|
|
Kemilau di Lembah Lara
Kita tahu
keris lincah Tuah
yang memahat wasiat wangi
tidak hilang Melayu di dunia
dendam keris Jebat
yang tidak kenal sahabat
Kita tahu
keris Mat Kilau yang menerkam
dan keris menusuk dada mahsuri
yang melemparkan sumpah tujuh keturunan
Kita tahu
keris Sarif Osman
menggegar Teluk Marudu
keris Haji Saman
mengocak Sungai Membakut
apa lagi keris Mat Salleh
memercikkan lidah api
membakar lembah ini
Kita tahu tajamnya mata barung dan gayung
mainan pantas seorang wali
membebaskan lembah ini
Tetapi dikau
adalah keris
melontarkan cahaya
kilau kemilau
sejak zaman murung
dari gelodak gemuruh darah
keringat dan airmata bangsa
Dikau telah bebaskan
penghuni lembah semenanjung
mengangkat maruah bangsa
di belakang maruah bangsa
di belakang Muhammad
menjunjung daulat raja
berkilap budaya bangsa
Sekian lama
melayari setengah kurun
kilaunya tidak sampai
ke lembah ini
kerana ada mendung
sepanjang pantai
Atas lincahnya panglimamu
yang perkasa dan bijaksana itu
makan dikau telah belayar jauh
membelah langit
menelusuri urat-urat bumi
merempuh badai lautan
menembusi mega
akhirnya sampai
di lembah ini
Dikau bakar hangus rimba lara
keringlah airmata ummah
pancar kilatmu menusuk
ke setiap dada kota
ke setiap jantung desa
Kilaumu menerangi seluruh lembah
kampung menjadi pekan
pekan menjadi bandar
bandar menjadi kota
kota menjadi emas
Kini cahaya itu memercik
membakar langit
bahangnya sampai
ke New York
Moscow
Peking
London
pulau-pulau di seberang
dan di mana-mana
Jika kemilau ini malap dan mati
maka terpacaklah keris
di atas pusara
bangsaku sendiri.
JAMDIN BUYONG,
Putatan, Sabah.
(Tersiar dalam Daily Ekspress 7 September 2002)
|