CERPEN

 

Ngeliit Umbuh

Karya 

Mohd Azrone Sarabatin

 

RAUT wajah nenek jelas menggambarkan penderitaan hidup yang dilaluinya. Bicara nenek adalah tafsiran harapan menggunung terhadap cucunya. Dan langkah kurang bertenaga nenek mencerminkan betapa masa muda perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebelum tenaga perkasa kehilangan kudrat.

            "Azs awak semakin dewasa dan kenal erti sebenar warna-warna kehidupan," kata nenek lewat keberangkatan Azs ke kota metropolitan. Azs hanya mengangguk, membenarkan nenek meneruskan kata-kata hikmatnya.

            "Isilah duniamu dengan kilauan cahaya dan gilaplah kepudaran warna pelangi agar kemiskinan bukan lagi warisan hidupmu," ujar nenek meneruskan bicara.

            "Azs faham nek dan akan mengingati nasihat nenek hingga ke akhir hayat,". Nenek hanya tersenyum serta dalam senyuman itu terpancar kegigihan semangat tika usia sebaya cucunya itu.

            Biarpun nenek miskin harta tetapi nenek kaya dengan budi bahasa dan kegigihan mempertahankan prinsip hidupnya. Ini dapat ditafsirkan menerusi semangat wajanya yang terus bekerja walaupun usia sudah meniti senja. Nenek tidak pernah mengharapkan ihsan orang lain, tetapi terus mencari nafkah hidup dengan bercucuk tanam dan mengambil upah menganyam tikar.

            Suatu hari Azs pernah menasihatinya agar berehat dengan berjanji membelikannya belanja dapur dan keperluan lain. Nenek membantah dengan mengatakan kekuatannya masih ada dan tidak mahu menyusahkan cucunya.

            Nenek tak pernah meminta sesuap nasi dari sesiapa dan jauh sekali duduk merempat di kaki lima menagih simpati masyarakat bagi menghulurkan sedikit sumbangan. Itu bukan prinsip hidup nenek.

            Semangat wajanya sering disampaikan kepada cucunya menerusi lagu tradisi, lagu masyarakat Bajau yang berjudul `Ngeliit Umbuh'. `Ngeliit Umbuh' adalah kata bidalan masyarakat itu yang bermakna seseorang yang bersifat pemalas.

            Perkataan itu juga boleh ditafsirkan sebagai suka meminta simpati daripada orang lain, tidak mahu berubah dan hanya berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh orang lain.

            `Ngeliit' bermaksud mencari atau melirik dan `umbuh' bermakna kepulan asap.  Masyarakat Bajau mentafsirkan orang yang bersifat pemalas sebagai golongan `ngeliit umbuh'.

            Ini kerana, apabila kelaparan golongan itu akan kematian haluan hidup dan akan bertindak mencari rumah orang menanak nasi dengan hasrat tuan rumah itu bersimpati kepadannya. Biarpun itu bukan sifat masyarakat berkenaan tetapi kata bidalan berbentuk sindiran itu memberi maksud yang besar iaitu sekirannya bersifat pemalas, sukar untuk mencari nafkah hidup.

            Di kala cucunya sukar melelapkan mata, nenek akan menggesek `Isun-isun' tuanya bersama lagu lama yang sarat dengan pengajaran itu.   `Isun-isun' adalah  sejenis alat muzik masyarakat berkenaan yang berbentuk seperti biola.

            Walaupun zaman semakin moden dan canggih dengan teknologi terkini tetapi lagu dan melodi gesekan `Isun-isun' nenek masih lagi relevan dengan perkembangan semasa.

            Jika dulu mungkin, bagi orang pemalas, mereka mengharapkan ihsan orang lain untuk memberi sesuap nasi dan seteguk air tetapi sekarang ia dalam senario berbeza.

            Sedangkan kata nenek, semua orang adalah sama cuma terserah kepada usaha dan kesungguhan. Mereka dapat makan kerana hasil tanaman yang lumayan berkat semangat waja dan sanggup berpanas serta berembun. Sedangkan bagi insan bersifat pemalas mereka hanya memikirkan di mana ada rumah orang yang mengeluarkan asap kerana tahu di situ ada orang sedang menanak nasi, lalu mereka berkunjung ke situ.

            Sikap pemurah masyarakat yang sudi menghulurkan simpati termasuk memberi makan dan minum menyebabkan generasi tidak sedar diri itu menjadi manja dan terus menagih simpati.

