Tarikh: 5 September 2002 Tempat: Dewan Besar DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu.
Anjuran: Jabatan Kebudayan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia dan DBP Cawangan Sabah
Sesi Pertama: Bicara Seni Pengerusi: Haji Jadilar A Rahim Sesi Kedua: Pembentangn Wacana Pengerusi: Sukor Hj Usin Panel: Hj Ismaily Bongsu Pn Asmiaty Amat Sesi Ketiga: Forum Pengerusi: Pn Hjh Sairah Hj Antin Panel: Pn Asmiaty Amat Hj Ismaily Bongsu Hj Shuhaibun Yussuf |
(hasyuda@yahoo.com)
Pak Shuhaibun dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Kampung Pengalat Besar Papar. Ayahnya bernama Yussuf bin Hassan dan ibunya bernama Hajah Zaleha binti Bahayu. Pak Shuhaibun adalah anak sulung daripada seramai 14 orang adik beradik. Mengikut catatan K.Bali, Pak Shuhaibun memulakan pendidikan asasnya di Sekolah Jepun dan Sekolah Melayu Bongawan sebelum berpindah ke Sekolah Melayu Papar pada tahun 1943. Pada tahun 1947 beliau lulus darjah lima dan mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran dalam aliran Inggeris di Sekolah St. Joseph Papar.hingga tahun 1952. Bermula pada 12 Mei 1952 hingga bulan Jun 1952 Pak Shuahibun meneruskan pendidikannya di Maktab Perguruan Menggatal kemudian dipindahkan ke Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1953. Maktab perguruan ini adalah maktab perguruan yang pertama di Sabah. Pak Shuhaibun menamatkan latihan perguruannya pada Mei 1954. Pada tahun 1962 hingga 1964 Pak Shuhaibun ke Australia untuk mendalami lagi pendidikan bahasa Inggerisnya. Pak Shuhaibun menurut K.Bali juga seorang yang amat gigih dalam menaik tarafkan pendidikannya. Beliau belajar tanpa kenal letih dan lulus dalam peperiksaan-peperiksaan Government Junior Certificate pada tahun 1965, Sijil Rendah Pelajaran dengan kelulusan Pangkat A (1970), Sijil Pelajaran Malaysia (1981) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (1984). Dalam perkhidmatan dengan kerajaan, Pak Shuhaibun memulakan khidmatnya sebagai seorang guru di Government Vernacular School Labuan pada 1 Jun 1954. Pada tahun 1956 beliau mengajar di Government Primary School (GPS) Weston sebagai Guru Besar. Selepas itu iaitu pada tahun 1958 mengajar di beberapa sekolah lain termasuklah GPS Sembulan dan menjadi Pengetua Government English School (sekarang sekolah ini dikenali Sekolah Menengah Ashad, Kota Belud). Selain daripada itu Pak Shuhaibun menjadi penyelia mata pelajaran GPS seluruh daerah Kota Belud. Pada Ogos 1958, Pak Shuhaibun menjadi guru pakar dalam Bahasa Inggeris di GPS Buit Hill Putatan. Kemudian pada November 1958 beliau mengajar mata pelajaran yang sama di GPS Tanjung Aru, Jesselton. Dan pada tahun 1961 Pak Shuhaibun menjawat jawatan Guru Besar di sekolah ini. Selepas melanjutkan pelajarannya di Australia pada tahun 1964, Pak Shuhaibun dilantik sebagai pensyarah sains dan matematik di Pusat latihan Guru-guru Bumiputera Tanjung Aru. Kemudian beliau bertugas sebagai Guru Besar di GPS Sembulan sebelum ditukarkan ke GPS Pengalat Besar sebagai Penolong Kanan Guru Besar. Pada tahun 1967 Pak Shuhaibun menjadi guru besar di sekolah tempat kelahirannya ini. Bermula pada tahun 1968 hingga 1972, Pak Shuhaibun menjadi Penyelia Sekolah-sekolah di seluruh daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu. Pada tahun 1973 beliau dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Pegawai Hisab dan Sains untuk sekolah-sekolah seluruh Negeri Sabah. Pada Januari 1974 hingga Mac 1974 Pak Shuhaibun bertugas pula sebagai Penolong Pegawai Latihan di Jabatan Pelajaran Negeri. Dunia pendidikan Pak Shuhaibun berubah kepada dunia kebudayaan pada 8 Mei 1974. Pada waktu inilah beliau menerokai bidang yang baru. Pada mulanya Pak Shuhaibun amat keberatan meninggalkan dunia pendidikan tetapi atas desakan yang dilakukan oleh pihak atasan beliau akur dengan arahan yang dibuat. Pak Shuhaibun berkhidmat sebagai Pengelola Kebudayaan Negeri Sabah sehingga beliau bersara pada 30 Disember 1989. Mengenal Pak Shuhaibun sebagai insan seni tentulah tidak sempurna sekiranya kita tidak menelusuri sejarah hidupnya terutama sekali hubung kait pengalamannya sebagai seorang pendidik dan juga seorang budayawan. Namun begitu dalam apa jua pertembungan yang bergelut di