CERPEN: www.merdeka.com.my

 

karya:

IMLAN ADABI

BERKALI-KALI dia menjerit merdeka! Merdeka! Merdeka! Lalu melewati laman web www.merdeka.com.my, kemudian sekali lagi menjerit merdeka! Merdeka! Merdeka!. Dia tidak peduli kepada siapa dan untuk apa jeritan itu dilakukan. Dia juga tidak peduli apakah jeritan itu bakal mengubah nasib bangsanya walaupun hati kecilnya sendiri mengakui kekerdilan kemanusiaannya. Yang dia pasti, tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, dia tidak perlu mengibar bendera kerana kemerdekaan bukan digambarkan dengan kibaran bendera atau berarak di padang perdana dengan slogan yang bagus-bagus. Kemerdekaan adalah kebebasan jiwa tanpa batasan yang tentunya dibantu oleh kekuatan akal dan perenungan yang tajam.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Bantuan untuk yang memerlukan! Dia mengaduh aneh. Ini slogan baru di bumi 45 tahun merdeka. Kereta mewah, gudang besar, tanah berhektar-hektar, kondo eksklusif... mahu bantuan pembedahan. Tiada tan sri atau datukkah yang mahu memberi sumbangan? Wah, bagaimana pula dengan wang PPRT? Lanun bangsat. Air mata rakyat direnjis. Merdeka! Merdeka! Merdeka!... dia menjerit lagi. Bagaimana dengan anak-anak desa yang tercicir? Bagaimana dengan marhaen yang bendangnya hangus dan nelayan yang sarat hutangnya? Bagaimana dengan tokoh korporat yang banyak membuat hutang tetapi menyalahkan polisi negara?

Ah, inilah fragmen kemerdekaan. Bisa saja dia mengibarkan bendera Viagra biar semua tahu bahawa hasil kemerdekaan ini kita isikan saja dengan alat kelamin, supaya menyedari nikmat kemerdekaan sudah dilacurkan oleh kebuasan nafsu. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kita sering melaungkan kemerdekaan tanpa mengerti makna sepenuhnya. Dia kaget sendirian. Di jalanan, kereta memecut dengan bendera negara dan pemandu dengan rakus memandu hingga tidak mempedulikan pejalan kaki. Tidak sedikit yang melanggar lampu isyarat apatah lagi meletakkan kenderaan sesuka hati di tepi jalan. Di kiri dan kanannya, berderetan bangunan yang mengibarkan bendera negara. Pesta lampu berkerlipan siang dan malam. Tidak sedikit pusat hiburan yang melanjutkan waktu berhibur hingga Subuh lantaran memeriahkan malam kemerdekaan. Ah, hebatnya!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Semalam bapanya meninggal. Sakit jantung. Pesara guru besar berusia 64 tahun yang ketika hayatnya nyaris dikirim ke Sabah kerana perbezaan fahaman politik. Politik dan kerjaya sering dikaitkan. Ini pun sebahagian daripada angkara kemerdekaan. Kemerdekaan bukan saja membebaskan pertiwi daripada penjajah asing, juga bagaimana menggunakan kemerdekaan untuk menjajah warganya sendiri. Justeru bapanya tidak bernama, kematiannya biasa-biasa saja. Tiada kibaran bendera separuh tiang. Tiada laporan di media massa. Tiada bacaan Quran di kaca TV dan radio. Malahan sebuah stesen radio swasta pun tidak tersalah membuat pengumuman kerana bapanya bukan siapa-siapa. Hanya manusia kecil. Hanya manusia, yang seperti manusia lain di negara berbentuk jantung pisang ini. Sebagai manusia biasa, matinya tidak terasa seperti juga lahirnya yang tidak rasmi-rasmian. Berbeza dengan manusia yang terpilih dan dipilih, kematiannya ditangisi berjuta rakyat, malahan tangisannya di pentas pun akan menyebabkan semua pihak menangis tersedu hinggakan dewan perhimpunan penuh dengan air mata yang menitis pada karpet atau pada kertas tisu yang kemudiannya dicampakkan di kiri dan kanan pintu tandas.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Dia menatap lagi pada laman web itu. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Wajah Tunku menurunkan Union Jack berbaur dengan lirikan Tun Razak. Dua tokoh yang banyak jasa kepada warganya. Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan Maharajalela. Wajah-wajah yang teguh pada akalnya. Dia kagum kepada mereka. Dia tabik. Merekalah pejuang sebenar. Pahlawan yang tidak berani membelakangi rakyat. Merekalah pejuang reformasi sebenarnya. Merekalah yang berjuang untuk rakyat, bukan menggunakan rakyat untuk kekuatan peribadi. Merekalah yang membebaskan tanah air ini. Merekalah pejuang sejati dan layak digelar tokoh reformasi. Reformasi bukan bermakna rusuhan jalanan. Reformasi yang sebenarnya adalah menggerakkan minda rakyat untuk kedamaian sejagat.

