CERPEN

 

Forum Wanita

Oleh

BEB SABARIAH


``SEMASA berusia tujuh tahun saya sudah ditiduri lelaki. Abang kandung saya sendiri. Saya terseksa menanggung sakit bukan kepalang, tetapi saya tidak tahu apa harus dilakukan. Saya hanya menanggung derita tidak terperi. Sekarang barulah saya tahu. Itu pun selepas media mendedahkannya secara meluas. Walaupun dalam usia 40-an begini, pengalaman lalu masih menghantui perasaan. Fobia. Perasaan takut dan benci terhadap lelaki kadang-kadang begitu membuak,'' suara Nina Chong tertekan-tekan kerana sebak.

Semua mata menacap ke arah kaca TV dalam ruang seminar itu. Peserta Seminar Hak dan Peranan Wanita kelihatan terkedu serta mengetap bibir menunjukkan reaksi geram dan sedih. Tidak ramai wanita berani membuat pengakuan terbuka pada sidang video begini. Secebis kisah Nina Chong yang membuat Puan Rajemah memujinya melangit. Semua kagum dengan Nina yang sanggup mendedahkan tompok hitam yang telah memalit sejarah hidupnya. Dia lakukan semua itu kerana mahu meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya kaum hawa agar mereka lebih bersikap terbuka tentang keganasan terhadap wanita yang bukan remeh atau terlalu peribadi untuk diketengahkan.

``Saya sengaja memulakan majlis forum kita petang ini dengan mempaparkan kisah benar mengenai salah satu daripada gejala kebejatan sosial iaitu keganasan terhadap wanita. Ia kian menular dalam masyarakat kita. Ia bukan sahaja menjadi isu semasa, malah berkala-kala. Abang, abang ipar, ayah tiri, ayah kandung bahkan yang berstatus datuk adalah antara pelakunya selain orang lain yang juga sering kita dengar merupakan orang yang dikenali mangsa. Kenapa perkara ini berlaku?''

Penutur menarik nafas panjang serta kelihatan menggeleng beberapa kali. Semua kelihatan bungkam.

Sebentar tadi nampaknya Puan Rajemah @ Azimah selaku pengerusi forum yang memulakan mukadimah dengan menyingkap tirai provokasi perbincangan kepada dua ahli panelnya yang bersedia duduk di atas pentas dalam Dewan Perpaduan Sri Kandis di Petra Jaya, Kuching berjaya menaut perhatian khalayak. Kira-kira dua ratus kerusi dipenuhi hadirin. Bilangan yang di luar jangkaan penganjur. Mereka mulanya tidak terfikir seramai itu akan hadir pada petang Sabtu yang cerah itu.

``Sumbang mahram serta keganasan rumah tangga harus dipandang serius kerana ia membabitkan wanita, remaja dan kanak-kanak perempuan. Adalah wajar kita menjaga kebajikan wanita dari segenap lapisan usia kerana merekalah bakal melahirkan generasi yang bakal memimpin negara.

``Perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci yang menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita bukan ajnabi atau bukan muhrim. Perkahwinan mengelakkan zina, khalwat, kelakuan tidak sopan dan sumbang mahram. Perkahwinan memberi ketenangan hati dan keselamatan hidup. Ia juga berupaya mengikat kasih sayang di antara lelaki dan wanita di samping untuk melahirkan zuriat.

``Sumbang mahram adalah tanda-tanda kekosongan nilai dan pegangan hidup. Selama 13 tahun Allah subhanahu wa taala menurunkan ayat-ayat berkaitan masalah ini di Mekah. Masalah iman dan akidah disampaikan dalam berbagai-bagai cara seperti keterangan, arahan, perumpamaan dan renungan. Mengambil iktibar daripada kenyataan ini hati perlu dididik untuk menuhan Allah.

``Seorang lelaki seharusnya menjadi rajul atau pelindung wanita, bukan perosak, bukan haruan makan anak atau pagar makan padi. Ini dinyatakan dalam al-Quran, surah An-Nisa' ayat 34. Nabi menegaskan selagi manusia tidak mendasari hidup mereka dengan panduan dari langit, selagi itulah mereka akan tersesat dan mudah terseleweng,'' Ustazah Balqis memberi pandangan. Senyuman manis mengelus wajah tenangnya.

Dr. Rubiah, graduan Undang-Undang Syariah UIA yang kini bertugas di Unit Khidmat Nasihat menerangkan bagaimana wanita boleh dibela melalui Ordinan dan Undang-Undang Syariah mahupun Undang-Undang Sivil dengan Kanun-Kanun Keseksaannya. Dalam nada bergurau beliau menyatakan tentang eloknya menyiapkan diri dengan kemahiran tae kwan do dan silat atau penggunaan cawat besi seperti apa yang dilakukan pada Zaman Rom dulu atau anu pelaku dipotong sahaja. Ini disambut para hadirin dengan senyum kambing.