 

*******

            "Assalamualaikum,". "Waalaikumsalam". "Oh! Sue, silakan masuk.

            "Azs tengah buat apa tu," Sue membuka sepatunya sambil memperkenalkan sahabat barunya, Sofea.

            "Tengah siapkan cerpen, lama tak menulis karya kreatif terasa sukar pula," ujar Azs sambil mempersilakan Sue dan Sofea duduk.

            "Minta maaf sekiranya kehadiran kami mengganggu,".

            "Oh! tidak, sekurang-kurangnya ada juga rakan sembang, mana tahu boleh menambah idea bagi menyiapkan karya yang sudah lama terbengkalai ini,".

            Azs dan Sue adalah sahabat baik, mereka berasal dari kampung yang sama dan mempunyai minat yang hampir sama.

            Lima belas tahun lalu mereka sama-sama menuntut di sekolah rendah. Balik dari sekolah kedua-duanya akan ke bendang bagi membantu ibu bapa mengalihkan benih padi dari tapak semaian, membersih rumput atau menuai padi.

            Masa merubah segalanya, kini kedua-duanya sudah dewasa dan bertugas di kota metropolitan yang sarat dengan cabaran, menguji keimanan dan menuntut kebijaksanaan dalam membuat tindakan.

            Sue, pensyarah bidang kewartawanan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), manakala Azs wartawan di sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu kebangsaan.

            "Ngeliit Umbuh... cantik judul cerpen ini Azs," kata Sue memberi perangsang. Sue sebenarnya seorang sahabat yang memahami dan gadis periang itulah yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk menjadi penulis berwibawa.

            "Terima kasih Sue kerana memberi semangat baru kepada Azs,".

            "Tapi gagasan yang cuba diungkapkan kurang jelas dan pemilihan kata-kata kurang mantap," Azs terus berbicara dengan nada kurang yakin terhadap kemampuan diri sendiri.

             "Sue yakin dengan kemampuan Azs, siapkanlah cerpen itu secepat mungkin," Sue terus memberi keyakinan kepada sahabat baiknya itu.

            "Benarkah peradaban akan hilang jika ia tidak dipertahankan, Sue".  "Sungguh, jika kita hanya berbangga dengan kegemilangan dikecapi sekarang tanpa mengambil inisiatif untuk mencapai kejayaan baru, martabat dikecapi akan hilang begitu sahaja dan ia hanya tercatat sebagai sejarah, kita menjadi lemah dan ditinggalkan bangsa lain," tegas Sue.

            "Itu namanya `ngeliit umbuh' juga Sue kerana kita hanya memerhatikan kejayaan orang lain dan menjadikan kejayaan terdahulu sebagai perbandingan dan kebanggaan,".

            "Sue setuju, `ngeliit umbuh' bukan hanya sesuai digunakan dalam konteks mencari rezeki tetapi ia berbentuk general dan boleh berlaku dalam keadaan lain, sesuai dengan perkembangan semasa,".

            "Oh! Hampir terlupa pula Azs, hujung minggu ini Nan dan Fira memulakan pengajian mereka pada peringkat sarjana. Fira melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sementara Nan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik," kata Sue mengingatkan Azs.

            "Tahu, Isnin lalu Nan menghubungi Azs dan selang sehari Fira hantar e-mel meminta disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),".

            "Ini bermakna, Nan dan Fira tidak `ngeliit umbuh'?," jawab Sue sambil bergurau.

                          

*******

            "Dalam bidang ICT, masyarakat kita juga tidak boleh ketinggalan takut kelak mereka dianggap buta ICT, sama dengan takrifan buta huruf seperti yang digunakan kepada golongan yang tidak pandai membaca," nan741@gapai.com.my.

            "Dalam hubungan ini jika kita hanya menjadi pemerhati, ia juga berkaitrapat dengan `ngeliit umbuh', oleh itu kita perlu menjaring teknologi, bukan hanya menjadi pemerhati setia," azs751@gapai.com.my.  

            Nan, pemuda bertubuh sederhana begitu kuat dengan perjuangannya.  Anak muda itu berpendapat, kita perlu bersyukur dengan apa yang sudah dicapai dan pada masa sama mempertingkatkan usaha serta tidak mudah tewas oleh cabaran bagi memastikan kita dapat menyumbang kepada kemajuan negara yang digariskan menerusi Wawasan 2020.