"Kita harus kekalkan kemerdekaan ini," tuturnya penuh hati-hati. "kita jangan sampai terlanjur hingga menyebabkan bangsa tergadai," dia semakin cekal berpendapat. Temannya merenung tajam. "Kita jaga pertiwi ini seperti kita menjaga bahasa kita...!"

"Hari ini bahasa kita sedang sakit. Seperti juga kesedaran berfikir bangsa kita yang kian nazak," temannya mencelah.

"Bahasa kita tidak sakit. Tetapi ada orang yang mahu menyakitinya. Orang kita yang tidak mahu memerdekakan bahasanya sendiri. Orang kita juga yang mahu terus-terusan mengagungkan bahasa penjajah," dia semakin tegas. Matanya sedikit merah. Dadanya berdebar. Bibirnya bergetar. "Kita sayang bahasa kita. Kita sayang bahasa kita seperti menyayangi ibu dan ayah sendiri, malangnya, kesayangan kita cuba dipancung...". Air matanya menitis. Sedihkah dia atau tangisan itu seperti pelakon sandiwara yang boleh menangis berkali-kali di pentas untuk mengajak orang lain juga turut menangis lalu disiarkan di kaca TV untuk tatapan seluruh negara?

"Kesedaran berfikir semakin nazak," temannya mengulang; "Kesedaran berfikir semakin nazak... tiada cacatnya bahasa kita, seperti juga tiada cacatnya bangsa kita... Hanya mereka, hanya mereka yang mahu menunjukkan kuasa lalu memenggal bahasa ibu dan ayah kita," temannya meninggikan suara, melepaskan keluhan kecil, lalu merenung wajah dia. Mata bertatapan. Bahasa tidak menjamin kemunduran atau kekuatan sesuatu bahasa. Hanya akal yang sihat menentukan segala-galanya. Allah memberikan pilihan kepada manusia sesuai dengan kekuasaan-Nya. Allah menjadikan manusia berbagai-bagai bahasa dan bangsa. Tidak ada kajian ilmiah yang menunjukkan sesuatu bahasa itu dikaitkan dengan kemunduran atau keagungan. Allah Maha Tahu. Allah Maha Besar. Allah menjadikan setiap bangsa dengan bahasanya, janganlah ada yang mahu melacurkan keagungan sesuatu bahasa. Hancurnya bahasa, hancurlah kemerdekaan jiwa bangsa asal di bumi berbentuk jantung pisang ini.

"Mereka semakin lalai berfikir. Otak mereka jumud." Dia mengeluh perlahan. Temannya mengangguk. Memerhatikan matahari semakin sayup ke hujung bukit dan di kaki awan sekawan merpati melayah angin penuh kesenduan. "Mereka semakin lalai berfikir, otak mereka jumud hingga tidak tahu menilai perlunya bahasa dalam menegakkan tamadun manusia dan kemanusiaan."

Malam itu dia meniduri seorang gadis yang diyakini bukan gadis lagi. Dia tidak peduli. Sama ada gadis atau bukan gadis, itu hanya istilah sahaja. Soal istilah ada waktunya menimbulkan polemik yang bertele-tele, atau pada waktu lainnya, dibiarkan begitu saja. Isu bahasa dan isu istilah, diketepikan. Dia seperti juga politikus mutakhir yang ada waktunya meniduri gadis atau gadis-gadis, meskipun jiwa mereka mengakui gadis atau gadis-gadis itu belum tentu mempunyai kegadisan lagi. Ini hanya soal istilah. Soal bahasa. Soal bahasa dan istilah ada waktunya boleh diredakan oleh gadis atau gadis-gadis. Yang perlu saat ini adalah melapangkan fikiran yang kian serabut.

"Kenapa kemari lagi? Gadis menyoal. Dia kaget. Kondo mewah lima bintang di TTDI itu bagai mengerti tujuan kedatangan dia.

"Kenapa datang, setelah lama merajuk?" Merajuk? Dia semakin saru. Siapa yang merajuk? Aku atau gadis yang diragui statusnya?

"Kita tidak boleh berlama... ada urusan!"

"Hanya seketika!"

"Seketika atau selama-lamanya... tingkah ini tidak sopan!"

"Kau lebih tidak sopan," Dia sedikit menjerkah. "Kenyataanmu di media hiburan cukup menjijikkan: terpaksa membuat pilihan terhadap dua lelaki ternama..."

"Kalau itu niatmu, lebih baik mundur. Jangan biarkan aku tenggelam dengan idealismemu..."

"Aku akan undur, undur selepas kau tidak bernyawa lagi. Sundal!"

Gadis ketawa manja. Bau bir dan asap rokok Salem berbaur. Dia bagai harimau lapar dan liar, menerkam dan mendesak sang gadis yang memang diketahuinya bukan gadis lagi. Mereka berkucupan seketika, melangsungkan hubungan yang lebih jauh dan gadis tanpa amaran, membiarkan dirinya diperlakukan sebuas-buasnya. Seperti lelaki lain, barangkali, dia juga sentiasa mahukan gadis seperti itu; ternama, bergaya, bersatus dan kerap keluar di kaca TV. Nama sang gadis menjadi sebutan ramai meskipun kenyataannya yang sukar membuat pilihan antara dua lelaki sukar diterima umum.