Beliau menceritakan keluhan seorang `bapa sejati' yang terkilan kerana anak perempuan kecilnya sudah tidak mahu dipeluk atau dicium dahi sebelum pergi atau sekembali dari sekolah. Ini katanya adalah kerana ingatan demi ingatan oleh ustazah di sekolahnya tentang kemungkinan yang menjurus kepada sumbang mahram. Sebagai seorang bapa penyayang emosi kasih sayang seperti itu sudah tidak dapat dilakukannya lagi seperti apa yang dilakukan Rasulullah terhadap anak-anaknya.

``Kesalahan merogol adalah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang `mengikat' seseorang itu lima hingga ke-20 tahun dalam penjara. Seksyen 376A pula minimumnya enam dan maksimumnya 20 tahun dengan sebatan dari enam hingga 20 kali.

``Persetubuhan haram mengenakan denda minimum lima ribu atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 10 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah. Berkendak timpalnya minimum 4,000 dengan dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 5,'' asimilasi seorang pegawai undang-undang seperti Dr. Rubiah yang mampu menjejeri akta-akta di hujung lidahnya metah mengagumkan khalayak.

Rakan di sebelah mengisykannya. Gamat sidang dewan dibuatnya. Membiarkan orang tua latah itu terangguk-angguk, Ustazah Balqis menyambung hujah beliau mengenai tanggungjawab umat Islam.

``Pandangan sempit terhadap peranan wanita yang tidak lain melainkan menjadi sasaran nafsu seks lelaki merendahkan keupayaan dan martabat wanita. Pandangan kronik ini tidak termasuk dalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan usaha memartabatkan status wanita dipelopori Rasulullah lebih kurang 1,500 tahun lalu. Kita wanita seharusnya menjadikan ejen pembentukan keluarga yang efektif.

``Perkahwinan bukan satu kontrak sivil semata-mata seperti dalam tradisi masyarakat bukan Islam, sebab itu kita melihat bahawa kedamaian dan keharmonian sangat bergantung kepada ras agama. Ajaran Islam menghendaki manusia memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Konsep istikhlaf al insani atau memartabatkan manusia baik lelaki mahupun perempuan termaktub dalam al-Quran dalam surah an-Nahl ayat 97,'' tambah Ustazah Balqis menyangkal anggapan sesetengah lelaki bahawa wanita adalah boneka seks.

Semua mata memacu ke arah pentas. Ustazah menyambung lagi; ``Allah mewajibkan ke atas suami memberi mahar kerana ia hak mutlak seseorang yang dinikahinya. Ia bukanlah merupakan bayaran terhadap apa-apa. Sebaliknya ia merupakan suatu penghargaan atau aprisiasi terhadap pengantin perempuan. Perkara ini juga termaktub dalam Seksyen 19 Ordinan Undang-Undang Keluarga yang memerlukan seorang kadi serta sekurang-kurangnya dua orang marhaen sebagai saksi.

``Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 4 yang bermaksud Berikanlah wanita itu maharnya dari yang baik-baik dan sekiranya dia bermurah hati untuk memberikannya maka makanlah dengan sebaiknya. Ajaran Allah sangat menekan kewajipan suami supaya sentiasa memberi layanan yang baik kepada isteri kerana pengabaian hak boleh menjurus kepada kemurungan, kekecewaan dan pemberontakan perasaan.''

``Kata-kata yang tepat di tempat yang sesuai,'' sampuk Pengerusi tersenyum puas. ``Persidangan Wanita Sedunia sering diadakan dan yang pertama telah diadakan di Mexico tahun 1975. Yang keempat pula telah diadakan di Beijing, China tahun 1995.'' Puan Pengerusi cuba mengimbau pengalaman beliau mewakili negara melalui Persatuan Ombak (Organisasi Wanita Membanteras Keganasan).

``Dalam Beijing Platform For Action tahun 1995, satu daripada rangkaian 12 resolusi global yang telah dicapai dan amat relevan dengan kehendak perkembangan kemajuan wanita negara kita dan amat menarik minat saya ialah tentang perlunya sikap mahir berkomunikasi serta berani bersuara di kalangan wanita, bagaimana Dr. Rubiah melihatnya?'' Puan Pengerusi mengaju tanya.

``Hadirin perlu tahu, dalam konteks wanita teraniaya, rata-rata mereka berasa terkongkong dan boleh dikatakan malang selama berada dalam kepompong `budaya senyap' mereka. Kejahilan membuat mereka terus berada dalam `budaya penafian' selagi tidak berani bersuara dan menuntut hak. Janganlah menjadi Nina Chong yang menunggu masa tiga puluh tiga tahun baru bersuara. Kita boleh bayangkan betapa tertekannya perasaan beliau buat sekian lama.

``Saya ingin menyarankan agar wanita kini sedar tentang adanya akses atau saluran untuk menuntut keadilan mahupun kaedah menuntut kemerdekaan. Isteri si perogol atau pelaku sumbang mahram atau keluarganya sering tidak mahu melaporkan perbuatan mereka dengan alasan takut memalukan keluarga atau kehilangan tempat pergantungan hidup. Isteri yang menjadi mangsa dera jika mahu memerdekakan diri memang ada peruntukannya dalam Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam.