jiwanya, peranan Pak Shuhaibun tetap relevan dengan profesinya sebagai budayawan. Sebagai pendidik, tugasnya membudayakan anak bangsa mendalami ilmu memang amat wajar. Apatah lagi pada masa yang sama Pak Shuhaibun juga merupakan seorang sasterawan. Beliau menjadi perakam kehidupan dan menterjemahkan kehidupan itu dalam bentuk yang lain. Pak Shuhaibun amat berpengalaman dan diakui menguasai selok belok akar budaya bangsanya. Beliau peka terhadap situasi masyarakat tempatan yang mempunyai pelbagai rentak dan bentuk cara kehidupan, pemikiran dan kepercayaan. Sesi kedua merupakan pembentangan wacana oleh Tuan Haji Ismaily Bongsu dan Puan Asmiaty Amat. Haji Ismaily merupakan seorang budayawan dan juga sasterawan yang amat sinonim dengan perkembangan kesenian di Sabah. Manakala Asmiaty adalah seorang pemikir, pemakalah, pengkritik sastera dan juga pensyarah di Sekolah Kesenian dan Pembangunan Masyarakat di Universiti Malaysia Sabah. Sesi ini amat menarik. Dalam pembentangan wacana pemikiran Pak Shuhaibun, Haji Ismaily telah menelusuri pengalamannya selama 13 tahun bertugas di bawah Pak Shuhaibun ketika menjadi Penolong Pengelola Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri. Banyak peristiwa dan pengalaman menarik dan tidak kurang juga yang meninggalkan pengajaran peribadinya hingga hari ini. Walaupun Pak Shuhaibun seorang yang kelakar namun kelakar beliau sentiasa sarat dengan makna yang tersendiri. Pemikiran Pak Shuhaibun, menurut Ismaily, amat peka terhadap budaya sentiasa berkembang terutama sekali dalam bidang drama dan juga tarian. Banyak sekali aktiviti kesenian ini berlangsung dan menjadi agenda semasa mereka bersama-sama mentransformasikan aktiviti-aktiviti kebudayaan di Sabah.
Pada sebelah petang forum yang bertajuk Pembentangan Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf dalam Pembangunan Kebudayaan di Sabah menampilkan tiga ahli panel iaitu Puan Asmiaty Amat, Haji Imaily Bongsu dan Pak Shubaibun sendiri sambil Hajah Sairah Haji Antin bertindak sebagai pengerusi forum. Forum ini dihidupkan dengan penampilan kali kedua tokoh-tokoh pembicaranya. Hajah Sairah sebagai seorang aktivitis teater yang tidak asing di Sabah memulakan sesi dengan paparan nostalgianya dengan Pak Shuhaibun semasa menuntut di Jakarta. Pak Shuhaibun dan Haji Ismaily menebarkan lagi pengalaman mereka mengenai seni dan budaya semasa bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah. Lebih menarik isu yang ditimbulkan Haji Ismaily terhadap tarian-tarian etnik Sabah yang sudah kehilangan aslinya. Ini turut diakui Pak Shuhaibun. Walaupun tidak ada salahnya tarian-tarian etnik itu dikreatifkan tetapi adalah lebih baik sekiranya keasliannya terus dipelihara tanpa mengubah sedikitpun rentak muziknya, unik kostumnya, lenggang liuk gerak tarinya. Inilah jawapan kepada tanggapan bahawa tarian-tarian etnik di Sabah sudah dirosakkan. (Ada istilah lain sebenarnya disebut tetapi biarlah istilah 'dirosakkan' digunakan dalam tulisan ini). Ismaily juga turut menarik perhatian para peserta mengenai dasar kebudayaan kebangsaan dengan mengaitkan ciri-ciri penting pembentukan dasar berkenaan dalam menyatukan budaya etnik yang sesuai di samping menjadikan Islam sebagai asas pentingnya.
Tanggungjawab dan peranan agensi-agensi yang berkaitan dengan budaya wajar meneruskan aktiviti seperti ini dengan menampilkan lebih ramai tokoh budayawan di Sabah. Di samping itu kita perlu juga mengilhami wacana yang lain agar usaha dua agensi kerajaan ini tidak berakhir di Dewan Besar DBP Teluk Likas. Usaha yang saya maksudkan agar kita membina sebuah laman web untuk mendokumentasikan bahan-bahan berharga para tokoh budaya kita. Kita boleh menempatkan segala perihal mereka dalam laman web itu. Ini amat berguna dan memudahkan para pengkaji mendalami sama ada pemikiran tokoh-tokoh itu bahkan memudahkan mereka mendapatkan maklumat dengan cepat. Perkembangan teknologi semasa hendaklah kita sambut dengan suatu tanggungjawab. Pada saya tanggungjawab itu terletak di tangan kita. Sama ada kita mahu atau tidak jawapannya masih memerlukan kesediaan dan keseriusan yang berterusan. Ikatan Penulis Sabah (IPS) Kota Kinabalu. 6 September 2002 Laman Web IPS – http://webips.tripod.com
|
|