            Memang banyak bukti keagungan negara di persada antarabangsa seperti KLIA, Koridor Raya Multimedia (MSC), Menara Berkembar Petronas yang tertinggi di dunia, Menara KL pula unggul sebagai menara telekomunikasi dan satu lagi mercu tanda sudah dibina ialah KL Sentral iaitu sebuah lapangan terbang bandar raya maya.

            "Tapi Azs, setinggi-tinggi Menara Berkembar Petronas, pada masa akan datang ada negara lain yang mengatasinya dan jika kita terus dengan ego kerana memilikinya, suatu hari kita akan ketinggalan dan `ngeliit umbuh'.

            "Oleh itu, kita perlu memiliki semangat untuk maju dengan menerokai pelbagai jenis disiplin ilmu terutama membabitkan bidang profesional seperti kejuruteraan, ICT, perubatan dan perakaunan.

            "Imej negara perlu sentiasa dimartabatkan dan pastikan kegemilangan hari ini berkesinambungan di masa muka, jangan nanti terjajah semula sesudah nenek moyang menderita lebih 400 tahun," kata Nan lewat e-melnya yang dihantar kepada Azs.

            Sebelum itu Nan pernah menghantar e-mel yang meminta Azs menggunakan sebaik mungkin ilmu kewartawanannya untuk menulis artikel yang berguna untuk anak watan, sekali gus digunakan sebagai garis panduan menelusuri arus kehidupan.

            Azs, Sue, Izat dan Fira adalah generasi muda yang membantu menggerakkan pertubuhan akademik di kampung kelahiran mereka, pertubuhan dinamakan Gerakan Anak Petani atau kata akronimnya Gapai.

            Pertubuhan itu mendapat perhatian di seluruh negeri kerana ia diasaskan oleh golongan petani yang mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pendidikan anak-anak mereka untuk merubah kemiskinan keluarga.

            Empat sahabat itu membantu menggerakkan pertubuhan itu dengan menjadi guru pembimbing sukarela pada hujung minggu dan musim cuti serta sesekali diadakan kem motivasi kecemerlangan pelajar.

            Azs dalam artikelnya yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan di Bumi di Bawah Bayu menggambarkan golongan petani berkenaan tidak mahu anak mereka meneruskan kehidupan sebagai petani tradisional, sebaliknya perlu maju.

            Artikel menggunakan tajuk `Pendidikan saham membasmi kemiskinan' itu berfokus kepada peranan generasi muda menuntut ilmu dan perlu memberi fokus kepada pendidikan berkualiti untuk menjadi insan berguna kepada agama,bangsa dan negara.

            "Tapi Azs, sekarang ini sukar mencari rumah orang memasak menggunakan kayu api dan tiada lagi kepulan asap dari rumah jiran kita," gurau Fira yang juga Timbalan Setiausaha Gapai selepas membaca artikel tulisan Azs.

            "Betul Fira, tapi bagi orang terlalu lapar, mereka akan berikhtiar mencari rumah orang sedang memasak dan yang pasti nasi dari periuk elektrik ada asap juga dan dia akan `ngeliit umbuh' keluar daripada periuk berkenaan," kata Azs turut bergurau.

            Tidak seperti Azs, Sue dan Nan, Fira agak pendiam tetapi banyak bekerja dan rajin membuat penyelidikan terutama membabitkan bidang bersangkut paut dengan ICT. Baginya biar kurang bercakap tapi banyak bekerja.

            Masa merubah segalanya, Azs dan Sue terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana berhijrah ke kota demi memastikan cita-cita dapat dicapai. Mereka melanjutkan pengajian dalam bidang kewartawanan.

            Begitu juga dengan Nan dan Fira, mereka turut menerima panggilan hijrah dengan Fira melanjutkan pengajian dalam bidang ICT dan Nan memilih Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

            Demi semangat tak mahu `ngeliit umbuh' dan ingin berbakti kepada tanah tumpahnya darah mereka, tawaran melanjutkan pengajian yang diberikan tidak dipersiakan begitu sahaja, sebaliknya disahut.

 

*******

            "Perhatian! Perhatian! Perhatian.... kepada semua penumpang Penerbangan Malaysia pesawat MH1606, sebentar lagi kita akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu", Kapten Kapal membuat pengumuman.

            Kita bangsa bermaruah yang hidup di negara tinggi martabatnya, mari bergerak ke medan jaya, sesekali jangan meminta ihsan insan lain dan `ngeliit umbuh' harus dijauhi. Azs memeluk erat neneknya.