| 
 MEMILIH
      DIAM   Oleh
      Hasyuda
      Abadi, IPS   KATA
      seorang sahabat, kehidupan ini menyediakan insan dua pilihan. Menang dan
      kalah. Benar dan salah. Bahagia dan derita. Dan segala macam yang
      mempunyai nilai yang bertentangan makna. Hanya satu sahaja pilihan-pilihan
      itu akan dimiliki, katanya lagi. Jika memilih kalah tentu melupakan
      tentang kemenangan meskipun itulah yang diimpikan. Jika tidak bahagia
      pasti derita jawapnya apabila diajukan pertanyaan: apakah anda bahagia?           
      Akhirnya kita dipinta membuat
      pendirian. Mesti memilih salah satu, bukan kedua-duanya sekali. Bukan juga
      tanpa membuat pilihan. Mustahil kita tiada pendirian langsung terhadap
      pilihan itu. Tanpa melakukan pilihan kita akan dikatakan tidak
      berpendirian. Kita akan dipersoalkan. Sahabat itu bercerita lagi dan
      inilahlah ceritanya: Apakah
      aku masih berpeluang menjadi insan seperti insan lain yang mulia? Ah,
      soalan ini bukanlah aku yang akan menjawabnya. Bukan juga orang lain
      kerana orang lain hanya tahu menilai daripada perspektif mereka sendiri,
      yang selalunya berbau kezaliman yang amat nyata. Kecuali yang ada
      pertimbangan tapi itupun bersebab. Aku memang terlalu kerdil. Aku
      sebenarnya ingin melawan kata hatiku sendiri. Aku ingin menjadi insan yang
      teguh dan berpendirian.  Memang
      aku harus memiliki pendirian. Aku mesti mengekalkan pendirian itu. Aku
      telah berani melaluinya. Sambil pada waktu yang sama meninggalkan yang
      lain. Walaupun tak ada kesedihan tetapi kenangan selalu mengajar dan
      mengingatkan kesiapaan aku itu. Kehadiran aku di antara sesiapa yang
      membentuk peribadi, pemikiran dan juga pendirianku. Aku kini tidak punya
      kedudukan yang jelas dalam sebuah institusi keluarga. Apakah aku harus
      menafikannya atau aku harus juga berkata bahawa aku masih berada di
      dalamnya walau tanpa sesiapa. Keluargaku adalah diriku sendiri. Aku
      menjadi pemimpin kepada diriku sendiri. Apakah aku berjaya memimpin diriku
      yang juga elemen sebuah pembentukan keluarga?  Terlalu
      banyak persoalan yang mendambakan jawapan meski bukan saat begini. Aku
      menjadi semakin kurang gerak. Aku mencari diriku yang tiada di antara yang
      ada. Perasaanku dan naluriku yang paling agung untuk diri insan. Ketika
      aku mengabaikan yang lain aku juga telah mengabaikan diriku sendiri
      sebenarnya. Aku harus selalu sedar tentang ini. Kerana itu aku harus punya
      pendirian dan meletakkan pendirian itu di hadapan bukan di belakang atau
      pada ketika keadaan yang memaksa sambil berkata aku sebenarnya ada
      pendirian yang harus aku akuri. Ketika aku mengenang seseorang, aku harus
      berani meletakkan pendirianku. Aku tidak harus kalah dalam sebuah
      pertarungan peribadi. Aku melewati ruang yang amat mencabar kewibawaan.
      Mungkin aku lebih memilih diriku dan bermuhasabah di dalam lingkunganku
      tanpa ada sesiapa.           
      Dan sekarang, siapakah yang tidak
      mempunyai pendirian? Aku suka merujuk kepada persoalan diri dan seseorang
      yang pernah mentohmahiku malah lebih teruk daripada itu. Aku menjadi malas
      menghidupkan telefontanganku. Ketika aku memilih untuk berdiam diri dan
      aku tetap dipersoalkan. Dalam banyak hal, bukankah berdiam diri itu salah
      satu jalan untuk mencari jawapan kepada pendirianku. Diam juga merupakan
      suatu bicara yang panjang. Hanya tidak menyatakan apakah pilihanku.  Salahkah
      berperilaku begini?          
      Aku menghilangkan diri untuk kembali
      kepada diriku yang sebenar. Itulah kenyataannya. Selama kukeluar dari
      diriku, entah apakah segala laku yang diperbuat sebenarnya betul atau
      sesungguhnya tidak. Sebenarnya apa yang aku inginkan itu benarkah? Atau
      sesuatu yang kuimpikan itu tidak benarkah? Dan menuntut aku membuat
      pilihan. Aku mesti berpihak kepada diriku. Barangkali aku terlalu hipokris.
      Mementingkan diri sendiri. Mendera diri orang lain. Menghancur luluhkan
      perasaan orang lain. Sengaja menyata rasa benci dan sebagainya.
