AIDILFITRI
AIDIL INSANI
1.
Mukaddimah
APABILA umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan pada
bulan Ramadan, saat berakhirnya puasa itu disambut dengan perayaan
aidilfitri, yang bererti secara harfiahnya “kembali seperti sedia
kala.” Dari segi adatnya umat Islam kembali makan minum di siang
hari namun dari segi pengertian agama, umat Islam kembali kepada
fitrahnya, iaitu kejadian asal manusia, seperti dikatakan oleh Nabi:
“Manusia dilahirkan dalam bentuk fitrah, ibu bapanya yang
mencorakkan menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” Ertinya, umat
Islam setelah melalui tamrin atau latihan jasad dan kerohanian
sepanjang bulan Ramadan, dengan menahan segala yang dilarang agama,
akan memulihkan kedudukan manusia itu ke tempat yang asal. Tempat
asalnya atau fitrahnya ialah “ahsnu taqwim” (sebaik-baik kejadian)
seperti diungkapkan dalam al-Quran
“Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam keadaan
atau binaan yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami lemparkan mereka di
tempat yang paling buruk.”
Mengikut
hadis, pada bulan Sya’aban, sebelum puasa, kitab amal manusia akan
ditutup dan diserahkan ke langit. Manusia selepas itu menjalani tamrin
atau latihan pada bulan Ramadan, dan akan memulai cara hidup baru pada
bulan Syawal.
2.
Adilfitri
Sebagai Hari Kemenangan
Hari
Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi para salihin, muqarrabin
dan muslimin. Selama sebulan mereka menghadapi dugaan Allah; siang
harinya melawan tuntutan nafsu dan runtuhan amarah; malamnya mereka
qiam, bersembahyang tarawih, witir dan bertadarus. Kehadiran
Aidilfitri merupakan anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang takwa
dan tawadhuk.
Hari Raya Aidilfitri sebenarnya puncak peribadatan yang diamalkan di
sepanjang Ramadhan. Di pagi Syawal umat Islam berzikir, bertasbih,
bertahmid dan bertasyahud sebagai menyatakan kesyukuran ke atas nikmat
yang telah dianugerah oleh Allah. Ibadat puasa dalam perkiraan Allah
itu sangat tinggi. Diriwayatkan oleh Ahmad Al-Nasai dan Al-Hakim Abu
Umamah, katanya, “saya bertemu Rasulullah S.A.W. lalu saya
menyatakan suruhlah saya mengerjakan sesuatu amalan yang memasukkan
saya ke dalam syurga. Bersabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Tetaplah
engkau berpuasa, kerana puasa itu tak ada bandingannya.” Kemudian
saya mendatangi nabi kali yang kedua, maka nabi berkata pula:
“Tetaplah engkau berpuasa.”
Dari
riwayat Ahmad Al-Nasai dan al-Hakim Abu Umamah itu, menjelaskan
ganjaran puasa ialah syurga. Ini bererti bahawa pahala puasa itu
sangat tinggi, dan nilainya di sisi Allah sangatlah besar. Ketinggian
dan kebesaran ibadat puasa itu pula, memberi pengertian yang mendalam
terhadap definisi Hari Raya Aidilfitri.
3.
Definisi
Hari Raya Aidilfitri
Sejarah
Hari Raya Aidilfitri ini, selain daripada hubungannya dengan ibadat
puasa, iaitu menandakan tibanya manifestasi kemenangan, juga sebagai
anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Fitrah bererti naluri, sesuatu
yang selari dengan sifat kejadian manusia. Jadi, Hari Raya Aidilfitri
atau ‘Idil al-fithr’ itu ialah suatu perayaan kemenangan yang
sesuai dengan kejadian sifat manusia. Hari itu haruslah dirayakan
menurut sifat manusia itu sendiri.
Apakah
sifat manusia?
Manusia berasal daripada perkataan ‘nun’, ‘sin’ dan ‘ya’,
iaitu ‘nusia’. Perkataan ini bermaksud ‘pelupa’, ‘lalai’
atau secara iktisarnya dapat ditegaskan sebagai makhluk yang lemah dan
mudah terpedaya. Dari situ timbul perkataan ‘insan’, iaitu hamba
yang dicipta oleh pencipta-Nya dalam keadaan yang selalu atau sering
‘kurang berdaya’. Jadi, sama ada manusia atau insan, maknanya
adalah sama, iaitu suatu kejadian yang dikelilingi oleh kealpaan dan
kelemahan.