"Sang gadis terlalu mengada," rungut beberapa wanita membaca kenyataan sensasi gadis itu di media tabloid. "Sudah banyak wang, masih perlukan bantuan untuk rawatan di luar negara," rungut yang lain lagi.

Apa pun rungutan dan sungutan, dia tetap menggunakan kesempatan yang ada untuk melepaskan kelelahan dalamannya dengan gadis meskipun pada akalnya berbaur wajah ayah yang dijenguk buat kali terakhir sebelum ke liang lahad, atau setidak-tidaknya telinga tersentuh mendengar laungan kemerdekaan yang sekarang lebih merupakan pesta-pestaan.

"Anda perlu segera berundur," sang gadis memecahkan kelenaan. Dia tersentak. Kenapa?

Gadis bangkit daripada perbaringan, membetulkan pakaian dan rambutnya lalu mampir ke cermin lemari. "Anda perlu beredar, ada lagi tetamu yang bakal tiba!"

Tidak. Bantah hatinya. Dia mencelikkan wajahnya, merenung rambut gadis yang masih kusut walaupun berkali-kali diperbetulkan di depan cermin. Tidak. Aku tidak akan mundur. Ini bumi merdeka. Ini bumi penuh kemerdekaan, dan pada bulan kemerdekaan ini, aku tidak akan berpergian sebelum memuaskan naluri kejantananku sendiri.

"Silakan berlalu, sebelum tan sri datang..."

"Bangsat!"

"Jangan keruhkan suasana!"

"Laknat!"

"Please!"

Berkali-kali dia menjerit merdeka! Merdeka! Merdeka! Lalu melewati laman web www.merdeka.com.my, kemudian sekali lagi menjerit merdeka! Merdeka! Merdeka!. Dia tidak peduli kepada siapa dan untuk apa jeritan itu dilakukan. Dia juga tidak peduli apakah jeritan itu bakal mengubah nasib bangsanya walaupun hati kecilnya sendiri mengakui kekerdilan kemanusiaannya. Yang dia pasti, tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, dia tidak perlu mengibar bendera kerana kemerdekaan bukan digambarkan dengan kibaran bendera atau berarak di padang perdana dengan slogan yang bagus-bagus. Kemerdekaan adalah kebebasan jiwa tanpa batasan yang tentunya dibantu oleh kekuatan akal dan perenungan yang tajam. Namun apalah maknanya kemerdekaan jika pada setiap pelosok tanah air kemiskinan masih mengintai. Masih ada pondok buruk nelayan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat. Masih ada petani menderita di Baling, Kedah walaupun rusuhan pelajar 1974 sudah lama berlalu.

Apakah maknanya kemerdekaan jika masih ramai yang meragui nikmat kebebasan di negara berbentuk jantung pisang ini. Apakah ertinya pemergian penjajah, jika yang datang kemudiannya penjajah di kalangan bangsanya sendiri lalu merantai jiwa marhaen, mengawal kebebasan bersuara, atau tidak membiarkan rapat bagi menyuarakan kehendak massa. Apakah makna semuanya ini?

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Dia menjerit dengan kuat dan semakin rakus.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Dia melangkah mayat gadis yang diyakini bukan lagi gadis itu. Lalu kembali ke kamar kediamannya dengan sedikit tergesa.

"Wajahmu pucat... kau dikejar penguasa?" Dia angguk. Dia geleng.

"Kau takut?"

"Aku..." Dia menoleh wajah temannya.

"Kau takut?"

"Aku tidak punya apa-apa, justeru ketakutan sudah lama berlari daripada jiwaku." Mata mereka bertatapan. Kesan darah pada seluarnya menggerunkan temannya.

"Lebih baik kau menyerah!"

"Menyerah?"

"Menyerah!"

"Tidak mungkin!" Dia bangkit, berlalu ke jalan raya, melihat kelam, menyelinap antara lorong ke lorong ketika kota ini kian sarat dengan poster dan bendera kemerdekaan tanah air. Apakah kemerdekaan ini akan kekal selama-lamanya atau kita sengaja menyebut kemerdekaan sedangkan banyak halangan yang berlaku pada jiwa warganya. Hari ini ungkapan merdeka sudah terlalu kerap, seperti juga dia yang kerap menyebutnya apabila membaca catatan pada web yang entah dari mana itu.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Allah mencarut, kita juga boleh mencarut!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Allah samseng, kita juga boleh samseng!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Dia termanggu di pinggir jalan menghala ke lorong belakang mati. Poster 'Allah mencarut, kita juga boleh mencarut!' bersilih ganti dengan 'Allah samseng, kita juga boleh samseng!'

Dia longlai tanpa arah yang pasti. Banjaran Titiwangsa telah lama menenggelamkan sang suria dan dia mundar mandir dengan hamis kretek dan wap bir. Merdeka! Merdeka! Merdeka!.