      Menderitakan kehidupan orang lain dan sebagainya. Tapi sebenarnya tidak
      ada perasaan yang lebih hebat selain menerima apa sahaja atas alasan
      takdir!          
      Sedangkan orang lain itu adalah …
      Apakah wajar memperkenalkan seseorang itu? Sudah pasti itu bukan jawapanmu
      untuk suatu saat diamku sering memberikan amaran! Siapakah yang tidak
      kenal seseorang yang telah melalui kehidupannya yang diceritakan kepadaku
      dan entah tiba-tiba aku berada di dalam kehidupannya meski hanya untuk
      beberapa waktu. Waktu yang hanya mencuri masa usiaku. Nilai waktuku
      berharga sewaktu raung ruang sunyinya begitu papa walaupun kegelisahannya
      boleh dibayar dengan warna mewah, huluran gantirugi kepada kehilangan erti
      remajanya. Dirimu - seorang primadona yang berani, gigih, tabah dan sangat
      nakal. Maaf, barangkali ada tanggapanku yang tidak disebut dan amat
      mengaibkan. Benar, tanggapanku ini walaupun kehidupan itu tak pernah akan
      berulang. Perulangan merupakan sebuah pembunuhan kepada pendirian yang
      pernah dilafazkan.  Barangkali
      tidak sama seperti ketika mengalaminya dalam sebuah kehidupan di sisimu
      itu seseorang tetapi tidak lagi menikmati sesuatu yang mesra. Kemesraan
      hanya pada ketika bulan mengambang penuh dan kau memerlukan bintang di
      langit kelam. Apa saja yang wajar telah menjadi hakmu. Tanggungjawab
      seorang lelaki yang pernah melafazkan takliknya dulu hanya berlaku pada
      huluran wangringgit dan kemewahan serta kebebasan - tidak lebih daripada
      itu. Kebebasan tanpa batas. Ke hulur ke hilir mencanai kerinduan terhadap
      kebebasan yang dipenjarakan oleh status seorang suri. Insan apakah ini?
      Dan wajarlah sewaktu aku menggelarinya seorang yang hipokrit hanya tahu
      untung diri sendiri sambil pada masa yang sama akulah menjadi sasaran
      hingga aku dipenjarai diamku.          
      Begitukah insan?. Baik fikirannya atau
      tingkah lakunya yang sering berubah-ubah. Juga pendiriannya. Perubahannya
      ialah bertukarnya pendirian seseorang. Oleh kerana tiada pilihan lain
      pendirian baru mesti dinobatkan. Pendirian baru mesti direalisasikan.
      Walaupun terpaksa membunuh pendirian lama. Pendirian yang pernah
      diikatjalin dengan kemas. Pendirian yang pernah digambarkan sebagai
      sebungkah emas yang amat bernilai. Tapi hanya waktu-waktu tertentu sahaja
      selagi belum menemui pendirian yang baru. Akhirnya pendirian itu tidak
      menjadi suatu yang benar. Waktu yang dilalui berlalu seperti tidak berlaku
      apa-apa. Pandangan menjadi seperti biasa. Lautan tetap berombak bergelora.
      Pasir diubah-ubah olehnya. Dan aku menjadi pengunjung mengabadikan riwayat
      kenangan di bawah nyiur dan ru.          
      Aku sungguh terkasima. Mungkin
      kenangan itu indah namun ingatan tetap saja menyayat hati. Apabila saling
      bunuh-membunuh pendirian-pendirian yang tidak setegap pohon jati, insan
      tidak dapat memilih jalan yang lebih selamat. Selepas ini, entah. Apakah
      pendirian itu berubah hanya kerana terpaksa memilih bahagia? Atau apakah
      apabila terpaksa memilih menang? Rasionalnya, kita harus memilih apa yang
      benar. Tidak mungkin seseorang itu memilih yang salah. Walaupun ketika
      memilih benar sebenarnya dia memilih yang salah. Padanya tentu tidak
      seperti yang beradu dalam fikiran. Bagaimana mungkin mempercayai seseorang
      yang pernah berkata tetapi menampilkan muslihat yang berterusan. Ah, karut!          
      Ketika ingin menyampaikan sesuatu aku
      masih mencarinya meskipun yang bergerak hanyalah sebuah perjalanan mindaku.
      Ketika suatu hari yang paling bahagia untuk dirinya, tentunya, aku ingin
      mengutus kad ucapan sebagai tanda masih ada ingatanku untuknya. Tapi
      siapakah yang mahu membacanya jika tiada jalan yang membolehkan dia
      menerimanya. Ketika puteriku mencadangkan, ayuh kita cari seseorang itu.