Memahami hakikat ini, bukannya bererti sesuatu yang luar biasa,
justeru kita manusia dalam hidup ini tidak akan terhindar, malah tidak
berkuasa untuk tidak melakukan kesalahan. Bagaimanapun seperti yang
diakui oleh Allah sendiri, manusia ini dicipta dalam keadaan
sebaik-baik kejadian. Di antara sifat kebaikan manusia itu ialah
mempunyai akal, dan boleh berbicara. Dalam diri manusia disediakan
perasaan, naluri dan keinginan. Manusia cintakan hal-hal yang indah,
cantik dan mengkhayalkan. Manusia inginkan kekayaan. Manusia mahu
kebahagiaan dan sebagainya. Itulah fitrah manusia.
Islam adalah agama fitrah. Agama yang paling sesuai dengan
sifat dan keinginan manusia. Islam sesungguhnya adalah agama manusia
yang memahami jiwa, perasaan dan pemikirannya. Dan Islam juga agama
yang mudah, justeru manusia inginkan kemudahan bukan sifat-sifat atau
ciri-ciri manusia dan nalurinya, yang bertentangan dengan Islam. Islam
membenarkan manusia berkahwin, beranak pinak dan berketurunan. Islam
menggalakkan mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya asal sahaja dari
sumber yang halal.
Oleh kerana manusia dibekalkan oleh bermacam-macam naluri dan
fitrah; dan manusia dilepas-bebaskan ingin memenuhi kehendak nalurinya;
bererti ia akan terjerumus ke lembah tamak. Manusia yang dijadikan
sifat kealpaan dan kelupaan sering sahaja tenggelam ke dasar pemuasan
nafsu syaitannya jueteru itu, Islam tidak membenarkan pemenuhan
keinginan naluri itu secara membabi buta. Naluri dan fitrah manusia
dalam pandangan Islam ada batasannya.
Manusia boleh makan dan minum. Tetapi jangan makan dan minum
secara berlebihan. Apalagi memakan makanan yang haram. Dan apabila
datang bulan puasa, manusia diharamkan makan di waktu siang harinya.
Bukankah ibadat puasa itu, sesungguhnya sebagai jaringan dan tapisan
kepada pemenuhan fitrah yang amarah dan ganas serta rakus itu?
Memahami pengertian ‘manusia’, ‘insan’ dan ‘fitrah’
dalam konteks Islam, kita akan lebih memahami pula definisi dan fungsi
Hari Raya Aidilfitri itu sebagai
hari perayaan yang sesuai dengan sifat manusia. Justeru itu, walaupun
hari Raya Puasa ini bererti ‘hari kemenangan’, ‘hari perayaan’
dan ‘hari bersuka ria’, tetapi ada batas-batas dan sempadannya.
Kita tidak boleh merayakan dengan memenuhi keinginan nafsu dan rasa
pemuasan manusiawi kita. Alangkah buruknya dalam pandangan Islam hari
mulia itu kita cemari dengan amalan dan perbuatan jijik yang melanggar
batas kesucian.
4.
Pengisian
Hari Raya Aidilfitri
i)
Berpakaian
bersih dan bersembahyang sunat
Sebaik-baik merayakan hari yang berkat itu,
kita mencontohi amalan-amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasullah dan
para sahabat baginda seperti berpakaian bersih dan cantik di pagi Hari
Raya sebagai tanda kebesaran dan nikmat dari Allah. Ketibaan pagi
Sya-wal harus diniati untuk pergi ke masjid bersembahyang sunat Hari
Raya Aidilfitri. Nabi Muhammad S.A.W., menurut Anas, ada menyatakan,
baginda tidak akan ke masjid sehingga baginda terlebih dahulu makan
buah tamar. Hadis Bukhari ini menunjukkan bahawa amalan yang baik di
pagi raya itu makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Sesampai ke masjid,
baginda akan bersembahyang Hari Raya Aidilfitri bersama-sama kaun
muslimin; kemudian memberi
khutbah.
ii. Bersedekah dan
Membayar Zakat Fitrah
Bersedekah dalam konsep Islam di Hari Raya menandakan
kesyukuran orang-orang berada bersimpati dengan orang-orang yang
kurang berupaya untuk bersama-sama meraikannya. Dalam konteks menolong
orang-orang kurang upaya, terutamanya fakir miskin, Islam mewajibkan
kaum muslimin supaya mengeluarkan zakat fitrah. Pahala meeka yang
mengerjakan rukun islam yang keempat ini hanya akan tergantung di
awangan, jika tidak berfitrah; dan akan diangkat ke langit setelah
zakat fitrah dikeluarkan. Zakat adalah sebutan dari sebuah hak Allah
Taala yang dikeluarkan seseorang kepada fakir miskin. Di dalamnya
terkandung harapan untuk beroleh berkat, membersihkan jiwa dan
memupuknya dengan pelbagai kebajikan. Siapa yang
membayarnya sebelum sembahyang hari raya menandakan zakatnya
diterima Allah dan siapa yang membayar selepas sembahyang, zakatnya
samalah seperti sedekah biasa.
