dan tiga. Jelas dan lancar. Kaedah Sera yang diuar-uarkan dulu, kini sudah tidak kedengaran lagi. Barangkali kaedah itu sudah terkubur bersama penciptanya.