      Mungkin itulah jalannya. Tetapi apakah jalan itu betul? Apakah jalan itu
      tepat? Apakah jalan itu boleh menemukan sesuatu atau boleh membunuh
      pendirianku? Akhirnya
      aku memilih berdiam diri.  Aku
      mendekati seseorang yang lain, yang lebih membawa pengertian. Mendekati
      seseorang yang kukagumi. Seorang anak bangsa yang berani. Seorang warga
      negarabangsa yang teguh menancapkan pancang-pancang kebenaran,
      pancang-pancang keadilan.          
      Semua orang dipinta membuat pendirian
      mereka hanya kerana mahu meletakkan seseorang itu di tempat yang mereka
      sediakan iaitu kejatuhannya. Dan seperti diriku, tanpa pendirian akan
      dipersoalkan. Seseorang akan dipersoalkan kedudukannya dalam suatu
      organisasi kerana semata-mata tidak menyatakan pendirian mereka. Walaupun
      mereka tahu bahawa pendirian yang ingin dinyatakan itu sesungguhnya akan
      membunuh pendirian sebenar mereka.          
      Aku bosan membaca surat khabar atau
      menonton tv. Membuka situs demi situs  pada internet untuk mengalihkan sasaran minda daripada hanya
      membaca segala macam kepalsuan. Aku percaya kepada ketakpercayaan yang
      dilaung-laungkan. Aku percaya kepada ketaktelusan kata-kata yang diluahkan.
      Aku percaya kepada pendalihan yang ditabiri tohmahan, penghinaan, tuduhan
      dan sampai ke puncak kezaliman abad lalu. Tapi aku tak percaya kepada
      keangkuhan yang menebang pohon-pohon keadilan. Kemajuan bangsa dan negara
      bangsaku tidak punya erti apa-apa jika kemakmurannya telah
      dipadangjarakkan oleh sifat-sifat paranoid dan megalomania. Di manakah diri kita saat ini? Sahabat itu menciri dirinya. Di manakah erti kemerdekaan kita pada saat ini. Apakah makna kemerdekaan yang telah kita lalui selama empat puluh lima tahun itu akan hapus begitu sahaja. Hanya kerana ingin mempertahankan sesuatu segala yang haram diubah menjadi halal. Agama menjadi komoditi politik. Undang-undang menjadi senjata dan ugutan. Raksasa kuasa mencengkam segala bidang dalam banyak perkara. Nafsu sarakah meluap-luap membakar kemurnian ciptabistari pembangkit revolusi. Memantau penganiayaan sebagai suatu kepastian dan menjadi suatu kemestian. Membunuh peribadi seseorang dengan ketajaman kuasa dan menyalah ertikan kesucian kuasa itu semata-mata kerana kegusaran yang keterlaluan. Paranoid! Barangkali
      kita harus bertanya, adakah diri kita saat ini. Saat kita menyatakan
      sebuah pendirian yang dipaksakan. Benarkah kehadiran kita itu merupakan
      kehadiran yang sebenarnya. Aku semakin bingung melalui semua ini. Aku
      seperti insan kecil yang lain semakin dirungsingkan, semakin dibingungkan
      dan semakin dicurigakan.  Ketika
      anda bertanya, aku akan menjawab begini: yang mengetahui hanyalah diriku
      sendiri. Yang menghayati kehidupannya sendiri hanyalah diriku dan tak
      mungkin ada yang memahami. Aku melalui perjalanan yang telah kulakukan
      dengan penuh kesengajaan walaupun aku tidak pernah tahu di hujungnya ada
      apa, apa dan apa serta bagaimana. Selain mengimpikan sesuatu tetapi
      sesuatu itu juga terlalu awang-awang dan angan-angan meskipun aku telah
      menghayatinya. Ada keyakinanku untuk mencapai ilusiku itu tetapi siapakah
      yang boleh menerima jika kukatakan begitu? Tak ada lain selain hatiku
      sendiri. Dan Tuhan sebenarnya. Aku tahu Dia amat murka kepadaku. Tapi aku
      tahu masih ada ruang untukku pulang. Pulang ke rumahku yang sebenar iaitu
      diriku sendiri. Dan
      aku tetap memilih diam!  “Hanya
      burung-burung sunyi mengerti  angkasa
      rasa ini  kembara
      yang berdenyut  bunyi
      irama   mengakrab
      lestari  mahabbah
      mengakar abrar    Hanya
      perjalanan memahami hari  yang
      dilalui merawat
      riwayat luka   Hanya
      dibasahi gerimis senja gelombang
      terakhir tak menyapa apa-apa dari
      bibir hanya bungkam dalam derunya biarlah
      amarah dibasahi diam yang memenjara.”   Jalan
      Mat Salleh, Kota
      Kinabalu.   21
      OGOS 2002   Hak
      Cipta Terpelihara ©Hasyuda Abadi, 2002   (Cerita
      ini semata-mata rekaan. Tidak ada kaitan dengan sesiapapun sama ada hidup
      mahupun telah mati. Jika berlaku persamaan hanyalah kebetulan yang tidak
      disengajakan)   
 
 |