Hari Raya Aidilfitri, harus dirayakan oleh setiap golongan
Islam, baik yang kaya ataupun miskin. Pada hari itu, tiada perbezaan
antara kaya atau miskin. Sebagai bukti hikmat puasa. Puasa mengajar
kepada golongan kaya, supaya merasakan penderitaan dan kesengsaraan
golongan fakir miskin. Di hari yang mulia itulah golongan kaya, tidak
hanya setakat merasakan keazaban itu, tetapi memberikan sebahagian
dari kekayaannya untuk dinikmati oleh golongan yang kurang mendapat
nikmat dunia ini.
iii. Bermaaf-maafan dan Menjalin Persaudaraan
Suatu
amalan yang suci telah menjadi budaya orang-orang Islam di Malaysia
pada Hari Raya ialah bermaaf-maafan. Baik yang muda atau tua,
menghulur tangan, memberi tahniah dan ‘mubarak’. Mereka
mengungkapkan ucapan ‘maaf lahir dan batin’ dan ‘minal a’idin
wal faizin’ ( orang yang pulih dan berjaya ) serta memohon
diampunkan segala dosa. Memanglah dalam interaksi sosial, tentu ada
sahaja perbuatan yang boleh melukakan hati sahabat sesama muslim;
begitu juga ada perasaan tidak baik yang tersimpan di sanubari dan
batin; pada hari itulah segalanya dibersihkan: memohon ampun agar
Tuhan memberikan limpah kurnia-Nya.
Tegasnya Hari Raya Aidilfitri, menjadi jambatan yang
menghubungkan silaturahim antara sesama kaum Islam. Sahabat yang jauh
didekatkan. Hanya dengan eratnya persahabatan sesama Islam, kekuatan
agama ini akan terasa padu dan kukuh. Sebab itu, Islam menggalakkan
selepas bersembahyang sunat, berkumpul di rumah untuk merapatkan
hubungan sesama keluarga yang menjadi asas mujtamak Islami; kemudian
berziarah ke rumah jiran tetangga dan sahabat handai bertujuan untuk
mempererat tali persaudaraan yang sedia ada. Sebenarnya kunjungan dan
lawatan yang utama ialah menghubungkan persaudaraan bukan makanan yang
sedap-sedap semata-mata atau menghias rumah secara berlebihan.
Sebagai negara bermasyarakat majmuk, Hari Raya dapat dijadikan
landasan untuk memupuk persafahaman dan muhibah antara kaum. Tuhan
sememangnya menjadikan manusia ini bersuku-suku dan berkaum-kaum,
tujuannya ialah untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain.
Maka Hari Raya Aidilfitri ini dapat memenuhi hasrat dan aspirasi
‘perkenalan’ itu.
Cuma, dalam kontek meraikan tetamu bukan Islam ini, janganlah
pula terlalu ghairah misalnya sehingga sanggup menyediakan minuman
yang haram untuk tetamunya itu. Malah tetamu itu awal-awal lagi
menyatakan, jika tidak disediakan minuman keras dia tidak akan datang
mengunjung. Jadi, Hari Raya Aidilfitri yang mulia itu, yang berhasrat
tujuan untuk muhibah antara kaum, telah menjadi medan maksiat.
Sesungguhnya cara muhibah begini, langsung tidak dikehendaki dalam
Islam. Sebagai seorang penganut yang diredai, ia harus menjelaskan
kedudukan itu kepada sahabat yang bukan Islam itu kerana orang-orang
Islam mempunyai caranya yang tersendiri untuk merayakannya.
Islam tidak melarang hiburan atau bentuk pesta sewaktu
menyambut Hari Raya Aidilfitri ini. Islam sebagai agama fitrah
mengetahui apa yang dirasa, difikir dan diinginkan oleh manusia.
Tetapi bentuk hiburan itu tidaklah sampai melampau batas kefitrahan
manusia, sehingga ia lupa pada dirinya.
