DONDANG PUISI ANJUNG MERIAH

oleh Hasyuda Abadi, IPS

(hasyuda@yahoo.com)

CUACA  yang baik memberi ruang yang selesa meskipun angin bertiup dari arah Laut Cina sesekali merisaukan hati kami. Namun apapun keadaannya Dondang Puisi Anjung pasti diteruskan. Ini ternyata dalam deruan angin malam yang berbeza dan ketika rintik-rintik hujan mula menikam bumbung khemah yang disediakan, para seniman tidak berputus asa berdondang hingga selesai di puncak malam.

 

Sebagaimana dirancang itulah yang menjadi. Kehadiran para penyair undangan dan terpilih, penyanyi lagu-lagu puisi dan para pengunjung Medan Anjung Senja menjawab segala usaha yang tidak mengenal penat lelah teraju utama aktiviti ini sejak sebulan lalu. Lebih mengembirakan kami kunjungan orang lama seperti Datuk Haji Murshidi Nambi, Hajah Dayang Salmah Salam, Haji Ismaily Bongsu dan Haji Jalidar Abdul Rahim.

 

Meski tidak dilibatkan, Datuk Murshidi dan isterinya begitu setia menghayati sepanjang persembahan Dondang Puisi Anjung. Ustaz Jalidar yang memang terkenal melalui lagu-lagu dakwah dan pelopor nasyid di Negeri Sabah tampak masih 'muda' apabila menyampaikan sebuah lagu berjudul 'Muhasabah'. Haji Ismaily yang sekian sekalinya tidak membaca puisi secara terbuka malam itu memberi kelainan kepada aktiviti kedua ini yang dianjur secara bersama antara Sedcovest Holdings, IPS dan DBP Cawangan Sabah. Medan Anjung Senja digegarkan dan bergegar sehingga memanggil sesiapa saja termasuklah penulis dan pensyarah UPM Arbak Othman. Tak siapa mengenalinya pada mulanya selain Zaini Oje dan Abd Naddin Shaiddin yang mula mengagak-agak gerangan seniman ini. Arbak seorang ahli linguistik tetapi juga menulis puisi dan novel, jelas Zaini ketika saya bertanya siapa gerangan insan yang berjanggut putih itu. (Setelah maklum saya teringat ketika Arbak mengulas puisi saya di Dewan Sastera tahun lepas).

Persembahan lain ialah deklamasi puisi para juara Sayembara Puisi Hari Kebangsaan 2002. Mereka terdiri daripada Datu Ruslan, Dulamid, Luciana Benjamin, Zinuarain dan Fauziah Omar. Mereka adalah finalis sayembara tahunan anjuran Gapena di Sabah. Puisi daripada etnik Sabah disampaikan oleh Siti Aidah dari suku Bisaya di samping puisi yang dibaca seorang kanak-kanak dari SK Bengkalalak Beaufort. Adik kecil ini menyampaikan puisi karya Amil Jaya berjudul 'Realiti'.

 

Zaini Oje juga dipelawa menyampaikan puisinya satu kewajipan yang mesti kerana beliau menjadi pendokong utama aktiviti ini. Seorang ketua jabatan yang amat prihatin apa lagi sastera adalah jiwanya. Saya juga diberi kesempatan mendeklamasikan dua buah puisi berhubung dengan senario kemerdekaan negara. Dalam gabungan kata-kata terpilih terselit makna yang sinis dan sindiran yang amat nyata. Mohd Fuad Bebit pula menyuarakan rahsia di sebalik diksi lucu yang disampaikannya.

 

Para hadirian dan pengunjung Medan Anjung Senja juga turut dihiburkan oleh para penyanyi lagu-lagu puisi yang sedang popular di Kota Kinabalu iaitu Kumpulan Andatila Suarasa (malangnya kumpulan ini hanya diwakili oleh seorang penyanyinya) dan sebuah lagi gabungan suara Trio Pujangga yang menyampaikan lagu-lagu rakyat seperti Adai-adai dan Daling-daling. Para pelatih Maktab Perguruan Gaya turut menceriakan Dondang Puisi Anjung apabila berjaya menyampaikan sebuah persembahan puisirama yang menarik, sebagai satu lagi penampilan yang berbeza daripada yang lain.

 

Sesungguhnya Dondang Puisi Anjung edisi kedua ini menarik dan lain. Sepanjang acara diserikan dengan bacaan mantera Jasni Yakub dan gesekan biola isun-isun oleh Masroh Siadik. Sementara satu lagi kelainan yang kami anggap sebagai tambahan kepada gimik persembahan iaitu bacaan puisi yang berterusan oleh pengantara majlis, Rafidah Matasan. Rafidah di samping berpantun membacakan petikan-petikan puisi daripada Antologi Balada Paduka Mat Salleh.

 

Bagaimana Dondang Puisi Anjung seterusnya? Konsepnya tentu berbeza daripada dua edisi yang sudah berlalu itu. Sedcovest Holding pula mengharapkan kesan aktiviti ini berjaya menarik pengunjung datang ke medan selera yang popular di bandar raya Kota Kinabalu. IPS pula akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan khidmat DBP Cawangan Sabah pula terus diperlukan untuk menjadikan Dondang Puisi Anjung dapat dipopularkan. Kita akan menunggu aktiviti yang sama jika tidak ada aral menghalang pada hujung tahun ini. Kami juga berharap lebih ramai pihak-pihak swasta dan agensi yang berkaitan seperti MBSS, KKBS dan Pejabat Kebudayaan dan Kesenian memberi sedikit komitmen sebagai satu kesinambungan langkah yang kami lakukan. Kita wajar mengucapkan terima kasih kepada Sedcovest Holdings yang memberi ruang kepada para seniman menyampaikan hasrat seni mereka. Meski usaha ini merupakan satu pelaburan jangka panjang, syarikat yang mengurus Medan Anjung Senja ini sebenarnya boleh kita anggap sebagai antara pelopor aktiviti seni di Kota Kinabalu. 

Mudah-mudahan usahasama ini berterusan dengan komitmen persatuan penulis dan para pegawai DBP sendiri.


   

 

DONDANG PUISI ANJUNG AKAN BERSAMA ANDA DI MEDAN ANJUNG SENJA BULAN DISEMBER INI ... NANTIKANLAH ...