``Saya berharap kita sama-sama dapat mengubah pemikiran setiap wanita untuk lebih berani mendedahkan permasalahan masing-masing serta memerdekakan diri daripada kemelut kehidupan. Hubungilah Biro Khidmat Nasihat Negara untuk mendapat khidmat nasihat serta perlindungan. Ia sentiasa membuka pintu untuk menjaga kebajikan wanita.''

Penerangan Dr. Rubiah yang tepu informasi itu benar-benar membuka mata dan minda khalayak yang dari awal lagi terpaku di tempat duduk masing-masing.

``Menyingkap kisah pada zaman Rasulullah, seorang wanita bernama Subai'ah Al Harithi yang mana suaminya mati syahid dalam Perang Badar, beliau memohon nasihat Rasulullah jika boleh dia berkahwin semula selepas melahirkan kandungannya serta edahnya tamat. Beliau mendapat pujian Rasulullah atas sikap beraninya menuntut hak memenuhi tuntutan nalurinya.

``Jadi, andainya ada isteri-isteri yang ingin memerdekakan diri daripada ikatan perkahwinan dalam konteks hari ini atas sebab didera suami atau suami seorang penagih dadah, atau penghidap AIDS atau vitilago yakni kusta mereka bolehlah menuntut fasakh atau darar syarie. Saya juga menekankan perlunya wanita sekarang berpengetahuan, berkemahiran, bertanggungjawab, sentiasa bersikap positif, tidak pasif, sentiasa sihat, bijak mengurus sumber serta kekal berada dalam kedudukan yang mulia di sisi agama.

``Di sini timbul beruntungnya wanita bekerja. Bagi yang tidak mempunyai sara hidup, pihak Khidmat Nasihat harus memberi mereka perlindungan atau saraan. Untuk tidur dengan lelaki sememang memerlukan kita membuat pilihan yang tepat menerima akad nikahnya, menerima maharnya serta sanggup membuat pengorbanan yang ikhlas dan jitu sepanjang perkongsian intim yang diredai Allah subhanahu wa taala.

``Wanita wajib menjaga tubuh dan hijab, membatasi tingkah laku, menjaga percakapan serta taat setia kepada suami selagi hayat di kandung badan atau meminta cerai atau fasakh atau khuluk andai hilang keserasian yang boleh menyeksa hidup dengan memulakan hidup baru. Pengabaian hak dan keperluan asas dalam satu-satu tempoh perkahwinan daripada salah satu pihak selalunya memberi kesan yang boleh menyebabkan kesengsaraan hidup.

``Dalam mandala ini, Allah akan menghalalkan perceraian walaupun ia merupakan perbuatan yang paling dibenci-Nya. Menyemarakkan institusi perkahwinan boleh menutup jalan ke arah perlakuan seks haram sebab itu Islam menyarankan tiga perkara yang elok disegerakan seperti mengerjakan solat, mengebumikan jenazah dan melangsungkan perkahwinan. Para remaja dan gadis yang hadir harus ingat itu. Jika perlu, pinanglah lelaki!''

Saranan Ustazah disambut dengan gelak ketawa khalayak. Kedengaran wanita latah tadi bercelatuk semula.

``Memperingati Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Bapa dan sebagainya cantik jika kita konotasikan sebagai hari wawasan, hari pembentukan keluarga bahagia. Ketua keluarga harus melihat wahyu Allah sebagai penyelamat diri dan keluarga dari kesusahan dunia dan akhirat terutama penyakit kekosongan iman. Sama-samalah kita berusaha untuk membentuk masyarakat yang bermaruah yang bermula dari sekecil-kecil unit kekeluargaan sehingga ke unit masyarakat dan seterusnya sehingga ke sebesar-besarnya unit negara.'' Ustazah Balqis memberi kata penutup.

``Baiklah, sebagai rumusan kita harus kembali kepada ajaran din Islam iaitu ajaran agama yang mampu membendung kemelut yang melanda masyarakat Internet sekarang yang tidak kenal ras agama serta terlalu global sifatnya. Semakin maju dunia semakin tega manusia melakukan perkara-perkara yang kurang sopan. Berpandukan ajaran al-Quran dan sunah Nabi, insya-Allah kita akan sentiasa dapat membentuk serta mengekalkan masyarakat yang bermaruah,'' kata Puan Pengerusi menutup tirai perbincangan.

``Sebelum bersurai saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati saya selama ini.'' Hadirin terjelengar.

``Saya ingin puan-puan mengenali saya sebagai Puan Azimah sahaja bukan Puan Rajemah seperti yang disebut pengacara pada awal majlis tadi. Tidak menyalahkan sesiapa kerana ia tertera atau tercatat di dalam kad pengenalan namun apa yang tersirat, saya ingin memerdekakan diri saya dari sentiasa `direjam'.''

Azimah mendapat tepukan yang gemuruh untuk sama-sama menerima penghargaan dan terima kasih daripada hadirin bersama ahli-ahli panel yang lain. Atas input yang diperoleh dan dicernakan sepanjang berada dua jam dalam majlis ilmu begini semua yang melangkah keluar merasakan seolah-olah diri masing-masing telah bertukar menjadi wanita-wanita baru belaka.