Daripada Aisyah (ra), beliau menyatakan telah datang Abu Bakar
ketika dua orang jariah dari golongan Ansar menyanyi dengan lagu
‘youm bu ‘ath’ iaitu hari kemenangan. Saidina Abu Bakar berkata:
apakah ada suara syaitan di rumah Rasululah, dan sebenarnya pada hari
itu Hari Raya. Hal ini diketahui oleh Baginda Rasululah S.A.W. lalu
menyatakan bahawa setiap kaum itu ada hari rayanya dan dan hari raya
ini adalah hari raya untuk kaum Muslim. Dari Aishah ini, dapat
dirumuskan bahawa pada Hari Raya Aidilfitri ini, Islam membenarkan
nyanyian untuk berhibur.
Cuma bentuk nyanyian dan hiburan itu harus difahami. Isi
nyanyiannya ialah ‘yaoum bi’ath’ yang dimaksudkan sebagai
nyanyian-nyanyian yang berisikan puji-pujian kepada Allah.
Dalam hadis itu tidak menyebutkan kedua-dua jariah itu menyanyi
dengan iringan sebarang apa alat bunyi-bunyian. Sesuai dengan Hari
Raya Aidilfitri, hari menyambut kemenangan, maka Islam membenarkan
umatnya menyanyikan lagu-lagu yang senada dengan syarat-syarat yang
diberikan. Di antara lagu-lagu yang dapat dicontohkan ialah lagu-lagu
nasyid, berzanji, bernazam dan sebagainya. Sesungguhnya tidaklah
sesuai dengan lagu disko atau lagu asmara, yang sama sekali
mengenetepikan roh kebesaran Hari Raya itu. Kenyataan-kenyataan ini
menunjukkan, bahawa di Hari Raya Aidilfitri kita boleh bergembira,
asalkan sahaja mengikut batasan-batasannya.
Batasan-batasan fitrah manusia ini, sesungguhnya mempunyai
hikmahnya, supaya manusia menghormati dan memberi penilaian yang
tinggi terhadap kejadiannya. Dalam surah al-Israk ayat 70, Allah
berfirman “Sesungguhnya Kami
telah muliakan anak Adam dan Kami angkat mereka dengan kenderaan di
daratan dan di lautan. Kami telah kurniakan kepada mereka rezeki yang
baik dan Kami telah lebihkan mereka di atas kebanyakan makhluk yang
Kami jadikan dengan kelebihan (yang sempurna)”.
Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa manusia itu diberi
keistimewaan dan berbagai-bagai kelebihan. Manusia seharusnya
bersyukur atas nikmat dan pemberian Tuhan itu.
5.
Pengajaran Di Sebalik Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri yang mengingatkan manusia akan kejadiannya yang
fitriah itu, haruslah difahami dan disedari. Janganlah melakukan
sesuatu yang boleh melanggar kefitriahannya. Sewaktu berhubungan
antara satu sama lain, Rasulullah bersabda: “Bergaullah dengan
orang-orang menurut apa yang anda suka mereka bergaul dengan anda. Dan
jangan suka mementingkan diri sendiri”. Dalam ayat 8 surah al-Maidah,
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi
saksi kerana keadilan. Jangan bahayakan kamu dengan perpecahan suatu
kaum dari yang tidak melakukan keadilan. Berlaku adillah, itulah yang
lebih hampir kepada takwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya
Allah mengerti apa-apa yang kamu kerjakan.”
Sesungguhnya Islam telah menggariskan konsep fitriah dan konsep
pengalaman Hari Raya Aidilfitri itu. Kita sebagai umat Islam hendaklah
mengetahui dan membudayakan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh
Rasululah dan para sahabat. Tidak ada maknanya puasa dilakukan
sepanjang bulan puasa, jika amalan Hari Raya itu dilakukan di luar
garis-garis yang dibenarkan. Sesungguhnya amalan dan segala ibadat itu
adalah wajib dan sebagai dugaan kebenaran iman.
Ayat
165, surah al-An’am, Allah berfirman yang maksudnya: “Dan
Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan mengangkat
darjat-darjat dari kamu atas sebahagian untuk menguji kamu tentang apa
yang Dia telah datangkan kepada kamu, lalu Dia mengkhabarkan kepadamu
apa-apa yang kamu perselisihkan.” Sesungguhnya ibadat puasa,
sama juga dengan ibadat yang lain adalah amanah dan dugaan dari Allah
bagi membuktikan keikhlasan dan ketaatbudian insan kepada al-Khaliqnya.
|